KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan semua pekerja penghantar makanan yang berkhidmat dengan syarikat e-hailing atau pengantar individu perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka boleh menjalani pemeriksaan itu di mana-mana klinik kesihatan awam dan swasta ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menjaga tahap kesihatan para penghantar makanan itu yang berhubung secara langsung dengan pelanggan dan peniaga.
“Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP untuk tempoh bulan Ramadan dalam pelaksanaan PKP,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.
Katanya, lebih 40 syarikat e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan ini termasuk penghantar makanan di restoran makanan segera.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat e-hailing yang beroperasi, manakala bagi restoran makanan segera, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan arahan sama.
“Bagi kawasan luar bandar dan bandar-bandar kecil iaitu di kawasan syarikat e-hailing tidak beroperasi, pengusaha makanan boleh menggunakan khidmat penghantaran (delivery service) syarikat lain ataupun individu.
“Penghantar makanan (rider di bandar kecil) perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka juga perlu menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Kerajaan atau klinik swasta berdekatan.
“Syarat yang dikenakan ini bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya. – AGENSI