36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

‘Doktor bengang sangat, mereka sengaja cari nahas’

Mesti Baca

SEORANG doktor perubatan hari ini melepaskan kemarahan terhadap orang ramai khususnya di Johor Bahru yang masih berdegil mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Dr Hairin Anisa Tajuddin, seorang pakar kanak-kanak yang bertugas sebagai barisan hadapan di sebuauh klinik di Johor Bahru berkata, beliau bengang kerana masih ada lagi yang berani berkumpul beramai-ramai tanpa mempedulikan penjarakan sosial serta langkah keselamatan lain.

DR HAIRIN ANISA

Beliau berkata, keadaan itu boleh dilihat di beberapa pasar dan pasar raya di sekitar Taman Daya dan Larkin, Johor di mana terdapat juga ibu bapa yang membawa anak kecil untuk berbelanja tanpa mempedulikan penyebaran wabak Covid-19 yang boleh membawa maut.

“Itulah yang doktor bengang sangat ni, bengang sebab manusia dekat Johor Bahru ini sengaja cari nahas, maksudnya memang sengaja minta virus itu kejar mereka. Jadi, saya bengang sangat sebab masyarakat Malaysia khususnya di Johor Bahru ini, mental mereka degil, degil sangat.

“Mereka ini sengaja walhal mereka tahu virus ini berada di permukaan sampai beberapa hari. Jadi kalau kau orang pergi buat mudah, bersondol sana bersondol sini, berpegang sana, pegang sini, ia boleh menjadi satu rantaian yang panjang,” katanya dalam rakaman video melalui Facebook miliknya, semalam.

Video berdurasi 12.26 minit itu telah mendapat 1,300 komen dan telah dikongsi sebanyak 4,500. Rakaman itu juga tular dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp hari ini.

Dr Hairin Anisa berkata, beliau banyak mendapat rungutan daripada pesakit sehinggakan beliau sendiri sebagai petugas barisan hadapan menjadi takut kerana Johor Bahru berada dalam zon merah iaitu berisiko tinggi.

“Mereka tidak bekerja duduk berkumpul sana sini tiba-tiba minta insentif, minta bantuan itu ini daripada kerajaan, tapi degil. Benganglah ni! Kau mintak bantuan kerajaan tapi bodoh pergi duduk sana sini. Mulalah doktor nak marah, geram tau tak!” katanya dalam nada agak keras.

Beliau berkata, sikap penduduk Johor Bahru yang tidak menghiraukan penjarakan sosial dan berkumpul di sana-sini akan memperpanjangkan lagi rantaian pesakit Covid-19, sekali pun semakin menyukarkan untuk memutusan rantaian tersebut.

Kesannya bukan sahaja terhadap kesihatan dan nyawa penduduk terancam tetapi juga menyebabkan keadaan ekonomi rakyat serta negara akan terjejas teruk dan boleh menyebabkan gulung tikar.

Dr Hairin Anisa berkata, beliau telah membuat aduan berhubung sikap penduduk di kawasan terbabit kepada pihak Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi jawapan yang diterima amat mengecewakan.

“Bila saya adu kepada MKN, mereka kata lapor kepada ibu pejabat polis berhampiran. Doktor mengadu kepada polis mereka kata pihaknya sudah menghalau mereka terbabit tetapi mereka tetap berdegil, apa lagi polis boleh buat,” katanya.

Justeru beliau berharap perkara itu mendapat perhatian para penduduk Johor Bahru agar mengambil langkah penjarakan sosial dan mengikuti arahan PKP bagi mengelak wabak itu berpanjangan. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia Negeri Johor menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru awal pagi ini dan...

Lagi Artikel Berkaitan