28.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Calon BN bagi PRK Kemaman terus jadi teka-teki

Mesti Baca

CALON Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bulan depan terus menjadi teka-teki selepas beberapa nama besar yang sebelum ini disebut-sebut kini semakin pasti tidak dipilih.

Ia susulan pengumuman oleh Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang beliau tidak akan bertanding dalam PRK tersebut.

Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diberi peranan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN dalam PRK kali ini.

Menurut sumber, turut tidak dicalonkan ialah bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi FELDA.

Kedua-dua pemimpin tersebut antara yang disebut-sebut sebelum ini untuk kembali bertanding bagi merampas kerusi tersebut daripada Pas yang dimenangi sejak PRU-14 lalu.

“Calonnya difahamkan seorang tokoh masyarakat di Kemaman tetapi tidak mempunyai jawatan dalam parti,” kata sumber tersebut kepada Edisi 9.

Sebelum ini UMNO Kemaman telah mengemukakan lebih daripada tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK Kemaman.

Advertisements

Mereka termasuk kalangan anak muda berjawatan dalam parti serta beberapa individu yang berada di luar parti.

Difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan calon PRK Kemaman pada Isnin, 13 November.

Pada PRU-15 lalu, Ahmad tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Che Alias Hamid yang menang dengan majoriti 27,179 undi.

Pertarungan empat penjuru ketika itu menyaksikan Che Alias meraih 65,714 undi menewaskan Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Susulan itu, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan