MASJID Jamek Kerteh di Kemaman, Terengganu terus menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19.
Terbaharu, pihaknya menyampaikan sumbangan kepada 115 penerima yang terdiri daripada masyarakat setempat.
Imam Masjid Jamek Kerteh, Hassan Harun berkata, ini adalah kali keenam pihaknya menghulurkan sumbangan kepada masyarakat setempat sejak PKP dilaksanakan di seluruh negara.
“Kali ini kita mendapat kerjasama daripada Bank Rakyat yang turut menyediakan 60 pek sebagai sumbangan zakat manakala selebihnya daripada sumbangan orang ramai,” katanya menerusi laman Facebook masjid itu hari ini.
Pihaknya berharapa sumbangan orang ramai dan kalangan korporat dapat diteruskan terutama bagi menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Hassan berkata, pihaknya turut membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi pelaksanaan program tersebut di samping kerjasama pasukan RELA untuk mengawal penjarakan sosial sepanjang program berlangsung.
“Dalam keadaan sekarang pihak masjid tetap mengutamakan penjarakan sosial dan penyediaan topeng muka serta sanitasi kepada semua penerima,” katanya.