25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penjawat awam bersama kerajaan pulih ekonomi negara

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru semua 1.6 juta penjawat awam menzahirkan komitmen kerja 100 peratus bagi menjayakan usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara perlu melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh komited bagi memastikan perancangan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara berjalan dengan baik.

Beliau berkata, CUEPACS dan penjawat awam menyedari bahawa krisis ekonomi yang melanda negara akibat wabak pandemik Covid-19 ketika ini telah memberikan kesan yang serius kepada seluruh rakyat Malaysia terutama melibatkan isu pekerjaan dan pengangguran.

“Pakej ransangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Pakej Prihatin, Prihatin PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) perlu digembeleng sepenuh hati oleh penjawat awam kerana kita adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara.

“Sektor swasta perlu dibantu dan dalam hal situasi ini sektor perkhidmatan awam perlu memberikan komitmen yang sepenuhnya kerana kemakmuran negara yang dikecapi hari ini adalah sumbangan daripada kerjasama kedua-dua belah pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media bagi mengulas Penjana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin oada petang tadi.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS juga berharap kerajaan tidak menamatkan perkhidmatan pekerja-pekerja kontrak di sektor perkhidmatan awam bagi mengurangkan kesan pengangguran yang dialami negara ketika inj.

Katanya, pekerja-pekerja kontrak tersebut tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia boleh disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka-mereka ini di kementerian atau agensi yang kritikal.

Adnan berkata, langkah berkenaan bukan sahaja mengurangkan kadar pengangguran, malah membolehkan kementerian dan agensi yang kritikal dapat berfungsi dengan lebih baik demi kejayaan menjana semula ekonomi negara. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan