29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jangan ghairah lantik Ahli Parlimen pengerusi GLC

Mesti Baca

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) diharap tidak terlalu ghairah melantik Ahli-ahli Parlimen mereka mempengerusikan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan, sebaliknya terlebih dahulu meneliti kemampuan mereka yang terbabit.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Takiyuddin Hassan yang mendakwa semua Ahli Parlimen Pas yang tidak memegang jawatan menteri atau timbalan menteri akan dilantik sebagai pengerusi GLC dan agensi kerajaan.

Memetik laporan MalaysiaKini, Takiyuddin berkata, Ahli Parlimen Pas mempunyai 18 orang dengan lapan daripadanya menjadi menteri dan timbalan menteri sementara seorang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tinggal sembilan lagi. Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC,” kata beliau semalam.

Sebelum ini, Edisi 9 menerima senarai Ahli-ahli Parlimen terutama dari UMNO yang dikatakan akan dilantik sebagai pengerusi agensi-agensi kerajaan.

Senarai nama yang tersebar dalam media sosial itu antaranya menyebut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Petronas yang baharu, diikuti oleh Datuk Seri Hajiji Mohd Nor (ADUN Sulaman) sebagai Pengerusi Tabung Haji, sementara Datuk Seri Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau) mempengerusikan syarikat FVG.

Berikut senarai penuh lantikan yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp:

  1. Tengku Razaliegh Hamzah (Ahli Parlimen Gua Musang) – Petronas
  2. Shahidan Kassim (Arau) – FGV
  3. Idris Jusoh (Besut) – FELDA
  4. Hajiji Mohd Nor (ADUN Sulaman) – Tabung Haji
  5. Azizah Mohd Dun (Beaufort) – MARA
  6. Rohani Abdul Karim (Batang Lupar) – Beras Nasional (Bernas)
  7. Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
  8. Hasan Arifin (Rompin)  – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  9. Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
  10. Azalina Othman (Pengerang) – Timbalan Speaker
  11. Mohamad Hasan (ADUN Rantau) – TNB
  12. Mahdzir Khalid (Padang Terap) – Telekom
  13. Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor) – Felcra
  14. Salim Sharif (Jempol) – Risda
  15. Hasbullah Osman (Grik) – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)
  16. Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) – Lembaga Pertubuhan Peladang
  17. Noh Omar (Tanjung Karang) – MISC
  18. Mohd Nizar Zakaria (Parit) – Lembaga Getah Malaysia
  19. Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) – Perkeso

Walaupun sehingga kini belum ada kenyataan resmi mengenai pelantikan terbabit baik daripada pihak kerajaan mahupun agensi berkaitan, mula timbul kebimbangan apabila kementerian berkaitan begitu ghairah melantik rakan-rakan Ahli Parlimen dalam parti masing-masing sebagai pengerusi agensi berkaitan.

Langkah tersebut seolah-olah meneruskan tradisi yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang mana mereka membuat lantikan dalam kalangan Ahli Parlimen mereka secara berjemaah sebagai pengerusi GLC dan agensi berkaitan.

Ini termasuk kalangan Ahli Parlimen yang tidak berkelayakan sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat menyebabkan mereka dianggap sedang menjarah jawatan secara besar-besaran sebagai hadiah kemenangan mereka menjadi kerajaan.

Keadaan itu juga dibimbangi akan memberi kesan kepada prestasi GLC dan agensi berkaitan terutama syarikat-syarikat yang berkait rapat dengan rakyat seperti Tabung Haji, yang mana semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, hibah penabung hanya diberikan antara paling rendah sejak ditubuhkan.

Selain itu, keghairahan pelantikan secara besar-besaran itu juga dirasakan tidak kena pada masanya ketika negara sedang berperang dengan wabak Covid-19 yang kini sudah melebihi 4,000 kes dengan lebih 70 kematian. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan