25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024
Home Blog Page 123

Kes jenayah dadah meningkat 30.6 peratus tahun lalu

0

STATISTIK kes berkaitan dadah meliputi kesalahan membekal dan memiliki serta positif ujian urin menunjukkan peningkatan 30.6 peratus iaitu 141,289 kes pada tahun lalu berbanding 108,220 kes pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kesalahan membekal dadah meningkat sebanyak 18 peratus, memiliki dadah (35.1 peratus) dan positif ujian urin (31.2 peratus) pada 2022 berbanding 2021.

“Bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat 26.3 peratus kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan.

Statistik berkenaan adalah berdasarkan laporan Statistik Jenayah Malaysia 2023 yang diterbitkan dan disiarkan menerusi laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis.

Menerusi laporan berkenaan, kes positif ujian urin dadah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 69,270 kes pada tahun lepas berbanding 52,816 kes pada tahun sebelumnya, diikuti kesalahan memiliki dadah (52,398 kes berbanding 38,775 kes pada 2021) manakala membekal dadah (19,621 kes berbanding 16,629 kes pada 2021).

Selain statistik jenayah dadah, laporan Statistik Jenayah Malaysia 2023 turut memuatkan statistik jenayah terpilih lain iaitu jenayah indeks, komersial, keganasan dan seksual, rasuah, pematuhan alam sekitar, kesalahan trafik, maritim dan fasiliti pemulihan bagi 2021 hingga 2022.

Mohd Uzir berkata, antara jenayah yang turut menunjukkan peningkatan bilangan kes ialah jenayah seksual dan ia merekodkan peningkatan 2.9 peratus dengan 3,303 kes pada 2022 berbanding 3,209 kes pada tahun sebelumnya.

“Kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan, masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus.

“Kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi pada 2022 iaitu 9.6 peratus,” katanya.

Bagi jenayah yang menunjukkan penurunan adalah jenayah indeks yang merekodkan 50,813 kes tahun lalu berbanding 52,974 kes pada tahun sebelumnya, manakala jenayah komersial mencatatkan 30,536 kes pada 2022 daripada 31,490 kes pada 2021.

“Jenayah indeks dan jenayah komersial masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan tiga peratus pada 2022.

“Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dan masing-masing menunjukkan penurunan 10 peratus dan 2.4 peratus iaitu 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022.

“Kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan PDRM menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes diikuti pecah amanah (911 kes) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes).

Bagi kes berkaitan rasuah pula, Mohd Uzir berkata, bilangan kertas siasatan yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan satu peratus kepada 820 kes pada 2022 daripada 828 kes pada tahun sebelumnya. -Edisi 9

Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar

0

PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) di peringkat dasar.

Rang undang-undang itu diluluskan apabila lebih suara bersetuju selepas undian suara dijalankan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi Kementerian Kewangan, yang merupakan kementerian terakhir membuat penggulungan

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ yang dibentang Anwar di Parlimen pada 13 Okt lepas, melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.

Daripada jumlah peruntukan tersebut RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan manakala RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Rang undang-undang itu dibahaskan selama lapan hari mulai 16 Okt oleh 162 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh semua 25 kementerian dan tiga Jabatan Perdana Menteri selama empat hari bermula Isnin lepas.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang berkenaan bagi peringkat jawatankuasa dijadualkan selama 12 hari bermula 6 Nov ini.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.–BERNAMA

MyCC beri amaran, pantau ketat persaingan pasaran ayam

0

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran dan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap proses persaingan pasaran ayam yang ditamatkan subsidi berkuatkuasa semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyCC, Iskandar Ismail, berkata pemantauan akan dipergiatkan atas aktiviti pasaran ayam bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap sebarang gangguan dalam proses persaingan di pasaran, terutama membabitkan aktiviti kartel.

Ia susulan langkah kerajaan yang menghapuskan subsidi dan kawalan harga ke atas ayam berkuat kuasa semalam.

Katanya, dalam tempoh peralihan berikutan langkah kerajaan itu, harga ayam akan berubah daripada harga siling RM9.40 bagi setiap kilogram (kg) kepada harga yang akan ditentukan keadaan semasa pasaran.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya setakat ini, persaingan dalam pasaran ayam dilihat menunjukkan tanda positif dan bekalan produk itu tidak mengalami sebarang gangguan.

Harga ayam bagi tempoh dua hari pertama tempoh peralihan ini dijual dalam lingkungan RM6.49 hingga RM11.00 bagi setiap kg dan MyCC juga tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak sehingga hari ini.

“Walaupun terdapat persaingan dalam pasaran, kami akan terus memantau pasaran secara dekat bagi mengesan sebarang tanda kewujudan pelakuan antipersaingan.

“Pemansuhan subsidi dan penghapusan harga kawalan bagi ayam tidak boleh diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.

“Sama seperti penyiasatan yang dilaksanakan MyCC pada tahun lalu terhadap syarikat pengeluar makanan ayam, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika terdapat sebarang tanda yang menunjukkan terdapat gangguan terhadap proses persaingan oleh mana-mana pemain industri dari mana-mana peringkat rantaian bekalan sekali pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November serta melanjutkan pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.

Beliau berkata, langkah penamatan subsidi secara pukal itu bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini turut dinikmati warga asing dan berpendapatan tinggi.

Selain penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan dan meningkatkan pelbagai inisiatif sosial ekonomi serta kebajikan rakyat, termasuk bantuan tunai.

Iskandar berkata, MyCC sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), yang akan memberi akses kepada data penting bagi mengesan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“MyCC sedar ayam adalah salah satu sumber protein utama untuk pengguna Malaysia. Kami kekal komited dalam memastikan persaingan yang sihat dalam pasaran ayam untuk kebaikan pengguna.

“MyCC mengalu-alukan sebarang aduan atau perkongsian maklumat berkaitan dengan isu yang relevan baik daripada pengguna mahu pun peniaga,” katanya.

Katanya, sebarang aduan dan maklumat boleh dikongsikan melalui laman sesawang web www.mycc.gov.my atau sebarang cara yang dirasakan sesuai. -Edisi 9

PM hulur sumbangan kepada Ibnor Riza, Fauziah

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada dua artis veteran tanah air, Ibnor Riza dan Fauziah Samad yang ketika ini mengalami masalah kesihatan.

Anwar menerusi catatan di Facebook berkata, beliau menzahirkan rasa dukacita terhadap khabar duka yang menimpa seniman dan seniwati negara tersebut.

“Lantaran itu, hari ini Setiausaha Politik saya, saudara Ahmad Farhan Fauzi telah menziarahi mereka.

“Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya kepada bagi membantu urusan perubatan masing-masing.

“Saya mendoakan mereka berdua dikurnikan afiyah dan diberikan kekuatan oleh Allah,” katanya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Ibnor atau nama sebenarnya Ibnor Riza Ibrahim yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran diuji dengan penyakit kanser limfoma.

Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan Perdana Menteri kepada Fauziah Samad di rumahnya.

Sementara itu, Anwar berkata, Fauziah pula kini menghidap penyakit osteoartritis sehingga memaksa beliau berkerusi roda.

Sebelum ini, penderitaan Ibnor Riza turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im melalui Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi meringankan bebas penderitaan yang ditanggung penyanyi tersebut. – Edisi 9

Bot fiber ditahan bersama 21 bubu naga

SEBUAH bot gentian kaca (fiber) ditahan bersama 21 bubu naga ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau Perak, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot tersebut dikesan ketika seorang nelayan tempatan sedang leka menarik bubu naga.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit tidak memiliki lesen yang sah dan sebanyak 21 bubu naga ditemui berada di dalam bot terbabit.

“Kesemua bubu naga, nelayan dan bot ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan kesemua bubu naga itu adalah berjumlah hampir RM1,500,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan atau membenarkan dikendalikan apa-apa vesel perikanan tanpa lesen yang sah.

Mohd. Najhan berkatam kes turut disiasat di bawah Seksyen 11(3)(a) akta yang sama iaitu mengendalikan atau membenarkan dikendalikan apa-apa belat ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen yang sah.

“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim khususnya nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan dan kelestarian ekosistem marin negara,” katanya. – Edisi 9

Garis panduan pembangunan tapak pelancar angkasa dipersetujui

0

MESYUARAT Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (Jangka) telah bersetuju dengan Garis Panduan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kemudahan Pelancar di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, penyediaan garis panduan itu melibatkan beberapa sesi libat urus bersama agensi kerajaan persekutuan dan negeri, industri serta akademia yang telah diadakan mulai Mac hingga Oktober lalu.

Katanya, ini bagi memastikan garis panduan tersebut adalah bersifat menyeluruh dan menepati keperluan semua pihak berkaitan.

“Objektif utama garis panduan ini adalah sebagai dokumen rujukan bagi pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan pembangunan kemudahan pelancar di Malaysia kepada entiti-entiti yang berminat melaksanakan kajian.

“Ini sekali gus mengelakkan sebarang pertindihan dari sudut perundangan iaitu peraturan dan akta yang sedang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lih Kang berkata, garis panduan ini mengandungi lapan skop utama sebagai asas yang perlu dikaji entiti yang berhasrat dalam membangunkan kemudahan pelancaran di negara ini.

Katanya ianya termasuk analisa tapak, analisa teknikal, analisa risiko, analisa alam sekitar, analisa kos dan kewangan, analisa pasaran, analisa undang-undang dan analisa pemegang taruh.

“Garis panduan ini terpakai dan boleh dimanfaatkan semua pihak yang berhasrat untuk membangunkan kemudahan pelancar di Malaysia.

“Manakala skop atau aspek kajian kebolehlaksanaan pembangunan kemudahan pelancar di dalam garis panduan ini adalah sebagai asas kajian dan ia juga boleh ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap garis panduan ini akan memudahkan semua yang terlibat dalam proses penyediaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kemudahan Pelancar di Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Kad diskaun khas untuk pengusaha Menu Rahmah

0

KERAJAAN mempelawa pengusaha-pengusaha Menu Rahmah di seluruh negara untuk memohon kad diskaun yang disediakan bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan bahan makanan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif itu merupakan langkah bagi memastikan kelangsungan program serta meningkatkan penyertaan pengusaha restoran.

Katanya, enam pasar raya yang telah bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan inisiatif tersebut iaitu pasar raya AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin dan NSK.

“Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha yang diluluskan penyertaan adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi mengurangkan kos penyediaan.

“Pasar raya ini akan menawarkan kadar diskaun sehingga 40 peratus terhadap 5,000 stock keeping unit (SKU), tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Program Menu Rahmah yang mula dilaksanakan sejak 31 Januari lalu untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup dengan harga tidak melebihi RM 5.00 bagi setiap hidangan.

Sehingga kini, terdapat 2,849 premis berdaftar yang menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara.

Sementara itu, Armizan berkata, Permohonan bagi Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini telah dibuka bermula hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.

“Antara syarat- syarat permohonan adalah warganegara Malaysia, telah berdaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah di bawah KPDN dan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan,” katanya. – Edisi 9

PERKESO laksana 5 program intervensi kakitangan MYAirline

0

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah melaksanakan lima program intervensi awal, bagi merungkai kemelut dialami pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang ditamatkan operasinya baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata intervensi pertama diadakan melalui mesyuarat secara dalam talian bersama pengurusan sumber manusia MYAirline pada 12 Oktober lalu iaitu sejurus syarikat itu mengumumkan penggantungan operasi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat situasi semasa pekerja syarikat itu, PERKESO kemudian menjalin kerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) bagi merencana usaha menyerap kakitangan MYAirline melalui temu duga yang dijalankan untuk jawatan kru kabin, jurutera dan khidmat pelanggan.

Selain itu, dua lagi mesyuarat lanjutan masing-masing diadakan pada 18 dan 19 Oktober lalu secara fizikal dan dalam talian.

“Mesyuarat membabitkan pengurusan tertinggi MYAirline ini adalah untuk merangka program susulan yang perlu diadakan secepat mungkin, demi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup pekerja syarikat penerbangan ini terjamin.

“Hasil mesyuarat itu membawa kepada taklimat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan pemprofilan pekerja oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk kakitangan MYAirline yang diadakan di Subang Jaya, selama dua hari bermula 25 Oktober lalu.

“Menerusi taklimat ini, PERKESO juga mendapatkan butiran pekerja MYAirline untuk memproses 357 permohonan faedah SIP bagi tempoh maksimum selama enam bulan, demi menjamin kelangsungan hidup keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya serta merta dan ia berlanjutan sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

Susulan itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif diambil PERKESO, Mohammed Azman berkata, usaha pihaknya menyalurkan bantuan demi merungkai kemelut dialami pekerja MYAirline turut mendapat kerjasama daripada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM).

Katanya, status kontrak perkhidmatan pekerja MYAirline yang seakan tergantung adalah antara faktor yang mempengaruhi proses permohonan faedah melalui Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Bagaimanapun, katanya PERKESO akan terus melipat gandakan usaha ke arah penyaluran bantuan, termasuk dari segi pemberian faedah, penempatan pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja MYAirline.

“Rentetan daripada perkara ini, adalah penting untuk majikan pastikan caruman PERKESO untuk pekerja dibuat mengikut ketetapan kerana jika majikan culas, kebajikan kakitangan bakal terjejas apabila pembuangan kerja berlaku.

“Kami memandang serius terhadap majikan yang tidak berdaftar dan mencarum pekerja di bawah seliaan mereka dengan PERKESO.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perkara ini,” katanya. -Edisi 9

KKR guna program ‘sandbox’ integrasikan jalan raya pintar

0

PROGRAM sandbox infrastruktur jalan pintar yang diperkenalkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) diyakini akan menjadi platform integrasi teknologi, kajian pembinaan dan penyelenggaraan jalan secara inklusif di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia juga membolehkan idea teknologi baharu dari pelbagai agensi dan pemain industri dikumpulkan dan diuji di lokasi-lokasi terpilih di dalam negara.

“Secara ringkasnya, ujian yang memberikan hasil yang terbaik akan diberi fokus dan diperhalusi bagi digunapakai dalam kerja-kerja penyenggaraan mahupun pembinaan infrastruktur dan bangunan.

“Saya difahamkan program rintis sebegini pernah dibuat oleh Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Malaysia Berhad bagi program Sandbox Lebuhraya Pintar.

“Saya percaya sudah tiba masanya KKR memperkenalkan Sandbox Infrastruktur Jalan Pintar bagi memanfaatkan 33.4 juta penduduk Malaysia yang menggunakan infrastruktur jalan negara.

“Inisiatif inovasi hasil daripada kepakarannya dan pengetahuan sedia ada di KKR dan agensi dapat diketengahkan untuk diuji keberkesanannya,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia yang diadakan di Melaka.

Usaha itu, beliau berkata, selari dengan hasrat KKR untuk memperkasakan adaptasi teknologi dan inovasi dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan negara.

“Saya telah menyatakan pentingnya KKR dan seluruh agensi di bawahnya untuk meneroka teknologi baharu bagi meningkatkan keselesaan kepada rakyat.

“Ini juga sejajar dengan semangat kempen MYJalan yang turut memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah penyenggaraan yang lebih efisien dan memudahkan rakyat.

“Cadangan ini akan dibincangkan secara serius di peringkat kementerian bagi memperincikan pelaksanaannya selain menjemput semua pihak berkaitan untuk turut serta menyumbang idea dan inovasi mereka,”ujar beliau. – Edisi 9

Fazley jawab isu kerjasama dengan jenama kopi diboikot

0

SELEBRITI dan cef, Datuk Fazley Yaakob berkongsi khabar gembira apabila dia dilantik sebagai duta kepada 16 jenama daripada pelbagai rangkaian produk.

Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, 45, berkata, setiap tawaran diterimanya itu adalah rezeki untuk keluarga.

“Alhamdulillah semua yang saya terima ini adalah rezeki dari Allah SWT kepada saya dan anak-anak. Saya menggalas tanggungjawab sebagai duta kepada 16 jenama yang merangkumi pelbagai rangkaian dan bukan makanan sahaja.

“Antaranya duta untuk kanta lekap dari Korea Selatan, hospital, produk penjagaan kulit, pisau pemotong dan peralatan masakan yang saya akan umumkan nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis santai bersama media di restoran Suka Sucre miliknya di ibu negara.

Dalam pada itu, Fazley mengakui turut berkolaborasi dengan jenama kopi antarabangsa yang kini menjadi sasaran utama orang ramai untuk diboikot gara-gara didakwa menyokong Israel.

Fazley berkata, dia sudah menyelidik latar belakang syarikat itu di Malaysia.

“Ramai tidak tahu saya juga adalah seorang juru audit. Tugas saya untuk audit jenama yang saya ingin bekerjasama.

“Apabila saya menjadi duta untuk jenama yang kononnya sensitif, saya sendiri sudah buat kajian mengenai kebolehan mereka untuk mentadbir keadaan politik semasa.

“Adakah mereka menggunakan ramai pekerja tempatan dan adakah mereka terbabit secara langsung dengan pihak yang dikatakan netizen

“Semua itu saya ambil tahu dan selidiki sebelum membuat keputusan untuk menjalin kolaborasi,” katanya.

Fazley berkata, apa yang dia tahu, syarikat jenama itu di Malaysia adalah milik rakyat negara ini dan memiliki pekerja tempatan, selain mendermakan RM1 juta kepada Palestin.

“Saya rasa tiada masalah untuk terus bekerjasama kerana mereka tidak didukung syarikat dari luar negara.

“Asalkan syarikat ini berada di Malaysia dan tahu mana hala tuju mereka, saya akan menjalankan tugas saya sebagai cef serta wajah untuk jenama berkenaan,” katanya.

Berkongsi situasi adakah dia terkesan dengan ‘boikot’ yang sedang berlaku sekarang, secara peribadi dia tidak terkesan.

“Saya menanti juga kalau-kalau ada yang hentam dalam Instagram, tetapi Alhamdulilah saya rasa pengikut saya tahu latar belakang saya.

“Mereka juga buat kajian terperinci untuk menilai sama ada untuk menghentam, menyokong, memboikot ataupun tidak,” katanya.

Fazley berkata, sekiranya ada pihak mendesak dia untuk menarik diri dari jenama terbabit, tegasnya, dia tidak boleh melakukan perkara itu kerana harus mengikut kontrak ditetapkan.

“Proses mengundurkan diri harus mengikut kontrak. Selagi tidak ada fakta atau bukti dari pihak syarikat bahawa mereka menyokong pihak tidak sepatutnya, saya rasa tiada masalah untuk saya bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, Fazley akui bersyukur apabila restorannya, Suka Sucre masih menjadi pilihan ramai biarpun sudah hampir 10 tahun beroperasi.

“Bermula dengan menghantar makanan ke beberapa lokasi, ia kemudian mempunyai ruang kecil di Shah Alam dan disusuli sebuah restoran di Cheras.

“Kini, Suka Sucre menjadi restoran di dalam hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur. Pada saya ini adalah satu kebanggaan buat saya dan anak-anak,” katanya lagi. –Edisi 9

Anwar terima kunjungan Menteri Keselamatan Awam China

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong di Seri Perdana, Putrajaya.

Anwar berkata, dalam pertemuan tersebut kedua-dua pihak membincangkan isu yang mendepani cabaran hal ehwal keselamatan Asia dan dunia demi mengukuhkan hubungan dua hala antara.

“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai isu semasa dan antarabangsa yang terkait terutamanya berkaitan keselamatan yang memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Platform ini juga peluang untuk kami mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam mendepani cabaran hal keselamatan Asia dan juga dunia, amnya,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta Besar China Ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Anwar berkata, sementelahan, tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan.

“Justeru, dalam kesempatan pertemuan hari ini juga, saya turut mengutuskan surat jemputan kepada Presiden China Xi Jinping untuk mengunjungi Malaysia tahun hadapan sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara itu.

“Moga lebih banyak peluang kerjasama antara Malaysia-China dapat dipertingkatkan lagi demi manfaat bersama-sama, Insya-Allah,”ujar beliau. – Edisi 9

Bersatu Kuala Kangsar, Labuan diletak di bawah pimpinan negeri

0

PENGURUSAN Bersatu Bahagian Kuala Kangsar dan Labuan kini diletakkan di bawah Badan Pimpinan Negeri parti itu setelah ketua kedua-dua bahagian berkenaan bertindak menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu diambil sementara menunggu keputusan dibuat Lembaga Disiplin terhadap Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Ahli Parlimen Labuan).

Beliau berkata, kedudukan Suhaili sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan juga akan diambil alih oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin berkuatkuasa serta-merta.

Pada masa yang sama, Zainudin berkata, Bersatu amat komited dalam usahanya memperkasakan Perikatan Nasional (PN) yang telah mendapat mandat serta sokongan besar rakyat dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu.

“Justeru, Bersatu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahli, khususnya membabitkan Ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan, seluruh Ahli Parlimen Bersatu kekal istiqamah bersama kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebarang cubaan pihak luar untuk memecahbelahkan kesatuan parti melalui tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan tidak akan berjaya,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Manakala pada 30 Oktober, Suhaili pula mengumumkan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, sekali gus memberikan tamparan kepada PN pimpinan Muhyiddin.

Bagaimanapun kedua-dua mereka menyatakan masih menjadi ahli Bersatu dan kekal sebagai Ahli Parlimen yang mewakili PN sementara Hamzah pula tidak menyatakan sama ada mereka dipecat daripada parti. – Edisi 9