24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Helah dan propaganda Mahathir lantik Shafie calon PM

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

WALAUPUN hanya menguasai lima kerusi Parlimen, Tun Dr.Mahathir Mohamad terus berusaha untuk menjadi ‘tokoh hebat’ yang mahu mencaturkan siapa patut dicalonkan menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan plus kembali berkuasa.

Pengumuman beliau pada Sabtu lalu bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal akan menjadi calon Perdana Menteri manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengejutkan sekutunya, DAP dan Amanah.
Menurut kedua-dua parti berkenaan, pencalonan Mohd.Shafie perlu dibincangkan di peringkat kepemimpinan pusat Amanah dan DAP serta PH terlebih dahulu walaupun ia pilihan baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat.

Persoalannya, kenapakah Mahathir membuat keputusan tersebut, apakah taktik dan propaganda ahli politik berusia 95 tahun itu? Berikut penulis senaraikan apa yang boleh ditafsirkan berhubung tindakan Mahathir;

TIDAK YAKIN MELAYU AKAN SOKONG PH

Mahathir amat memahami sokongan orang Melayu kepada beliau semakin merudum walaupun diletakkan sandaran untuk meraih sokongan kaum itu sehingga DAP dan Amanah sanggup mengenepikan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Mahathir tidak mahu beliau dipersalahkan jika PH gagal meraih sokongan orang Melayu memandangkan populariti beliau dalam kalangan kaum itu semakin menjunam berikutan tindakannya terus mempertahankan DAP dan menyerang Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, Mahathir mengubah taktik dengan mencalonkan Mohd.Shafie dengan alasan ia pilihan terbaik bagi menamatkan kebuntuan isu calon Perdana Menteri dan pada masa sama berharap taktik itu akan menarik sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

Mahathir Mohamad berbual dengan Mohd.Shafie Apdal melalui panggilan video

Tetapi seperti mana dikatakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing, penduduk Sabah dan Sarawak tidak akan diperbodohkan dengan cadangan Mohd. Shafie sebagai Perdana Menteri PH.

Malah beberapa pemimpin dari kedua-dua negeri itu juga menyifatkan tindakan Mahathir sebagai satu propaganda dan melucukan.

Mahathir juga mungkin sengaja mencalonkan Mohd.Shafie walaupun tahu ia akan ditolak kerana melalui cara itu, beliau boleh dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri. Apabila ini berlaku Mahathir akan berhujah,

‘’Ramai orang merasakan sekurang-kurangnya saya patut kembali buat seketika. Saya tidak keinginan untuk kembali.’’ – sekaligus mengelak beliau dituduh kemaruk kuasa.

TIDAK MAHU ANWAR JADI PERDANA MENTERI

Sudah sah dengan mencalonkan Mohd.Shafie, Mahathir memberi isyarat jelas bahawa beliau ‘’tidak rela Anwar menjadi Perdana Menteri.’ Bagaimanapun Mahathir menggunakan taktik meletakkan juga nama Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri I.

Pada masa sama beliau turut meletakkan anak kesayangannya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II. Langkah itu membuktikan, dalam keadaan apa sekalipun Mahathir tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

Tindakan itu dilihat tindak balas terhadap keputusan PKR yang tetap mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri, walaupun Mahathir mengharapkan beliau diberi peluang untuk memegang jawatan itu untuk tempoh enam bulan.

Tetapi Anwar dan PKR tidak bodoh. Mereka tidak mahu lagi ditipu dengan taktik licik Mahathir kerana tahu bekas Perdana Menteri itu sejak dulu, kini dan selamanya tidak ikhlas mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

PEMILIHAN SHAFIE BUKA LALUAN UNTUK MUKHRIZ?

Sebenarnya Mahathir tahu sejauh mana kemampuan Mohd.Shafie untuk menjadi Perdana Menteri. Ia memandangkan Mohd.Shafie bukannya mempunyai kekuatan politik yang benar-benar utuh.

Advertisements

Di Sabah, beliau menjadi Ketua Menteri selepas beberapa ADUN UMNO melompat menyertai Warisan dan pada masa ini beliau sedang berhadapan dengan krisis dalam parti apabila semakin ramai meninggalkan Warisan. Namun begitu Mahathir tetap memilih Mohd. Shafie kerana berharap orang Sabah dan Sarawak akan memberi undi kepada PH.

Apabila PH sudah kembali berkuasa, Mohd.Shafie menjadi Perdana Menteri, tidak mustahil Mahathir akan meneruskan perangai lama menjadi ‘pengacau’ kepada sesiapa juga menduduki jawatan itu. Apabila Mohd.Shafie jatuh maka Mukhriz akan mengambil alih.

Mungkin ramai berpendapat ia tidak mungkin berlaku memandangkan Mahathir kata, beliau akan sokong Mohd.Shafie tetapi apakah sebelum ini Mahathir tidak menggunakan perakuan yang sama kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Bagaimanapun Mahathir dalam kenyataan terbarunya menyatakan cadangan melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan daripadanya.

Sebaliknya sambil menegaskan, beliau tiada hak untuk menentang sebarang cadangan berkaitan anaknya demi kepentingan sendiri, Mahathir berkata, ”Cadangan itu tidak datang daripada saya. Dalam kenyataan borsama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.”


TAHU PH TAK AKAN MENANG PILIHAN RAYA

Mahathir tahu kedudukan PH sekarang bukan seperti ketika PRU-14 dan memahami laluan pakatan itu untuk kembali berkuasa melalui sokongan rakyat dalam PRU-15 amat tipis.

Tambahan pula Mahathir memahami gabungan PN ataupun Muafakat Nasional (MN) sukar untuk ditewaskan. Beliau juga tahu, rakyat khususnya orang Melayu tetap akan menolak DAP dan perpecahan dalam PH angkara isu calon Perdana Menteri akan memudaratkan pakatan itu.

Oleh itu untuk mengelakkan beliau dimalukan, Mahathir menarik diri sebagai calon Perdana Menteri dan memberi laluan kepada Mohd.Shafie.

ALIH ISU KEKAYAAN ANAK

Mahathir mengumumkan mengenai pencalonan Mohd.Shafie sehari selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan isu kekayaan dan projek yang diperolehi oleh anak-anak Mahathir ketika beliau berkuasa.

Sehingga ke hari ini, Mahathir tidak menjawab dakwaan Najib. Oleh itu, pengumuman pencalonan Mohd.Shafie dianggap taktik Mahathir untuk mengalih alih isu. Dan setakat ini ia nampak berjaya kerana tumpuan media dan ahli politik lebih kepada isu pemilihan Ketua Menteri Sabah tersebut.


KESIMPULANNYA, Mahathir berada dalam keadaan tersepit dan tidak keruan. Penolakan PKR terhadap pencalonannya sebagai Perdana Menteri adalah tamparan hebat buatnya. Oleh itu Mahathir cuba menunjukkan beliau masih berpengaruh dengan ‘memperkotak-katikkan’ kesepakatan dalam PH.

Setakat ini penulis percaya, komponen dalam PH khususnya, PKR tetap akan menolak cadangan Mahathir.

Jika mereka ada keberanian, PH perlu menyingkirkan Mahathir daripada pakatan tersebut kerana ternyata beliau sudah ‘menghuru-harakan’ mereka kerana agenda politiknya.

Sesuatu yang aneh jika PKR yang mempunyai 39 kerusi Parlimen, DAP (42 kerusi) dan Amanah (11 kerusi) terus tunduk kepada Mahathir yang bukan sahaja mempunyai hanya 5 kerusi Parlimen tetapi semakin ditolak oleh rakyat.

Llebih memalukan jika parti-parti masih bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir yang menjadi punca mereka kehilangan kuasa selepas 22 bulan memerintah apabila meletakkan jawatan tanpa berunding dengan sesiapa pada Februari lalu. Sampai bila mahu diperkotak-katikkan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu?

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan