PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, ketua pengarah dan ketua jabatan meminitkan perbincangan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran.
Katanya, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk dilaksanakan terutama dalam menangani isu ketirisan.
“Saya minta semua ketua jabatan teliti bukan sahaja perkara yang disentuh mengenai jabatan berkenaan tetapi melihat keseluruhan usul cadangan untuk memperbaiki tata kelola.
“Saya akan cadang kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara) supaya semua ini diminitkan. Ketua jabatan, ketua pengarah atau KSU harus meminitkan perbicangan mengenai LKAN supaya disampaikan kepada KSN, supaya dipastikan ia dibincang kerangka besar isu laporan dan teguran ketua audit negara,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan November di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar. – Edisi 9

