24.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 13, 2024

Sambut Ramadan di penjara atau rumah?

Mesti Baca

RAMADAN semakin hampir. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, seluruh umat Islam di negara ini akan menyambut bulan yang dinanti-nantikan setiap tahun itu.

Bagaimanapun, Ramadan kali ini tidak akan sama dengan mana-mana bulan puasa sebelum ini. Buat pertama kali, umat Islam di negara ini akan menyambut bulan yang mulia itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.

Sudah tentu Ramadan yang dijangka bermula Jumaat ini (bergantung kepada pengumuman kerajaan pada tarikh melihat anak bulan pada Khamis ini), akan terdapat amalan-amalan kehidupan baharu kepada rakyat kerana mereka tidak lagi dapat ke bazar Ramadan atau menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid.

Selain itu, kebiasaannya, setiap kali menjelang 1 Ramadan juga, umat Islam di seluruh negara akan berpusu-pusu pulang ke kampung bagi menyambut bulan penuh keberkatan bersama ahli keluarga.

Che Wann tertarik dengan laporan Bernama hari ini yang menyatakan, rakyat ketika itu tidak akan hirau kesukaran menempuh jalan raya sesak, asalkan dapat mengambil ‘mood’ bersahur, berbuka puasa dan terawih bersama orang disayangi di kampung halaman pada hari pertama Ramadan.

Sudah tentu, Ramadan kali ini akan menjadi bulan puasa yang luar biasa dan sudah pasti akan dikenang seumur hidup; umat Islam bakal menyambutnya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini telah pun memasuki fasa ketiga dan dijangka berakhir pada 28 April ini.

Jika keadaan kes Covid-19 semakin bertambah baik, kemungkinan besar tempoh PKP tidak akan disambung tetapi tidak mustahil kerajaan akan meneruskan pelbagai larangan seperti tiada bazar Ramadan, tiada perhimpunan beramai-ramai dan sebagainya.

Bagaimanapun, setakat ini, kerajaan mengingatkan bahawa orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung dalam tempoh PKP fasa tiga dilaksanakan. E-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu serta ‘bungkus dan ambil’ makanan juga tidak dibenarkan.

Advertisements

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan menambah sekatan jalan raya di seluruh negara bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkatkan berikutan ada ura-ura orang ramai ingin balik ke kampung untuk menyambut Ramadan.

Tidak mengira darjat, malah wakil rakyat juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ketika menjalankan tugas di kawasan masing-masing ketika tempoh pelaksanaan PKP serta tidak boleh mengadakan perjumpaan atau program serta jamuan melibatkan kelompok yang ramai.

Semua SOP dalam PKP ini pastinya mewujudkan norma baharu sambutan Ramadan berbanding kebiasaan kerana majlis berbuka puasa beramai-ramai yang menjadi kelaziman sewaktu bulan Ramadan pun tidak boleh diadakan.

Walaupun kes positif COVID-19 mencatatkan dua angka sejak beberapa hari lepas, namun usaha meratakan lengkuk masih berterusan dan rakyat perlu sedar ia bukanlah satu tiket untuk mereka sesuka hati melanggar PKP.

Apatah lagi menyimpan hasrat untuk pulang ke kampung menjelang Ramadan ini. Jadi, duduk sahaja di rumah.

Perlu diingat, sebanyak 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar PKP akan mula beroperasi 23 April ini, kira-kira sehari sebelum tarikh jangkaan umat Islam menyambut Ramadan.

Ini memberi pilihan kepada orang ramai sama ada mahu menyambut Ramadan dengan selesa di rumah, atau mungkin mahu merasakan kelainan tahun ini dengan menyambutnya di penjara. Tepuk dada tanya selera. – AGENSI

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan