27.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024
Home Blog Page 125

Zaman ‘edan’ penuh kutukan

0

BENAR sekali kata Pujangga Jawa, Ronggowarsito dalam tulisan Puji Santosa mengenai “Zaman Edan (Zaman Gila), Zaman Penuh Kutukan”.

Apa tidaknya apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikuasai oleh sebuah negara haram kecil dan disokong oleh negara-negara kuasa veto besar-besar seperti Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, Rusia dan China.

Raden Ngabehi Ranggawarsita atau Ronggowarsito, seorang pujangga besar budaya dan falsafah Jawa. Lahir pada 15 Mac 1802 di Surakarta dan meninggal dunia di Solo pada 24 Disember 1873.

Apa tidak gilanya, apabila semua media cetak dan elektronik seperti CNN, BBC, Al-Jazeera dan lain-lain menyebelahi negara haram dalam pelaporan mereka.

Hanya berita dalam bahasa Arab sahaja yang ada menyebut sedikit mengenai kejayaan pihak Palestin.

Paling baik ialah jangan dengar, lihat, dan kongsi apa-apa berita yang dirasakan menekan perjuangan Palestin dan kita terus berdoa agar Allah SWT membalas segala kejahatan mereka (negara haram) dengan kekalahan yang memalukan.

Perjuangan mencari syahid sangat berbeza dengan perjuangan mencari dunia.

Melalui pemboikotan produk negara haram dan sekutu-sekutunya, dolar AS akan musnah, apalagi sekarang dengan adanya Pakatan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dolar akan semakin lemah.

Pembayaran import dan eksport kepada negara BRICS tidak lagi dalam dolar.

Pengajaran kepada negara angkuh dan sombong ialah dengan tidak bersama mereka, baik dalam pakatan ekonomi, ketenteraan, kewangan dan lain-lain.

Apabila mereka merasa adanya bahang kesempitan ekonomi sikap mereka boleh berubah untuk bersahabat dengan negara lain dan lebih bersikap adil dan saksama.

Dalam berita terbaharu dikatakan bahawa pihak Palestin sudah berjaya mengebom rektor nuklear di negara haram tersebut dan kesannya akan lebih teruk daripada Hiroshima dan Nagasaki.

Ini membuatkan ramai rakyat mereka berpusu-pusu melarikan diri ke luar negara.

Berita ini tidak keluar dalam media antarabangsa yang berada di bawah kawalan negara haram tersebut.

Walau apapun kita harap berita ini benar dan suatu kejayaan bagi mengajar negara angkuh dan sombong itu.

Dikatakan bahawa beberap produk yang dikaitkan dengan negara haram itu sudah mula diboikot.

Harap-harap boikot ini jangan seperti hangat-hangat tahi ayam.

Dengan berlalunya masa, boikot mungkin mudah dilupakan apabila lidah sudah terbiasa dengan makanan segera yang kurang gizi itu.

Kita harap boikot ini diteruskan sebagai pengajaran bagi keangkuhan dan kesombongan mereka.

Semoga bantuan Allah SWT segera turun dengan keikhlasan perjuangan Palestin bagi mempertahankan negara mereka yang dirampas.


Penulis adalah mantan Profesor Madya di Universiti Sains Islam Malaysia dan aktif dalam penulisan.

Calon BN bagi PRK Kemaman terus jadi teka-teki

CALON Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bulan depan terus menjadi teka-teki selepas beberapa nama besar yang sebelum ini disebut-sebut kini semakin pasti tidak dipilih.

Ia susulan pengumuman oleh Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang beliau tidak akan bertanding dalam PRK tersebut.

Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diberi peranan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN dalam PRK kali ini.

Menurut sumber, turut tidak dicalonkan ialah bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi FELDA.

Kedua-dua pemimpin tersebut antara yang disebut-sebut sebelum ini untuk kembali bertanding bagi merampas kerusi tersebut daripada Pas yang dimenangi sejak PRU-14 lalu.

“Calonnya difahamkan seorang tokoh masyarakat di Kemaman tetapi tidak mempunyai jawatan dalam parti,” kata sumber tersebut kepada Edisi 9.

Sebelum ini UMNO Kemaman telah mengemukakan lebih daripada tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK Kemaman.

Mereka termasuk kalangan anak muda berjawatan dalam parti serta beberapa individu yang berada di luar parti.

Difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan calon PRK Kemaman pada Isnin, 13 November.

Pada PRU-15 lalu, Ahmad tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Che Alias Hamid yang menang dengan majoriti 27,179 undi.

Pertarungan empat penjuru ketika itu menyaksikan Che Alias meraih 65,714 undi menewaskan Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Susulan itu, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan. – Edisi 9

Polis Melaka tahan lima individu curi kabel

POLIS Melaka telah berjaya menahan lima individu yang terlibat dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi di Jasin, Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata, kesemua lima individu yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan melayu itu berumur antara 19 hingga 37 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur serta Johor.

“Kesemua mereka ditahan oleh sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Jasin pada hari yang sama sejurus menerima laporan polis berkaitan kehilangan kabel telekomunikasi.

“Terdahulu laporan polis telah dibuat oleh seorang Juruteknik Telekom setelah menerima maklumat daripada Sistem Alarm Fiber berkaitan kerosakan pada kabel di sebuah kawasan di Sungai Rambai, Jasin.

“Pemeriksaan yang dijalankan dilokasi mendapati terdapat kabel lebih kurang 250 meter yang dianggarkan bernilai RM 8,500.00 telah dipotong.

“Sejurus menerima laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Jasin telah menjalankan menjalankan siasatan dan menahan lima individu serta merampas dua buah kenderaan, lapan gelung kabel telekomunikasi dan beberapa peralatan yang digunakan bagi tujuan memotong kabel,”katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Katanya, kesemua individu yang tidak bekerja itu ditahan polis di sekitar daerah Jasin, Muar serta Tangkak.

“Permohonan reman keatas semua individu tersebut akan dibuat pada 6 November 2023 bagi meneruskan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“Kesemua mereka juga turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak kurang 1 tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,”katanya.

Beliau berkata, Polis Melaka sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab bagi menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keselamatan masyarakat di negeri ini serta tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. – Edisi 9

Hamid Mohd Amin Ketua Pengarah Maritim Malaysia baharu

0

LAKSAMANA Maritim Datuk Hamid Mohd Amin telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang ke enam berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan Hamid itu yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) itu, bagi menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang telah bersara wajib pada Mac lalu.

Upacara kenaikan pangkat dan pelantikan itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Hamid dilahirkan di Selangor pada 19 April 1964 dan telah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserapkan ke Maritim Malaysia sebagai pegawai perintis agensi ini pada 31 Oktober 2005.

“Memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah serta Sarawak dalam menjaga keselamatan negara daripada pelbagai ancaman khasnya jenayah rentas sempadan.

“Hamid pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada tahun 2019.

“Beliau turut diberikan tanggungjawab menjadi Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada tahun 2021, seterusnya pada bulan Mac yang lalu, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Maritim Malaysia berkata, berlandaskan perancang strategik dan aturgerak aset yang bijak, beliau telah mencapai banyak kejayaan melalui penahanan dan pendakwaan kes berprofil tinggi seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia, minyak, kontraban dan barangan kawalan yang melanggar undang-undang negara.

“Malah beliau juga terlibat dalam pelbagai inisiatif untuk memperkuatkan hubungan kerjasama antara Maritim Malaysia dengan nelayan serta komuniti maritim dalam usaha mempertingkatkan keselamatan maritim negara.

“Atas sumbangan dan jasa dalam perkhidmatan maritim, beliau telah menerima banyak pengiktirafan seperti Darjah Kebesaran Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mangku Negara (AMN) serta Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pada Ogos yang lalu.

“Kini dengan peranan baharu sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, beliau diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi warga Maritim Malaysia melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar negara,”kata kenyataan itu. – Edisi 9

312 botol minuman keras bernilai lebih RM50,000 disita

ZON Maritim Tawau, Sabah berjaya menggagalkan cubaan membawa 312 botol minuman keras tanpa sebarang permit kastam, petang Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Cegah PATI Selatan dan Ops Tiris telah berjaya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan O.1 batu nautika timur laut Jeti Wallace Bay, Pulau Sebatik.

“Setelah berjaya menahan bot berkenaan, anggota geledah dari Kapal Peronda Maritim Malaysia telah melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang juragan lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama seorang pembantu lelaki juga warga tempatan berumur 32 tahun berada di dalam bot tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan telah menemukan 26 kotak minuman keras pelbagai label dengan jumlah 312 botol disembunyikan di dalam guni dan disorokkan di bawah barangan runcit,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dokumentasi juga mendapati kesemua minuman keras yang dibawa tidak disenaraikan di dalam senarai barangan dibawa.

Berikutan itu, katanya, juragan bersama pembantu serta muatan dan bot kargo terbabit ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

“Nilai rampasan keseluruhan termasuk bot beserta enjin dianggarkan bernilai lebih RM50,000,”katanya.

Ujar beliau, pihak Zon Maritim Tawau percaya modus operandi yang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa adalah dengan menyembunyikan barangan larangan import di dalam muatan yang dibenarkan bagi mengelakkan dikesan.

“Proses penghantaran juga hanya dilakukan pada kuantiti yang sederhana supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya. – Edisi 9

Palestin: Pemimpin negara Islam akan adakan pertemuan – PM

0

PEMIMPIN negara-negara Islam akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan konflik di Palestin.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan November di Putrajaya, pagi ini.

“Kita telah hubungi pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Turkiye, malah Iran juga untuk mengadakan perbincangan dalam kalangan kepala-kepala negara.

“Keputusan sekarang ini yang bincang dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad bin Salman dan Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan) dalam tempoh sehari, dua untuk mempertemukan pemimpin Islam,” katanya.

Anwar berkata, beliau sebelum itu mengusulkan perbincangan sama turut disertai pemimpin negara bukan Islam seperti Brazil, Ireland, Rusia dan China yang mempunyai pendekatan “lebih lunak” serta mempertahankan hak kemanusiaan.

“Bagaimanapun, belum ada kata putus berhubung cadangan itu. Positifnya, belum pernah isu Gaza, Palestin dibahas secara terbuka di dunia barat seperti sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, hubungan baik Malaysia dan Mesir memudahkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Palestin dengan lebih cepat.

“Saya minta keutamaan untuk bantuan kemanusiaan dari Malaysia. Mereka pegang pada janji Malaysia antara paling cepat diberi layanan dan dapat seberang sempadan,” katanya.

Lintasan Rafah ke Semenanjung Sinai Mesir satu-satunya pintu keluar dari Gaza yang tidak dikawal rejim Zionis Israel, di mana trak bantuan masih boleh memasuki wilayah itu.

Penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia untuk rakyat Palestin melibatkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas Jumaat lalu.

Israel menolak gesaan melaksanakan gencatan senjata di Gaza pada Ahad, dengan pakar ketenteraan berkata pasukannya sedia memperhebatkan serangan terhadap kumpulan Hamas tanpa menetapkan sebarang tempoh untuk operasi mereka.

Pegawai kesihatan Gaza pada Ahad berkata, lebih 9,770 rakyat Palestin terbunuh dalam peperangan yang akan genap sebulan esok, termasuk sekurang-kurangnya 4,880 kanak-kanak. – Edisi 9

Royal Enfield buka kedai eksklusif keempat di Batu Caves

0

PEMIMPIN global dalam segmen motosikal sederhana, Royal Enfield, mengumumkan pembukaan kedai eksklusif keempat mereka di Batu Caves, Selangor.

Didi Group berkata, kedai berkenaan yang di dokong oleh Hup Seng Bikers Sdn Bhd itu terletak di Dolomite Park Avenue, Jalan Batu Caves dan akan menawarkan aksesibiliti yang lebih luas dan besar kepada pelanggan di Malaysia.

Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo, berkata ia adalah antara komitmen kumpulan untuk memperluas lagi jangkauannya.

“Ini akan mendekatkan kami kepada pelanggan kami dan memberikan akses mudah kepada jenama.

“Dengan usaha bersama Royal Enfield dan Didi Group, kami yakin dengan kemampuan kami untuk membina kehadiran yang menonjol dalam pasaran Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Perniagaan Asia Pasifik Royal Enfield, Anuj Dua, berkata, Royal Enfield mempunyai komitmen untuk menjadi pemimpin global dalam segmen sederhana dan pasaran Asia Pasifik adalah sangat penting dari segi strategik.

“Kami telah berterusan membina aksesibiliti yang lebih besar bagi komuniti yang berminat dan penunggang yang setia.

“Malaysia adalah salah satu pasaran yang berpotensi tinggi di Asia Tenggara dan kami telah melihat peningkatan pesat dalam komuniti penunggang Royal Enfield.

“Kedai Batu Caves adalah kedai jenama eksklusif keempat yang kami lancarkan dalam tempoh dua tahun.

“Kedai jenama eksklusif ini dan rangkaian produk kami yang menginspirasi, tersedia pada harga yang berpatutan, akan menarik peminat motosikal,” katanya.

Dengan kedai eksklusif baru ini, Royal Enfield akan menyediakan bilik pameran, pusat servis, pakaian dan aksesori di bawah satu bumbung. -Edisi 9

Kongsi gaya hidup sihat, Fazura lancar TrullyCaffe

0

TIDAK asing lagi di dalam perniagaan produk gaya hidup sihat, selebriti dan usahawan Nur Fazura Sharifuddin teruja melancarkan produk terbaharunya, TrullyCaffe.

Produk kopi diet di bawah jenama TrullyDolly yang mempunyai kandungan berkualiti itu ditawarkan pada harga ‘milik semua’.

“Alhamdulillah Faz sangat bersyukur kerana perniagaan yang dimulakan lebih 5 tahun lalu ini dapat terus berinovasi dalam mengeluarkan produk premium yang menitikberatkan kandungan berkualiti dengan harga milik semua.

“Faz sendiri menggunakan TrullyCaffe disamping mengekalkan gaya hidup sihat dalam mencapai penampilan fizikal yang diinginkan,” katanya pada majlis pelancaran produk berkenaan, semalam.

TrullyCaffe yang rendah kalori dan tiada gula, didatangkan dalam dua perisa Caffe Latte dan Buttercream Latte.

TrullyCaffe juga diperkayakan dengan ekstrak-ekstrak Garcinia cambogia, ekstrak kopi hijau dan saffron yang dilaporkan berpotensi membantu penjagaan berat badan.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan seninya, Faz berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama berepisod.

“Alhamdulillah, Faz sekarang sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbaharu yang akan ditayangkan pada Ramadan tahun depan.

“Faz berharap drama ini dapat memenuhi permintaan peminat lakonan Faz selepas sekian lama.

“Memang kadang-kadang ianya mencabar dalam menguruskan keluarga, kerjaya dan perniagaan dalam masa yang sama tetapi Faz sangat bersyukur kerana masih mampu melaksanakan semuanya dengan baik, berkat doa dan sokongan ramai.

“Dalam kesibukan itu juga tercetus idea slogan TrullyDolly iaitu ‘Trully jadi’,” katanya.

TrullyCaffe boleh diminum oleh kaum wanita dan lelaki yang mementingkan kesihatan dan penjagaan berat badan.

Setiap paket TrullyCaffe mempunyai 7 sachet bagi program 7 hari diet dengan harga ‘MilikSemua’ RM47. -Edisi 9

PM arahkan semua KSU minitkan laporan audit, baiki tatakelola

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, ketua pengarah dan ketua jabatan meminitkan perbincangan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran.

Katanya, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk dilaksanakan terutama dalam menangani isu ketirisan.

“Saya minta semua ketua jabatan teliti bukan sahaja perkara yang disentuh mengenai jabatan berkenaan tetapi melihat keseluruhan usul cadangan untuk memperbaiki tata kelola.

“Saya akan cadang kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara) supaya semua ini diminitkan. Ketua jabatan, ketua pengarah atau KSU harus meminitkan perbicangan mengenai LKAN supaya disampaikan kepada KSN, supaya dipastikan ia dibincang kerangka besar isu laporan dan teguran ketua audit negara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan November di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar. – Edisi 9

Teater Dang Anum ditawarkan adakan ‘roadshow’ di Indonesia

0

BARU sahaja pertama kali dipentaskan, Teater Dang Anum terbitan Persatuan Seni & Budaya Redholah (The Redholah) telah mendapat tawaran untuk mengadakan jerayawara (roadshow) ke beberapa negeri di dalam dan luar negara.

Penerbit dan pengarah, Amirul Haswendy Ashari, berkata tawaran itu muncul dari kalangan peminat teater yang menghubungi The Redholah dan menyatakan minat untuk membawa naskah ini ke beberapa lokasi terpilih.

“Pada awal mendapat tahu mengenai tawaran itu, pihak persatuan agak terkejut, seperti bermimpi pula.

“Mereka menawarkan kerjasama dan tajaan untuk membawa Teater Dang Anum ke beberapa negeri di Semenanjung,” katanya.

Lebih mengejutkan, pihak yang membuat tawaran itu mahu naskhah ini turut dipentaskan di Batam dan Riau, Indonesia.

Apatah lagi, naskhah ini sememangnya sangat dekat dengan masyarakat terutama bangsa Melayu yang tinggal di beberapa kepulauan Melayu seperti Batam dan Riau.

“Setakat ini kami belum bersedia untuk mendedahkan siapa pihak itu kerana masih dalam proses perbincangan, lagi pun kami mahu Teater Dang Anum ini selesai terlebih dahulu.

“Jika ada rezeki, tidak mustahil naskhah ini akan ‘menggembara’ ke seluruh pelusuk negara termasuk ke negara jiran,” kata Amirul lagi.

Dalam pada itu, Teater Dang Anum yang mula dipentaskan pada Sabtu dan Ahad kelmarin, berjaya menarik hampir 500 penonton.

Pementasan Teater Dang Anum di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur menampilkan Ain Sufia sebagai Dang Anum, Azizul Ammar sebagai Megat Seri Rama/Laksamana Bentan, Along Eyzendy sebagai Sultan Mahmud dan Adam Shahz sebagai Tun Beja Ali.

Selain itu ia juga menampilkan pelakon teater berpengalaman seperti Md Hussin, Azhar Jalil, AG Hafiz, Shareezwan, Myza Alid, Eyza Shariff, Affan Mohd dan ramai lagi.

Teater Dang Anum adalah projek teater pertama The Redholah di bawah Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kolej Seni Kreatif, Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM). -Edisi 9

Mesyuarat PBKD lulus kemas kini GFRP, berkuatkuasa 1 Januari

0

MESYUARAT Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan pengemaskinian Guideline For Facilitated Registration Pathway (GFRP) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 sebagai langkah memantapkan Facilitated Registration Pathway (FRP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, antara aspek GFRP yang telah dikemaskini menerusi kelulusan yang diputuskan pada 3 Nov lalu adalah peluasan skop produk merangkumi ubat generik selain ubat baharu dan produk biologi, penambahan bilangan agensi regulatori rujukan daripada dua kepada tujuh serta pendekatan penilaian bersama negara-negara ASEAN.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat PBKD itu juga meluluskan pendaftaran produk Ocrevus (ocrelizumab) 300mg/10ml Concentrate for Solution for Infusion untuk rawatan sklerosis berbilang melalui penilaian bersama negara ASEAN dan produk itu berjaya didaftarkan dalam tempoh 30 hari bekerja seperti yang digariskan dalam GFRP terbaharu.

“Dengan pencapaian awal FRP dan penilaian bersama negara-negara ASEAN, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) komited untuk meneruskan usaha menambah baik sistem regulatori bagi meningkatkan akses rakyat Malaysia kepada ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan,”katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata, NPRA sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan sistem regulatori bagi meningkatkan akses pesakit kepada produk ubat baru dan salah satu laluan alternatif pendaftaran produk ubat di Malaysia adalah FRP yang diperkenalkan oleh NPRA pada 2019.

Beliau berkata, melalui FRP, penilaian saintifik ubat baharu dijalankan menggunakan kaedah pergantungan iaitu dengan merujuk kepada laporan penilaian badan regulatori negara lain seperti Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA).

Katanya, pendekatan pergantungan itu adalah sejajar dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan pertindihan kerja dalam kalangan badan regulatori dan meningkatkan kecekapan proses penilaian ubat baharu. – Edisi 9

Hala tuju sistem RFID antara dibincang di Dewan Rakyat

0

HALA tuju kerajaan berhubung sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) di semua lebuh raya di negara ini, antara yang bakal dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) kepada Menteri Kerja Raya yang juga ingin tahu usaha kementerian bagi menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna lebuh raya pada sesi soal jawab.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah diambil bagi menangani isu ketidakpadanan kemahiran yang dikenal pasti sebagai faktor utama menghalang keupayaan sumber tenaga kerja untuk beralih kepada negara berpendapatan tinggi.

Pada sesi sama, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mahu Menteri Ekonomi menyatakan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar Khamis lepas dengan lebih suara bersetuju.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang di peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 Nov depan.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 13 Okt lepas melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari mulai 9 Okt lepas.- BERNAMA