KUALA LUMPUR – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan AS$300 juta (RM1.3 bilion) lagi dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menjadikan jumlah dipulangkan kepada Malaysia setakat ini berjumlah AS$620 juta (RM2.7 bilion).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu adalah dana yang diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS.
“Pada 30 Oktober 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low, mencapai penyelesaian dengan DoJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang difailkan oleh jabatan itu terhadap aset yang dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.
Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang dilucut hak dan dijual, serta aset berkaitan 1MDB yang disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dipetik di laman web Bernama, hari ini
Katanya, pemulangan AS$300 juta ini bermakna dana 1MDB yang dikembalikan kepada Malaysia, sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset, secara keseluruhannya kini berjumlah AS$620 juta.
Muhyiddin berkata, proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.
Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan AS, terutamanya kedutaannya di negara ini dan menyatakan kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak terbabit untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB. – AGENSI
Mesti Baca
Usaha Washington tingkatkan pengaruh kuasa di Indo-Pasifik
Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan
Tolak hubungan dengan Israel, 64 kapal dibenar lalui Laut Merah
Miss CosmoWorld International World 2023 milik Amerika Syarikat
AS pintas peluru berpandu dari Yaman, didakwa dituju ke Israel