26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024
Home Blog Page 124

2 kes saman fitnah Dr Mahathir, Ahmad Zahid ditangguhkan

PERBICARAAN dua kes saman fitnah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan.

Memetik laporan Berita Harian, Perbicaraan kes saman fitnah difailkan Dr Mahathir terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kerana didakwa mempersoalkan asal usul bekas Perdana Menteri berkenaan, yang sepatutnya bermula 11 September lalu ditangguhkan ke 13 Februari tahun depan.

Bagi perbicaraan kes saman difailkan Ahmad Zahid terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya, yang sepatutnya bermula Isnin depan pula ditangguhkan ke satu tarikh belum ditetapkan lagi.

Peguam bela Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, ketika dihubungi mengesahkan perkembangan baharu dua kes saman terbabit.

“Kedua-dua kes saman itu ditangguhkan. Bagi kes saman fitnah difailkan Ahmad Zahid terhadap anak guam, mungkin Isnin depan akan tetapkan tarikh bicara yang baharu.

“Kes saman Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid pula ditangguhkan ke 13 hingga 16 Februari tahun depan,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, memfailkan saman terhadap Dr Mahathir, 96, pada 20 April tahun lalu dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti PEJUANG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pada 23 Februari 2022.

Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir ke rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan menyelesaikan kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan ketika itu.

Ahmad Zahid mendakwa, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri siasatan yang dijalankan agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Dr Mahathir melalui saman difailkannya pula mendakwa bahawa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah didakwa berkenaan sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’, jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah, mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, Dr Mahathir mendakwa bahawa kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia, dipandang serong. -Edisi 9

Telegram didakwa sekat saluran dikaitkan dengan Hamas

0

APLIKASI komunikasi Telegram didakwa menyekat beberapa saluran yang dikaitkan dengan pejuang Palestin, Hamas.

Antaranya adalah akaun rasmi Hamas, akaun sayap bersenjatanya Briged Qassam dan akaun berita Gaza Now yang kini tidak boleh diakses pada versi Telegram yang dimuat turun dari Google Play atau App Store Apple, sejak minggu lalu.

Akaun itu sebelum ini mengumpulkan ratusan ribu pengikut baharu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, namun difahamkan ia masih boleh diakses melalui versi dalam talian Telegram dan versi aplikasi yang dimuat turun terus dari laman web Telegram.

Walaupun Telegram tidak mengulas secara terbuka mengenai alasan tindakan sekatan itu, ia didakwa berlaku selepas kumpulan pelobi menentang ‘pergerakan anti-Israel’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Zachor Legal Institute menulis surat kepada Apple dengan menunjukkan tujuh akaun dikaitkan dengan Hamas yang boleh diakses pada iOS meskipun ia disekat untuk pengguna Android.

Apple dan Telegram bagaimanapun tidak menjawab ketika diminta mengulas.

Namun Google memberitahu Al Jazeera dalam satu kenyataan bahawa Google Play mahukan aplikasi yang tidak terlalu mempamer ‘kandungan mengerikan, termasuk kandungan yang mempromosikan tindakan pengganas, menghasut keganasan atau meraikan serangan pengganas’.

Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza dianggap organisasi ‘pengganas’ oleh AS, Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Jepun dan Paraguay.

Aplikasi Telegram banyak digunakan oleh Hamas untuk mempromosikan mesejnya dan menyiarkan video dalam masa nyata.

Selain itu, kumpulan bersenjata lain seperti ISIL (ISIS) dan al-Qaeda juga turut menggunakan aplikasi yang terkenal dengan sikap lepas tangan dalam mempromosikan ideologi dan serangan.

“Telegram berfungsi kepada Hamas sejak hari itu dan tidak mempunyai dasar kesederhanaan malah peraturan longgar ini membenarkan kumpulan tertentu memuat naik rakaman grafik pembunuhan beramai-ramai dan kemudian kandungan itu akan ditapis ke tempat lain di internet seperti X,” kata seorang editor bersekutu di Makmal Penyelidikan Forensik Digital Majlis Atlantik, Layla Mashkoor kepada Al Jazeera.

Saluran rasmi Briged Qassam dan Hamas masing-masing mengumpul tambahan pengikut hampir setengah juta dan 100,000 pelanggan, selepas serangan 7 Oktober lalu, manakala Gaza Now, yang didakwa ‘sejajar dengan Hamas’ oleh Majlis Atlantik juga meningkat pengikutnya daripada 343,506 kepada hampir 1.9 juta orang.

Bagaimanapun apabila sekatan terhadap versi Google Play dan App Store Telegram, saluran itu dikesan kehilangan antara 10,000 ke 80,000 pelanggan.

Mashkoor berkata, walaupun status Hamas sebagai kerajaan Gaza membezakannya daripada kumpulan bersenjata seperti ISIL, kedua-duanya dikesan tetap berkongsi kandungan sedemikian melalui saluran seperti Telegram.

“Fakta adalah fakta dan mereka secara rasminya adalah kumpulan perwakilan untuk Gaza dan itu memang menuntut perbincangan mengenai cara kita melayan pemimpin atau pegawai negeri perlu dipertimbangkan.

“Tetapi sudah tentu elemen lain yang perlu dipertimbangkan adalah mengenai imej sebenar dan keganasan serta bagaimana anda mengimbanginya, yang menjadi perkara yang sangat sukar untuk ditentukan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov sebelum ini mempertahankan dasar sederhana platform itu, dengan alasan bahawa ia akan memberi maklumat berharga mengenai perang Israel-Palestin dan kurang berkemungkinan dalam penyebaran kandungan berbahaya berbanding pesaing, kerana pengguna mesti mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Tidak mungkin saluran Telegram boleh digunakan untuk menguatkan propaganda dengan ketara.

“Ia berfungsi sebagai sumber pertama untuk penyelidik, wartawan dan pemeriksa fakta. Walaupun mudah bagi kami untuk memusnahkan sumber maklumat ini, berbuat demikian berisiko memburukkan lagi keadaan yang sudah teruk,” kata Durov dalam catatan di Telegram awal bulan ini, yang turut berkata, moderatornya mengeluarkan jutaan kandungan berbahaya setiap hari.

Hamas dilihat tidak berdiam diri mengenai kemungkinan akan diharamkan daripada Telegram dan sudah memberitahu pengikutnya untuk memuat turun aplikasi khas yang khusus.

Mengulas perkara itu, Mashkoor berkata, saluran yang lebih kecil mampu menyebarkan maklumat yang boleh memastikan mesej terus disebarkan walaupun Telegram bertindak keras terhadap kumpulan itu.

“Kebanyakan platform mempunyai dasar terhadap menaja kandungan daripada organisasi pengganas yang ditetapkan, jadi usaha untuk mengawal penyebaran kandungan ini akan sentiasa bermula di saluran sumber,” katanya. -Agensi

Petugas khas operasi beras putih tempatan dilanjutkan – KPKM

0

PASUKAN petugas khas bagi Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 17 November ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, keputusan tersebut diputuskan Mesyuarat Mingguan Petugas Khas BPT Bilangan Kelima semalam.

Beliau berkata, lanjutan itu diputuskan bagi mempergiatkan operasi terutama di Sabah dan Sarawak kerana melibatkan isu penyeludupan beras putih import (BPI) bersubsidi ke negara jiran.

“Melalui pelanjutan tempoh ini, penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dijalankan di pintu masuk sempadan Sabah dan Sarawak serta diperketatkan lagi melalui task force ini bagi mengelakkan ketirisan subsidi dan pembaziran wang negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Foong Hin berkata, sehingga 1 November lalu, sebanyak 196 pemeriksaan premis telah dilakukan secara bersepadu melibatkan 71 kilang, 113 pemborong dan 12 peruncit di Semenanjung Malaysia.

Katanya, antara agensi terlibat adalah pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam (JKDM).

“Sehingga kini, terdapat tiga kes sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan sembilan (9) kes di bawah KPDN.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan BPI, menyeludup keluar BPI atau menyembunyikan bekalan BPT,” tegasnya. – Edisi 9

Pan Gon harap aksi kelayakan Piala Dunia kekal di Bukit Jalil

0

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon melahirkan hasrat untuk melihat pasukannya kekal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, Stadium Nasional merupakan kubu kuat Harimau Malaya di mana penyokong dan pemain sudah cukup biasa dengan suasana di stadium tersebut.

“Besarlah harapan saya supaya perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyztan pada 16 November ini akan tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional.

“Selain memudahkan urusan kehadiran penyokong memandangkan Stadium Nasional ini terletak di Lembah Klang sekali gus lebih ramai yang boleh hadir.

“Ia juga membantu mengurangkan tempoh perjalanan pasukan berbanding jika aksi di gelanggang sendiri ini dilangsungkan di luar Lembah Klang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Pan Gon, berdasarkan tinjauan terkini bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) semalam, keadaan padang kini bertambah baik berbanding ketika Pestabola Merdeka, bulan lalu.

Beliau berkata, dari segi teknikal, keadaan padang di Stadium Nasional pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini.

“Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Lagipun untuk aksi bertemu Republik Kyrgyz ini hanyalah satu perlawanan, sebelum kami terbang ke Chinese Taipei untuk perlawanan kedua pada 21 November,” jelasnya. – Edisi 9

31 lokasi berdepan ancaman tanah runtuh

0

JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengenal pasti sebanyak 31 kawasan hotspot yang berdepan ancaman tanah runtuh di seluruh negara.

JMG menerusi kenyataan berkata, kawasan yang terlibat adalah sekitar Lembah Klang, Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang, Ipoh dan Cameron Highlands di Perak, Kundasang di Sabah dan Bau di Sarawak.

“Sebagai tindakan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November, JMG telah melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal di seluruh negara.

“Sebanyak 104 lokasi cerun telah diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi dan sejumlah 97 dan 53 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal sederhana dan rendah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan pemantauan, JMG berkata, sebanyak 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi manakala 15 cerun sedang diambil tindakan mitigasi dan 202 cerun dalam perhatian untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sebaran maklumat hasil pemantauan cerun kritikal ini telah dibuat kepada agensi berkepentingan bagi tindakan susulan.

“JMG juga telah menjalankan pemetaan di 7 lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi untuk berlakunya bencana geologi aliran puing iaitu di Perak (TER Lata Iskandar), Selangor (TER Sungai Tua), Negeri Sembilan (TER Jeram Toi), Pahang (TER Chamang) dan Terengganu (TER Lata Payung, TER Chemerong dan TER Air Menderu).

“Laporan pemetaan merangkumi Peta Pengurusan Bencana Geologi serta cadangan mitigasi dan pemasangan sistem amaran awal aliran puing disediakan oleh pihak berkepentingan,” katanya.

JMG dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko supaya peka dengan keadaan sekeliling.

“Ini termasuk berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan-kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok-pokok yang berterusan condong,” jelasnya. – Edisi 9

Pembukaan Lebuh Raya SPE: Tol percuma selama sebulan

0

PENGGUNA Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) akan menikmati tol percuma selama sebulan sempena pembukaan penuh projek lebuh raya terbabit hari ini.

Pemberian tol percuma sehingga 11.59 malam pada 2 Disember itu, akan melibatkan Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang dari Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menuju ke SPE dan Plaza Tol Setiawangsa (arah selatan dan utara).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sejajar dengan aspirasi kempen MYJalan, pembukaan lebuh raya ini tentunya memberi kelegaan kepada lebih 100,000 pengguna jalan raya.

“Ia membabitkam laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari pusat bandar raya Kuala Lumpur pada waktu puncak.

“Dijangka masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan sehingga 30 peratus. Malahan perjalanan yang mengambil masa lebih satu jam kini dapat dipendekkan kepada 35 minit sahaja,” katanya selepas merasmikan pembukaan projek Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) hari ini.

Menurut Alexander, selepas tempoh itu, pengguna akan membayar kadar tol RM3.50 bagi kenderaan kelas satu (kereta).

Nanta berkata, SPE yang menghubungkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, merupakan projek membabitkan empat seksyen iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4), melibatkan jarak keseluruhan 20.7 kilometer (km).

“Bagaimanapun, sebahagian daripada jajaran lebuh raya berkenaan iaitu Seksyen 4 dengan jarak 4.4 km, telah pun dibuka kepada pengguna pada 21 Disember 2021,” katanya. – Edisi 9

Pembangunan ekonomi di Terengganu makin maju

0

PEMBANGUNAN ekonomi di Negeri Terengganu dilihat telah semakin maju dan hanya bidang-bidang tertentu sahaja perlu diberi perhatian bagi merancakkan lagi agenda pelaburan.

Perkara itu dinyatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas sesi pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4).

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, sebenarnya Terengganu sudah banyak maju.

“Saya juga telah ditunjukkan pelan-pelan kemajuan negeri. Buat masa ini banyak kerja-kerja sudah dilaksana, jadi tidaklah banyak saya perlu bantu, kecuali bidang-bidang tertentu selain dari yang sedia ada.

“Bagaimanapun, saya bangga kerana ada pengusaha Melayu yang guna cara moden mengeluarkan produk barangan makanan untuk eksport ke Australia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Saudi, Ireland dan lain-lain.

“Penggunaan mesin boleh percepat dan perbanyakkan produk mereka di samping menjaga konsistensi sesuatu produk.

“Semalam, saya berpeluang melawat dua syarikat perusahaan makanan di Kuala Terengganu semasa lawatan kerja saya ke Terengganu sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4).

“AdeqSue – menyediakan makanan siap masak dalam bentuk pek (package), dan Muslim Food Industries – keluarkan makanan seperti bihun, mee, laksa, kuetiau, bebola ikan dan lain-lain.

“Kedua-dua perusahaan ini menggunakan jentera mesin yang boleh hasilkan pengeluaran dalam jumlah besar dan memenuhi permintaan.

“Kedua-dua ini antara contoh baik yang boleh dijadi panduan kepada pengusaha lain yang berminat dalam bidang sebegini,”katanya.

Beliau berkata, industri pembuatan dan pembungkusan seperti ini mempunyai permintaan harian kerana barang makanan biasanya diperlukan setiap hari.

Selain itu, katanya, perusahaan ini juga memerlukan pengurusan logistik yang cekap bagi menentukan ianya sampai ke pasaran.

“Apabila sesuatu industri diadakan, ianya membuka peluang kerja kepada orang tempatan dan sekeliling.

Tun Dr Mahathir sempat membuat lawatan ke kilang dua usahawan makanan tempatan Adeqsue dan Muslim Food di Kuala Terengganu.

“Selain itu, keperluan logistik menghantar produk itu tadi juga adalah peluang kerja kerana kenderaan memerlukan pengendali seperti kelindan dan pemandu.

“Ini sahaja sudah beri pendapatan kepada orang tempatan dan kitaran ekonomi berlaku secara tidak langsung.

“Selain peluang kerja, saya dapati perusahaan seperti ini mengajar peniaga bagaimana membekal mengikut permintaan.

“Jika kita masak secara manual dalam jumlah sedikit, ini sekadar memenuhi permintaan sekeliling kita sahaja.

“Tetapi jika kita guna mesin atau jentera dan adaptasi kaedah pengeluaran secara besar-besaran, bukan sahaja permintaan sekeliling boleh dipenuhi malah permintaan di luar kawasan termasuk di luar negara juga kita mampu penuhi dan kuasai.

“Kita perlu hantar barangan kita ke negara-negara lain, jadi pasaran bukan lagi sekadar di kampung atau dalam negara tetapi terus ke peringkat antarabangsa,”katanya.

Dalam sesi lawatan yang sama, beliau turut singgah ziarah ke kediaman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang. – Edisi 9

MOF nafi Bantuan Kanak-kanak 2023 dikeluarkan

0

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menafikan berita pemberian Bantuan Kanak-kanak (BKK) sesi 2023.

MOF menerusi kenyataan berkata, berita yang tular menerusi khidmat pesanan ringkas dan media sosial itu adalah palsu.

“Kementerian Kewangan menegaskan bahawa maklumat mengenai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Sesi 2023 adalah palsu.

“Berita yang tular tersebut tertera dengan maklumat berkenaan bantuan tersebut akan diberikan kepada semua kanak-kanak tanpa had pendapatan ibu bapa.

“Kriteria kanak-kanak yang boleh memohon tertakluk mereka yang warganegara dan berumur 18 tahun ke bawah.

“Mesej tersebut juga menyertakan sekali link yanh boleh dimuatnaik,”katanya.

Berikutan itu, MOF memohon kepada orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan berita-berita sebegini.

Layari portal dan ikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat terkini dah sahih. – Edisi 9

PLKN 3.0 hanya untuk remaja lahir pada 2007

0

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya akan melibatkan golongan remaja yang lahir pada 2007 sahaja.

Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan, kerajaan telah bersetuju memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baharu PLKN 3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.

“Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada 2024, maka remaja yang hanya lahir pada 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial mengenai cadangan pelaksanaan PLKN 3.0 melibatkan golongan belia berumur antara 16 hingga 35 tahun yang mendapat reaksi pelbagai daripada orang ramai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksanakan semula dengan membabitkan dua fasa.

Katanya, Fasa 1 membabitkan pelajar tingkatan empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) sementara Fasa 2 melibatkan pelajar tingkatan lima di kem latihan Askar Wataniah sedia ada selepas menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Mindef berkata, sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.

“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun. Kementerian berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0,” katanya. – Edisi 9

Bantuan Ops Ihsan ke Palestin diterbangkan 10 malam ini

0

BANTUAN awal peringkat pertama sumbangan rakyat Malaysia bagi membantu rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan dijadual akan diterbangkan ke Kaherah pada pukul 10 malam ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Kadir berkata, bantuan itu berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan manakala penghantaran bantuan makanan lain akan menyusul kelak.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan terus menyumbang untuk membantu rakyat Palestin,” katanya menerusi Facebook beliau.

Difahamkan pelepasan bantuan ihsan ke Palestin itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Terdahulu, beliau berkesempatan melihat persiapan penghantaran bantuan berkenaan di gudang MAPIM di Bandar Serenia, Sepang. Turut serta, Timbalan Mentrri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Katanya, gudang tersebut akan ditempatkan segala jenis bantuan dan sumbangan orang ramai dan pertubuhan badan bukam kerajaan (NGO) yang akan dihantar ke Palestin.

“Alhamdulillah berkat usahasama dan penyelarasan yang baik, kita berjaya mengumpulkan lebih 45 NGO seluruh Malaysia dalam misi kali ini yang dinamakan Ops Ihsan.

“Kementerian Luar Negeri sebagai koordinator dalam memastikan setiap jenis bantuan yang diperlukan, proses pengumpulan dan penghantaran yang dilakukan menjadi lebih tetatur dan teliti.

“Terima kasih kepada semua NGO, sukarelawan dan pihak yang terlibat dalam misi kali ini yang pertama kali berjaya mengumpulkan NGO-NGO ini di bawah satu bumbung bergerak bersama,” katanya. – Edisi 9

JAKIM siasat isu letak daging babi di kaunter umum

0

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil langkah awal bersama pihak berkuasa negeri susulan tular video memaparkan sebuah pasar raya yang tidak mengasingkan kaunter jualan daging babi dengan kaunter umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAKIM mengambil maklum mengenai isu video tular melalui media sosial berkenaan kaedah pengendalian produk tidak halal di sebuab premis runcit yang dipercayai berlaku di sebuah negeri utara tanah air.

“Jakim memberi perhatian penuh terhadap isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut.

“Sehubungan itu, JAKIM telah mengambil langkah-langkah awal bersama pihak berkuasa di negeri terbabit dan siasatan lanjut dilaksanakan untuk memastikan isu tersebut dapat ditangani dengan baik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas awal berhubung isu video tular pengendalian pork slice atau potongan daging babi di sebuah premis runcit.

Menurutnya, secara umum, premis peruncitan bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Pihak JAKIM juga tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkonsepkan peruncitan.

Sehubungan dengan itu, katanya, JAKIM menasihati semua pengguna khususnya masyarakat Muslim agar terus berwaspada dan pastikan memilih premis atau produk yang disahkan halal dan selamat.

Sebelum ini tular sebuah video di TikTok, memaparkan tindakan sebuah pasar raya yang gagal menjaga sensitiviti umat Islam.

Ia didedahkan oleh seorang pengguna apabila mendapati pengendalian kaunter pork slice atau potongan daging babi tidak diasingkan menyebabkan air daripada produk sejuk beku tidak halal itu mencemari kaunter umum. – Edisi 9

Skim harga maksimum sempena Deepavali diumum Isnin ini

0

SKIM Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Deepavali akan diumumkan pada Isnin (6 November) ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kawalan harga itu, akan diletakkan pada harga maksimum berdasarkan keperluan barangan asas musim perayaan dan ia dilaksanakan bersempena perayaan tersebut tidak lama lagi.

“Selalunya kita akan meletakkan harga maksimum untuk barang keperluan asas mengikut perayaan, seperti Deepavali ada barang-barang keperluannya, kalau Tahun Baru Cina, ada barang khasnya.

“Kita akan mengawalnya selama tujuh hari sebelum dan selepas Deepavali, dan pemantauan akan sentiasa dibuat di mana-mana lokasi,” katanya selepas tinjauan harga ayam di Pasar Awam Kajang, hari ini.

Sementara itu, bagi pelaksanaan pengapungan harga ayam, Fuziah mengingatkan bahawa pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan memastikan peniaga dan pengeluar tidak mengambil kesempatan di atas pelaksanaan tersebut.

Beliau berkata, sekiranya harga yang ditetapkan oleh peniaga itu tidak munasabah, mereka boleh dikenakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, manakala pada pengeluar atau kartel mereka tertakluk pada Akta Persaingan.

“Saya kira ada beberapa peniaga masih tidak berapa jelas berhubung pengapungan harga ayam, sebab ada yang tanya kepada saya apa maksud apung dan ada peniaga yang menambah kos tambahan seperti upah potongan dan sebagainya dan sekiranya berlaku, ia menyalahi undang-undang.

“Kita juga akan mengawal di peringkat pengeluaran menggunakan Akta Persaingan, sebagai contoh apabila berlakunya pakatan antara kartel untuk menaikkan harga di peringkat pengeluaran, bagi memastikan kartel tidak mengambil kesempatan,”katanya.

Beliau berkata, perkara itu mungkin akan berlaku sekiranya pihak terbabit berpakat menaikkan harga seperti harga makanan ayam di peringkat pengeluaran dan itu akan memberi kesan di peringkat bawah seperti peruncit dan pengguna.

KPDN telah menggerakkan lebih 2,200 orang anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), bagi memantau situasi harga ayam yang telah diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Pada masa yang sama, KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari, melibatkan hampir 1,500 premis meliputi pasar basah, pasar raya dan pasar raya besar, pasar mini, serta kedai runcit di seluruh Malaysia.- BERNAMA