25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Henti berpolitik, gembleng tenaga atasi Covid-19

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

SEMUA pemimpin politik baik di pihak kerajaan apatah lagi pembangkang sepatutnya berhenti daripada terus berpolitik sebaliknya memberi tumpuan menglembeng tenaga untuk mengatasi wabak Covid-19 sekali gus mengakhiri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika kes Covid-19 di negara kita sudah menghampiri 5,000 kes sejak dua bulan lalu dengan jumlah kematian melebihi 80 orang setakat ini, sepatutnya semua pihak baik masyarakat awam, para ahli politik kerajaan dan pembangkang, di peringkat Pusat mahupun di akar umbi bersama-sama berhadapan dengan wabak ini.

Tingkah para pemimpin pembangkang khususnya yang terus menerus mencari kelemahan dan kesalahan kerajaan dalam menangai wabak Covid-19 sambil diri sendiri mencuci tangan adalah sangat tidak wajar walhal ia adalah isu negara, dan bukannya masalah mana-mana parti politik.

Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang baharu “meninggalkan” kerajaan akhir bulan lalu sepatutnya turut memahami keadaan tersebut sementelah wabak itu mula dikesan di negara ini ketika mereka masih menjadi kerajaan dan bukannya terus mendesak kerajaan melakukan perkara-perkara yang bukan kepentingan utama  buat masa sekarang.

Langkah pemimpin PH diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menerus mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan Sidang Parlimen di tengah-tengah seluruh negara sedang melaksanakan PKP adalah sesuatu yang tidak wajar.

Memang benar Sidang Parlimen yang sepatutnya diadakan Mac lalu sebelum ditunda kepada Mei ini adalah perlu bagi meluluskan pelbagai pelaksanaan pembangunan dan dasar-dasar kerajaan tetapi dalam keadaan seluruh dunia sedang “berperang” dengan Covid-19, tiada yang lebih penting melainkan menyelamatkan nyawa rakyat.

Selain itu ada sesetengah pemimpin PH menggunakan saluran media sosial untuk meremeh dan memperlekehkan tindakan-tindakan kerajaan bagi mengawal Covid-19 daripada terus merebak. Hampir semua langkah yang diambil kerajaan tidak disenangi tanpa membantu mencari jalan penyelesaian.

Di pihak kerajaan juga, bukan masanya untuk mereka berpolitik dengan menyalahkan pemimpin kerajaan terdahulu kerana lambat bertindak sehingga Covid-19 merebak dalam kalangan rakyat.

Mujur setakat ini belum ada kedengaran mana-mana menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang secara langsung mengungkitkan kelemahan kerajaan PH, dan jika ada pun hanya daripada kalangan penyokong dan pegawai mereka.

Isu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia yang dikatakan mempolitikkan isu Covid-19 mendapat kecaman teruk daripada masyarakat maya (netizen) dan para pemimpin pembangkang.

Begitu juga dengan penyebaran berita tidak benar oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh juga mendapat kecaman netizen sehingag bekas Timbalan Menteri itu disiasat oleh pihak berkuasa.

Dua kes tersebut adalah antara “kesilapan” yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang yang berpolitik dalam keadaan separuh darurat seperti hari ini. Adalah amat diharapkan perkara tersebut tidak berulang.

Sepatutnya semua pemimpin masyarakat baik pemerintah mahupun pembangkang tampil membantu pihak berkuasa menangani kedegilan rakyat yang mengingkari PKP di seluruh negara.

Gerakkan usaha agar rakyat di bawah bidang kuasa masing-masing baik di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli-ahli Majis pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi PKP dan membataskan pergerakan mereka.

Wujudkan pasukan sukarelawan yang boleh membantu rakyat di kawasan masing-masing untuk berbelanja keperluan harian bagi mengelak orang ramai keluar dari rumah untuk mendapatkan keperluan mereka. Bantuan bukan hanya dari segi kewangan tetapi dengan tenaga sukarelawan ini sudah amat memadai.

Bentuklah sukarelawan untuk mengambil tempahan penghantaran barangan keperluan di setiap kawasan masing-masing. Jadi tidak adalah lagi orang ramai beratur panjang untuk berbelanja di kedai-kedai Aceh di taman perumahan tetapi memadai diwakili oleh sukarelawan terbabit.

Jangan hanya mengharapkan orang lain atau syarikat-syarikat untuk menyediakan perkhidmatan pembelian dan penghantaran barangan keperluan ini kerana akhirnya pengguna perlu membayar perkhidmatan tersebut. Tidak, pengguna tidak mahu.

Sebaliknya perkhidmatan ini boleh disediakan oleh Ahli-ahli Parlimen, ADUN mahupun Ahli Majlis PBT atau Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) jika di luar bandar terbabit. Jadi rakyat senang, isu pelanggaran PKP dapat dikurangkan.

Ini tidak. Dalam keadaan negara sedang berperang dengan Covid-19, ramai pula yang menangguk di air keroh. Untuk apa? Untuk kembali berkuasa dengan menanam kebencian rakyat kepada pemimpin atau parti politik tertentu?

Sudah-sudahlah berpolitik sebaliknya kita semua mencari jalan menamatkan PKP dengan segera. Ramadan bakal tiba kemudian Syawal pula menjelma.

Apakah kita semua hanya mahu merayakan Aidilfitri di rumah masing-masing atau melihat anak-anak kita menangis menyambut lebaran di asrama-asrama universiti yang jauh dari ibu bapa lantaran PKP tidak dapat ditamatkan?

Jadi ayuhlah seluruh pemimpin masyarakat, berhenti berpolitik untuk seketika dan sama-sama gembleng tenaga menamatkan PKP dan penyebaran Covid-19. Kita semua boleh memainkan peranan masing-masing. Jangan berharap penuh kepada kerajaan semata-mata! – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan