25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Pemandu mabuk ‘pembunuh’ di jalan raya

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kejadian pemandu mabuk berulang lagi. Malam tadi seorang lelaki maut di Kuantan selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol di Jalan Pintasan.

Mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41 yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada dalam perjalanan dari rumah di Sungai Isap Perdana di Gebeng kerana bekerja syif malam sebelum kenderaannya dirempuh oleh pemandu mabuk berkenaan yang memandu kereta Toyota C-HR.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt Kamarulzaman Jusoh, berkata, pemandu kereta Toyota CHR itu yang merupakan lelaki berusia 42 tahun dan bekerja sebagai peraih ikan dipercayai mengambil minuman keras di rumah kawannya di Semambu sebelum kejadian.

Persoalannya sampai bilakah kita harus membiarkan pemandu mabuk menjadi pembunuh di jalanraya terus mengancam nyawa pengguna-pengguna lain. Walaupun kejadian seumpama ini kerap kali berlaku dan pelbagai peringatan sudah diberikan supaya tidak memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol, namun kelompok tidak waras ini tetap wujud.

Oleh itu sudah sampai masanya individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan terlibat dalam kemalangan dikenakan hukuman seberat-beratnya. Ketika ini mereka akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000.

Advertisements

Hukuman itu nampaknya tidak memberi keinsafan atau mengeruhkan pemandu-pemandu lain yang mungkin akan melakukan kesalahan yang sama. Hukuman lebih berat perlu dikenakan. Mungkin hukuman penjara dinaikkan kepada minimum 10 tahun penjara, denda paling kurang RM50,000 dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Bagi pembunuh di jalanraya seharusnya tidak ada pengampunan kepada mereka. Golongan ini layak dianggap pembunuh kerana mereka pasti tahu kesannya jika memandu dalam keadaan mabuk. Perbuatan mereka boleh mendatangkan kecederaan dan kematian kepada pengguna jalan raya lain.

Bayangkan akibat perbuatan mereka, berapa ramai isteri kehilangan suami, berapa ramai anak menjadi yatim, berapa ramai ibu bapa kehilangan anak, apakah adil kalau orang yang bertanggungjawab mewujudkan keadaan ini diberikan hukuman ringan sedangkan ahli keluarga mangsa akan sengsara sepanjang hayat?

Setakat ini boleh dikatakan semua pihak menyokong kerajaan meminda akta sedia ada bagi membolehkan hukuman berat dikenakan kepada pemandu mabuk. Perlu diingat pemandu mabuk ini sama bahaya dengan Covid-19 – ia tidak mengenal mangsa!

Selagi mereka berada di jalan raya, selagi itu nyawa semua orang akan terancam. Oleh itu hukuman paling berat perlu dikenakan kepada golongan tersebut tanpa kompromi lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan