26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 14, 2024

COVID-19: Mengapa Parlimen ringkas pun tidak boleh?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SAYA tertarik dengan mereka yang beriman dengan demokrasi sehingga melampaui batas lebih daripada kepatuhan kepada rukun Islam.

Allah SWT tidak memaksa hambaNya dalam melaksanakan perkara rukun agama yang menjadi perkara pertama dan utama dalam keperluan manusia mengikut petunjuk Allah SWT, namun dalam keadaan terpaksa untuk menyambung atau memanjangkan talian hayat hidup di dunia yang menjadi jambatan akhirat itu, Allah SWT memberi kelonggaran dan kemudahan dalam banyak perkara, yang dinamakan rukhsah. Sehingga ibadat kepada Allah SWT boleh ditangguhkan atau diringankan sekiranya wujud keadaan yang mengganggu kehidupan atau mengancam keselamatan dan nyawa.

Ini menunjukkan betapa Allah Yang Maha Adil Lagi Maha Bijaksana sangat bersimpati kepada hamba-Nya yang benar-benar menepati konsep agama Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Aalamin.

Allah SWT mengurniakan rahmat dalam perkara yang menjadi rukun Islam seperti ibadat solat, haji dan puasa Ramadan yang boleh untuk ditangguh jika ada sebarang keuzuran.

Namun manusia tidak boleh bertangguh melaksanakan perintah rukun-rukun Islam disebabkan nafsu serakah yang berkehendak, sekalipun lidahnya menyebutkan konsep Rahmatan Lil ‘Aalamin. Khususnya apabila manusia itu bersifat rakus kepada kuasa sehingga melampaui batas kemanusiaan dan hukum nafsunya tidak mahu diubah.

Inilah sebabnya Allah SWT mentarbiah Nabi Adam AS, bapa bagi sekalian manusia yang dahulu berjaya digoda oleh Iblis yang dilaknat supaya kisah itu menjadi iktibar kepada zuriat Adam dan Hawwa AS.

Allah SWT berfirman:

﴿فَوَسۡوَسَ إِلَيۡهِ ٱلشَّيۡطَٰنُ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ هَلۡ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلۡخُلۡدِ وَمُلۡكٖ لَّا يَبۡلَىٰ١٢٠ فَأَكَلَا مِنۡهَا فَبَدَتۡ لَهُمَا سَوۡءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخۡصِفَانِ عَلَيۡهِمَا مِن وَرَقِ ٱلۡجَنَّةِۚ وَعَصَىٰٓ ءَادَمُ رَبَّهُۥ فَغَوَىٰ١٢١﴾

“Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kamu hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” (120); Kemudian mereka berdua memakan buah dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulai menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya) (121).” (Surah Taha: 120-121)

Allah SWT mentarbiyah Adam dan Hawwa AS dengan mendedahkan sifat kelemahan manusia dengan ajakan nafsu sehingga mengalahkan akalnya, kerana terlalu bernafsu mahu hidup selama-lamanya dan mempunyai kuasa yang berkekalan.

Akhirnya dapat digoda oleh ketua syaitan, Iblis yang telah dikenali dan diberikan peringatan oleh Allah, serta ditunjukkan kejahatannya yang berbeza dengan malaikat yang sangat mulia. Selain itu, dipaparkan kepada Adam AS betapa para malaikat memberikan ketaatan kepada Allah secara mutlak.

Adam dan Hawwa AS dihukum oleh Allah SWT sehingga dilucutkan pakaian di syurga dan dihalau ke bumi, tempat yang telah ditentukan oleh Allah kepada makhluk manusia. Namun Adam dan Hawwa menyesal dan bertaubat sebagaimana dirakamkan melalui firman Allah:

﴿قَالَا رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٢٣﴾

“Mereka berdua merayu, “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”(Surah al-A’raf: 23)

Adapun Iblis yang menjadi kepala syaitan itu tidak bertaubat kerana sifat takabbur (sombong) dan degil.

Dalam menghadapi bencana wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, sekalipun saya tidak mempunyai ilmu perubatan, tetapi saya percaya kepada pakar perubatan yang memberi amaran dalam menghadapi wabak ini menerusi beberapa arahan.

Saya tetap menerima arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan mereka, walaupun orang tuduh saya penakut dan tidak yakin kepada qadha’ dan qadar Allah SWT.

Khalifah Umar bin al-Khattab RA juga pernah dituduh sebegitu apabila membatalkan lawatannya ke Syam ketika dilanda wabak taun amwas yang masyhur di dalam sejarah. Tindakan Saidina Umar RA menetapkan kuarantin bagi menjaga nyawa yang menjadi kewajipan. Bahkan menjadi dosa paling besar membunuh diri dan membunuh orang lain tanpa sebarang kesalahan yang wajar.

Apa yang menarik perhatian saya kepada pihak berkenaan yang mendukung demokrasi yang berteraskan perjuangan Greek Purba apabila melaungkan slogan dalam Bahasa Latin iaitu vox populi, vox dei (suara rakyat suara tuhan) atau diubah suai pula kepada Bahasa Melayu dengan slogan “suara rakyat suara keramat”.

Walaupun rakyat tertipu dengan media upahan yang beroperasi tanpa batas sempadan yang disalah gunakan keramatnya, demi mencapai kemenangan di atas pentas demokrasi, sehingga kemenangan itu rapuh dan mentah, laksana mengait buah durian kerana tidak sabar menunggu sehingga masak dan matang, maka gugurlah dalam keadaan mentah yang ditolak oleh tupai dan kera, apatah lagi manusia. Malangnya mereka berkelahi untuk membuka buah yang gugur itu dan memarahi orang lain kerana buahnya yang masih mentah.

Advertisements

Beginilah nasib negara ketika PRU-14 dan pascanya sehingga negara terpaksa diselamatkan kerana mentahnya kemenangan yang tidak berkesudahan dengan krisis yang berlaku dan menyusahkan rakyat.

Langkah menyelamatkan negara yang diambil dengan cara yang baik telah bertambah berat tanggungjawabnya akibat wabak COVID-19 yang menimpa seluruh dunia.

Jadilah kita semua laksana dalam satu bahtera, kalau terus dibiarkan akan tenggelam, termasuk mereka yang tidak bersetuju disegerakan. Jika ditangguhkan langkah menyelamatkan negara kerana mengikut kemahuan demokrasi yang bernafsu itu, Allah SWT sahaja yang mengetahui apa akan terjadi.

Kini seluruh dunia dalam keadaan darurat wabak COVID-19. Setiap negara melihat menjaga nyawa manusia dalam menghadapi bahaya wabak COVID-19 hendaklah diutamakan daripada segala perkara yang lain.

Islam pula menegaskan perlunya tafaqquh (faham) dalam memandu kehidupan manusia dengan syariat yang sempurna dan mampu menyelesaikan masalah di sepanjang zaman, maka perlu diperkenalkan Feqah Muwazanat (Feqah Pertimbangan), Feqah Ma’alat (Feqah Implikasi) dan Feqah Aulawiyyat (Feqah Keutamaan).

Walaupun ada orang menyebutkan seakan kerajaan seperti penakut kerana Sidang Parlimen dipendekkan walaupun tidak membatalkannya. Juga dipersoalkan mengapa tidak dilantik Timbalan Perdana Menteri dan persoalan-persoalan lain seterusnya. Ini kerana terlalu tinggi menggunung semangat demokrasi mereka melebihi daripada demokrasi Greek Purba.

Kita juga menyaksikan akibat daripada keberanian melulu Presiden Amerika Syarikat dalam menghadapi COVID-19, apabila kepentingan ekonomi lebih diutamakan daripada kepentingan yang lain sehingga laksana semut mati dalam gula atau tikus makan apa sahaja walaupun diletakkan racun. Ini menjadikan negara kuasa besar itu menanggung akibat yang sangat parah dengan jumlah mangsa dan angka kematiannya.

Rasulullah SAW bersabda memberikan nasihat kepada umatnya:

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا، وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا‏.‏ فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا. (رواه البخاري)

“Perumpamaan pihak yang menegakkan sempadan Allah (penguatkuasa undang-undang) dan orang yang melanggarnya seperti satu kumpulan yang menaiki bahtera (kapal) lalu ditetapkan di tempat masing-masing. Sebahagiannya berada di atas (pemerintah) dan sebahagian lagi berada di bawah. Lalu mereka yang berada di bawah meminta air, pasti perlu melalui mereka yang berada di atas. Tiba-tiba mereka yang rakuskan air itu berkata, “Kalau ditebuk sahaja kapal ini tanpa peduli kepada mereka yang berada di atas itu?.” Jika dibiarkan sahaja mereka menunaikan kemahuan itu nescaya semuanya akan binasa tenggelam, sekiranya dihalang nescaya semuanya akan selamat.” (Riwayat al-Bukhari 2493)

Khalifah Uthman bin ‘Affan RA menegaskan:

إِنَّ اللهَ لَيَزِعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزِعُ بِالْقُرْآنِ

“Ada perkara di mana Allah mengizinkan pihak pemerintah melaksanakan sesuatu pencegahan atau tindakan apa yang tidak disebut di dalam al-Quran.” (Riwayat Ibn Kathir dalam Tafsirnya, jld. 5, ms. 111)

Perkara yang dimaksudkan itu adalah mengikut ilmu Siasah Syar’iyyah dalam pelaksanaan hukum tertentu, termasuk dalam perkara yang tiada nas.

Ketika berlakunya taun amwas di bumi Syam yang mengorbankan ribuan para sahabat dan tabiin RA termasuk Abu Ubaidah RA yang bertugas menjadi Gabenor Wilayah Syam, lalu Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab RA melantik ‘Amar bin al-‘Aas RA, maka beliau mengarahkan supaya dilaksanakan perintah kuarantin sehingga berpindah ke bukit dan lembah.

Tiba-tiba seorang daripada kalangan sahabat bernama Abu Wathilah al-Huzali RA menyanggah dengan kata-kata yang kesat, “Kamu lebih bodoh daripada keldaiku”, kerana merasakan diri dia terlebih dahulu masuk Islam daripada ‘Amar bin al-‘Aas.

Lalu dijawab oleh ‘Amar bin al-‘Aas, “Demi Allah aku tidak mahu menjawab dan tetap tidak dibenarkan keluar daripada kediaman masing-masing.” Akhirnya wabak dapat dibendung dan diatasi. Khalifah Umar RA menyanjung tinggi tindakan ‘Amar bin al-’Aas RA dan menugaskannya menjadi pemerintah di Mesir.

Jadikanlah kiblat kita menghadap ke Rumah Allah di Makkah, bukannya Rumah Putih di Washington. Ketepikan mereka yang lupa hidupnya bukan hanya dalam kotak dunia hari ini, sehingga tidak peduli terhadap bahaya yang mungkin menimpa rakyat sekiranya tidak diambil langkah pencegahan dan rawatan berkesan yang menjadi kewajipan siapa sahaja yang memerintah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Advertisements

Terkini

Jelajah Dunia Akhir BWF: Tang Jie-Ee Wei cipta sejarah

CHEN Tan Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara beraksi di final Jelajah Dunia...

Lagi Artikel Berkaitan