31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Adakah kita akan terus tertipu?

Mesti Baca

SEMALAM, bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar menukilkan satu status di Facebooknya yang menyatakan rakyat Malaysia mungkin akan ditipu sekali lagi.

Nukilan bekas bos Che Wann yang terkenal dengan penulisan politiknya itu menyatakan, selepas tertipu dalam Pilihan Raya Umum yang lepas, rakyat mungkin akan tertipu sekali lagi berikutan isu semasa.

Katanya, selepas sekali ditipu, kita mungkin akan tertipu sekali lagi mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa hanya ‘kumpulan mereka’ adalah pejuang penjawat awam yang sebenar; pejuang bagi pelajar, orang muda dan orang miskin; mempunyai bakal ‘Perdana Menteri terbaik; akan memberi bantuan lebih baik dan sebagainya.

Mungkin ada yang akan bersetuju atau tidak dengan kenyatan Zulkiflee itu tetapi Che Wann lebih berminat melihatnya dari sudut kehidupan.

Selepas menulis artikel mengenai isu semasa dan rawatan alternatif, Che Wann ingin pula berkongsi artikel yang berbentuk tips kehidupan dengan memetik fakta-fakta dari ceramah penceramah berkelayakan.

Isu tipu menipu ini sebenarnya pernah disentuh oleh Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad  dalam ceramahnya tahun lepas bertajuk “Kita semua pakat kena tipu” sambil memetik firman Allah yang bermaksud: 

“Tidaklah hidup di dunia ini melainkan sifatnya adalah seronok dan menipu (mempedayakan).” – (QS Ali-Imran 3:185)

Hampir ke semua golongan masyarakat kini tertipu dengan keseronokan dunia sehingga melupai matlamat asal mendapatkan keredaan Allah dan mencari bekalan ke alam akhirat.

Berikut dikongsi sedutan daripada ceramah Ustaz Shamsuri tersebut untuk renungan kita bersama:-  

  • PEMIMPIN tertipu sehingga leka dengan kuasa yang mereka ada – apabila di bawah menjadi pembangkang tetapi apabila memerintah menjadi ‘bengkang’.
  • ULAMA tertipu dan leka dengan populariti, nak jadi selebriti. Ulama yang sepatutnya menjadi pemimpin ummah telah menjadikan matlamat itu sebagai ‘matlamat kedua’ tetapi menjadikan matlamat hendak menjadi selebriti sebagai agenda utama.
  • ORANG KAYA tertipu kerana leka mengejar kemewahan. Sudah memiliki RM3 juta, ingin mengejar RM10 juta, RM100 juta dan sebagainya tanpa rasa puas.
  • ORANG MISKIN tertipu kerana kecewa dengan kemiskinan sehingga boleh melewati batas-batas kekufuran.  Nabi Muhammad pernah bersabda: “ada manusia yang hampir-hampir miskin menjadikan dia kufur.”

Sedangkan kemiskinan dan kekayaan itu ujian daripada Allah. Sesiapa yang diuji Allah dengan kekayaan dan sering bersyukur serta berinfak fisabilillah, kekayaan itu akan memberi manfaat kepadanya.

Sedangkan orang miskin yang diuji, terus sabar dengannya dan berusaha memajukan diri tetapi masih juga tiada perubahan – maka usahanya itu menunjukkan ia sabar dengan ujian Allah dan akan mendapat keuntungan di sisi Allah.

Tetapi hakikatnya, ramai orang kaya yang tertipu dengan kekayaannya dan orang miskin tidak terkecuali tertipu dengan kemiskinannya.

Menurut Ustaz Shamsuri, suami isteri, ibu bapa, anak-anak dan sebagainya juga boleh tertipu dan gagal dalam melaksanakanan tanggungjawab mereka yang seterusnya memberi kesan buruk kepada institusi kekeluargaan. Katanya, Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda:   

Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara.”

Menurut Ustaz Shamsuri, ketika dunia dalam keadaan kelam-kabut tersebut, Nabi Muhammad menyatakan akan muncul golongan Ruwaibidhah yang mana kata-kata golongan itu sentiasa didengar walaupun apa yang diperkatakan itu penipuan atau fitnah.

Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?.” Nabi menjawab, “Orang yang bodoh (dipengaruhi dunia, fasik) yang menguruskan urusan umum.” (HR Ibnu Majah).

Mereka sebenarnya tidak tahu apa-apa tetapi pandai bercakap terutama dalam menjuarai isu-isu besar yang berkaitan dengan masyarakat.

Malangnya, cakap golongan ini didengari dan Ustaz Shamsuri mengakhiri ceramahnya meminta agar kita yang hidup di akhir zaman ini belajar ilmu yang sahih dan beramal dengannya.

Kita juga dinasihatkan jangan sekali-kali berdusta atas nama agama, menjadi pengkhianat kepada agama dan jangan hendak menunjuk pandai di atas perkara-perkara yang kita tidak ketahui. 

NOTA:

Memandangkan penulis bukan merupakan pakar dalam bidang agama, segala pandangan atau kritikan dialu-alukan jika terdapat kesilapan. Wallahualam 

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan