26.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024
Home Blog Page 122

Filem La Luna papar kisah cinta dan perubahan masa

0

DIBARISI oleh pelakon berkualiti dan hebat tanah air, filem Komedi La Luna bersedia untuk menemui penonton dengan tema yang biasa iaitu cinta tetapi pembawaan dan mesejnya luar biasa.

Filem kerjasama Singapura dan Malaysia itu diarahkan oleh pengarah berbakat dari Singapura, M Raihan Halim dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 9 November manakala di Singapura pada 16 November ini.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan.

La Luna menghidangkan sebuah juadah yang pasti memikat hati khalayak dan pencinta filem khususnya.

M Raihan Halim berkata, filem ini mempunyai kedekatan yang begitu luar biasa dengan La Luna.

“Apabila saya menulis La Luna, saya merasakan bahawa ia adalah milik saya. Pada hari saya memberikan skrip kepada pelakon, ia menjadi milik mereka.

“Kini filem itu dibuat dan ditayangkan, ia adalah milik penonton. Ia adalah satu perjalanan yang sangat mengujakan, menyedihkan, mencabar dan akhirnya menggembirakan dan saya harap semua orang menikmatinya sama seperti saya melakukannya.

“La Luna ia mengenai perubahan masa. Manusia patut berubah, patut berkembang. Kadang kala kalau kita tidak berubah, kita akan tersekat. Ia sangat bahaya kerana perubahan dalam kehidupan tidak dapat dielakkan,” katanya.

Menganggap ia sebuah cerita ‘labour of love’, pengalaman berada dalam situasi La Luna memberikan dirinya pelbagai emosi- gelak tawa serta momen-momen yang besar dan detik-detik berat.

Namun satu harapan yang terbit dari sudut hatinya yang terdalam agar penonton akan ketawa, kekal dengan tema yang dibawakan melalui filem ini dan tinggalkan pawagam dengan senyuman di wajah.

Dengan kos produksi sebanyak RM3.5 juta, La Luna melatarkan sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah, yang juga kawasan paling tegas di negara ini.

Kehadiran sebuah kedai pakaian dalam bernama ‘La Luna’ secara tiba-tiba telah menghidupkan kampung yang sunyi dan tidak bersemangat.

Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran pemilik kedai dengan tangan terbuka, namun, ketua kampung nekad dengan tujuannya untuk mengusir pemilik kedai berkenaan dengan apa cara sekalipun.

Sisi pemerkasaan wanita dipaparkan dengan menarik dan kemas dalam filem ini. Mesej ini yang perlu dihadam dan diperhalusi dalam momen-momen yang dipaparkan secara santai di bawah garapan M Raihan Halim.

La Luna dipersembahkan oleh Clover Films; dengan kerjasama ACT 2 Pictures, One Cool Film, dan Papahan Films; diterbitkan oleh Clover Films, ACT 2 Pictures, dan Papahan Films dengan sokongan Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hong Kong Asia Film Financing Forum (HAF), White Light Studio, dan Wouter Barendrecht Film Foundation.

Diedarkan bersama di Malaysia oleh Clover Films dan SKOP Productions, manakala di Singapura, Clover Films mengedarkan bersama Golden Village. -Edisi 9

Ani Maiyuni tidak terpengaruh dengan ‘jarum’ untuk kekal cantik

0

MESKIPUN usianya semakin meningkat dan perlu menjaga kecantikan, ia bukan sebab untuk penyanyi dangdut, Ani Maiyuni terjebak dengan jarum suntikan.

Ani, 45, mengakui pernah ditawarkan untuk membuat pembedahan kecantikan pada bahagian hidungnya.

Selain rawatan kecantikan pada wajah, dia juga pernah dicadangkan untuk menjalani pembedahan bariatrik (potong usus).

Sebagai seorang yang memilih untuk mengamalkan gaya hidup sihat secara alami, Ani menolak secara baik tawaran yang diberikan.

“Tidak dinafikan ramai yang mengambil jalan singkat untuk kelihatan cantik, namun tidak pada saya.

“Saya lebih memilih menjaga kecantikan dalaman dengan semula jadi tanpa perlu melakukan apa-apa rawatan.

“Saya juga terkejut apabila mendapat tahu perkhidmatan yang ditawarkan turut menyediakan bayaran secara ansuran, tidak hairanlah semakin ramai yang berani melakukan rawatan yang menyakitkan seperti itu,” katanya.

Ani berkata, ramai yang mencadangkan kepadanya untuk membuat rawatan potong ‘kelopak bunga’ pada bahagian hidung dan potong usus untuk kekal langsing.

Namun begitu, sehingga kini dia masih tidak terpengaruh untuk melakukan apa yang disuruh.

Apatah lagi dia seorang yang takutkan jarum dan tidak tahan sakit.

 “Usia saya semakin bertambah dan bukannya muda lagi. Bagi saya, kalau hendak cantik, saya diet jaga pemakanan.

“Saya sangat takut apabila semakin berusia, kemudian hendak buat bermacam-macam rawatan kecantikan.

“Setakat buat rawatan ‘facial’ di spa itu saya biasa lakukan. Tapi untuk ‘cucuk’ memang saya tidak berani. Jika ada kedutan itu adalah biasa untuk kita yang semakin meningkat usia.

“Saya menghormati pendirian orang lain yang melakukan rawatan kecantikan apabila semakin berusia namun saya tidak akan melakukannya,” katanya lagi. -Edisi 9

MAIPs sumbang RM1.12 Juta kepada umat Islam di Palestin

0

SEBANYAK RM1.12 Juta disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Fi Sabillilah Misi Kemanusiaan MAIPs ke Gaza buat umat Islam di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, majlis simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Jalan Kuala Perlis.

Katanya, MAIPs telah bersetuju menyampaikan sumbangan ini di bawah peruntukan ‘Fi Sabilillah’ yang jelas dan selari dengan tujuan agihan zakat serta bekerjasama dengan Wisma Putra dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memudahkan urusan sumbangan ini.

“Sumbangan berkenaan terdiri daripada RM1 juta dana sedia ada MAIPs selain RM120,000 sumbangan masyarakat dan NGO melalui Tabung Aqsa MAIPs,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Nazim berkata, agihan sumbangan dan bantuan ini akan diserahkan melalui Tabung Musaadah Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia dan akan diagihkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenal pasti dapat menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk Gaza.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan rakyat negeri Perlis yang ingin membuat sumbangan hanya menyalurkan sumbangan kepada pihak-pihak yang telah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan untuk menyampaikan sumbangan secara terus kepada saudara Islam di Gaza.

Baginda menzahirkan agar rakyat Malaysia akan terus bersolidariti untuk rakyat Palestin tanpa mengira agama dan bangsa serta memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

“Meskipun kita tidak dapat membantu di sana secara fizikal, doa dan hati kita akan sentiasa bersama mereka”, titah tuanku.

Pada program sama baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM400 setiap seorang kepada seramai 20 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid dengan jumlah keseluruhan RM8,000.  -Edisi 9

‘Awang Hitam’ ditahan dalang jual pasport, dokumen palsu

SEORANG ‘Awang Hitam’ dari Nigeria yang juga dalang utama sindiket menjual pasport palsu dan pelbagai dokumen perjalanan tumpas apabila ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen di sekitar Kajang, Selangor, pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata hasil risikan selama dua minggu berjaya mengesan suspek berusia 46 tahun itu, sekali gus membongkar kegiatannya menjual pasport kepada individu dari benua Afrika.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya di rumah suspek di Jalan Chan Sow Lin, menemui 10 naskah pasport Nigeria dipercayai palsu.

“Pasukan serbuan turut menemui sekeping pelekat Pas Pelajar palsu yang dikatakan diperoleh daripada seorang lelaki warga Ghana.

“Susulan itu pasukan operasi bertindak mengesan dan menahan seorang lelaki warganegara Ghana berusia 56 tahun di Jalan Kasturi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, pasukan serbuan kemudian memeriksa kediaman suspek kedua di sekitar Cheras, Selangor dan menemui dua keping pelekat Pas Pelajar, i-Kad Jabatan Imigresen (6) , satu kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan tujuh kad pelajar pelbagai universiti.

Katanya, siasatan mendapati sindiket terbabit menyasarkan individu dari benua Afrika yang mempunyai masalah dokumen dengan menawarkan pasport palsu serendah RM1,000.

“Bagi pas dan dokumen lain akan dikenakan bayaran RM200 setiap keping antaranya pas pelajar dan kad pelajar.

“Sindiket akan mencari mereka yang bermasalah ini dan kemudian menawarkan perkhidmatan menyediakan dokumen berkenaan,” katanya.

Ruslin berkata, kedua-dua suspek ditahan di Depoh Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -Edisi 9

Menang saman RM1.52 juta, Zakir Naik derma kepada Palestin

0

PENDAKWAH dari India, Dr Zakir Naik berhasrat untuk mendermakan sepenuhnya RM1.52 juta saman yang dimenanginya terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy kepada Palestin.

Zakir dalam satu kenyataan di Facebook berharap usaha yang dibuatnya itu diterima Allah SWT.

“Dalam melindungi Masjid al-Aqsa iaitu tapak ketiga paling suci dalam Islam, rakyat Palestin melaksanakan fardhu kifayah (kewajipan bersama) bagi pihak seluruh umat Islam.

“Saya berdoa agar Allah memberikan keteguhan dan kemenangan kepada penentangan rakyat Palestin.

“Semoga Dia meringankan penderitaan saudara kita di sana, menguatkan mereka melawan penindas serta memasukkan syuhada ke darjat tertinggi di syurga,” katanya.

Terdahulu Khamis lalu, Ramasamy diperintah membayar RM1.52 juta kepada Zakir dalam masa 30 hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman dikemukakan Zakir, empat tahun lalu.

Bekas pemimpin DAP itu selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan maaf kepada Zakir dan menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk prosiding pendengaran berhubung isu berkenaan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hakim Hayatul Akmal berkata, mahkamah mendapati Ramasamy gagal membuktikan kewajaran penerbitan kenyataannya terhadap Zakir.

Menurutnya, kenyataan berbaur dendam dengan niat jahat itu berlaku lebih tiga tahun, iaitu bermula 10 April 2016 hingga 8 November 2019. -Edisi 9

30 PATI dicekup ketika guna lorong tikus di Port Dickson

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menangkap 30 individu dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dan Myanmar, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, mereka terdiri daripada 26 lelaki dan empat wanita ditahan ketika cuba keluar dari negara ini melalui pintu yang tidak diwartakan.

Beliau berkata, Sistem Pengawasan Laut (Swasla) telah mengesan satu pergerakan mencurigakan dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju ke Tanjung Rhu, Sepang sekitar pukul 10.00 malam.

“Ketika aset Maritim Malaysia cuba memintas, bot suspek bertindak memecut laju melarikan diri dan telah berlaku kejar-mengejar selain bertindak agresif.

“Tindakan tersebut telah membawa kepada berlaku pertembungan antara bot suspek dan aset Maritim Malaysia seterusnya menyebabkan bot suspek terbalik dan tenggelam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek terjatuh ke dalam air dengan tidak memakai jaket keselamatan sebelum diselamatkan bot ronda Maritim Malaysia.

Katanya, kesemua PATI ini ditahan di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Port Dickson pada pukul 12.40 pagi dan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan diberikan rawatan yang sewajarnya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 29 PATI adalah warganegara Indonesia dan seorang lagi warganegara Myanmar berumur antara 21 hingga 63 tahun dan kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – Edisi 9

Aksi Harimau Malaya-Kyrgyztan kekal di Bukit Jalil

0

AKSI pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Kyrgyztan pada 16 November ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik keputusan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memilih Stadium Nasional sebagai lokasi perlawanan.

“Ia setelah mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan FAM melalui lawatan tapak bersama dan keadaan padang adalah lebih baik berbanding dua perlawanan sebelum ini (Pestabola Merdeka) dan sesuai untuk digunakan.

“Maklum balas ini telah dipersembahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“PSM menjunjung kasih ke bawah Tunku Ismail atas perkenan yang telah diberikan untuk perlawanan pada 16 November diteruskan di Stadium Nasional,” katanya hari ini.

Terdahulu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dilaporkan berharap anak buahnya dapat beraksi di Stadium Nasional yang merupakan gelanggang keramat skuad kebangsaan.

Katanya, selain memudahkan urusan kehadiran penyokong memandangkan Stadium Nasional terletak di Lembah Klang, ia juga membantu mengurangkan tempoh perjalanan pasukan berbanding jika aksi di luar Lembah Klang. 

Dalam pada itu, PSM berkata, pihak akan kekal komited untuk memastikan padang Stadium Nasional berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya. – Edisi 9

14 kapal Maritim Malaysia berjaya laksana eksesais Perkasa Timur

0

SEBANYAK 14 kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya melaksanakan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2023 selepas mengharungi lima hari pelayaran dengan merentasi jarak 850 batu nautika di Laut China Selatan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, sepanjang pelayaran, pegawai dan anggota telah menjalani beberapa siri latihan seperti navigasi, deck landing training, sistem komunikasi, penggeledahan, mengawal kebanjiran dan melawan api serta tembakan di laut.

“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden mempamerkan sikap profesionalisme, keupayaan dan tahap kompetensi warga Maritim Malaysia dalam memikul tanggungjawab selaku penguatkuasa maritim negara,” katanya.

Datuk Hamid berkata, eksesais ini telah mencapai tujuannya apabila keberadaan aset-aset Maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan telah dirasai.

“Ini dibuktikan apabila Bot Nelayan Asing (BNA) yang menceroboh masuk ke kawasan perairan negara secara besar-besaran di kedudukan 15 hingga 20 batu nautika selatan Amboyna Cay, telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran aset agensi ini dalam skala yang besar.

“Pihak agensi turut berjaya melakukan pengusiran terhadap kapal penguat kuasa negara asing yang berada di kawasan perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Eksesasi Maritim Perkasa Timur di Kompleks Maritim Tun Abang Salehuddin, Kuching, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dan Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Zulinda Ramly yang turut bertindak sebagai pengarah eksesais kali ini.

Datuk Hamid dalam ucapannya berkata, eksesais ini mampu memperkasa kebolehupayaan dan kebolehoperasian bersama Maritim Negeri Sabah dan Sarawak pada operasi mendatang di kawasan Laut China Selatan.

“Melalui eksesais ini, pihak Maritim Malaysia telah berjaya mengumpul maklumat dan maklumbalas daripada semua kru terbabit untuk penambahbaikan tatacara pengendalian piawaian operasi pada masa akan datang.

“Eksesais Maritim Perkasa Timur telah menjalani tiga fasa latihan bermula dengan Fasa Pelabuhan membabitkan sesi taklimat siri latihan dan sesi Table Top yang telah dilaksanakan pada 28 dan 29 Oktober lalu di Pejabat Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan.

“Setelah melepasi fasa berkenaan, pegawai dan anggota yang terbabit menjalani fasa kedua iaitu Fasa Laut di mana pada peringkat ini aset-aset agensi melakukan pelayaran dari Perairan Kota Kinabalu ke Perairan Kuching bermula 30 Oktober hingga 3 November.

“Fasa terakhir adalah Fasa Pasca Eksesais. Pada fasa ini sesi post mortem dan rumusan bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan untuk eksesais akan datang.

“Sesi ini berlangsung di Pejabat Maritim Negeri Sarawak pada 3 dan 4 November,” katanya lagi. -Edisi 9

Malaysia raih satu emas, satu gangsa di ACRS

0

PROJEK berimpak tinggi, Implementation of artificial intelligent (AI) in paddy geospatial information system (Makgeopadi) using space technology, GIS and ICT memenangi emas dalam pertandingan kategori web contest-(Webcon) Asia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi kenyataan berkata, satu lagi projek negara, Establishment of Web-GIS system for identifying and monitoring potential waste disposal site in Malaysia (e-sisa) pula memenangi gangsa.

Katanya kejayaan itu diraih pada Persidangan Remote Sensing Asia (ACRS) kali ke-44 di Taipei pada 30 Oktober hingga 3 November lalu.

“Kemenangan ini menjadi satu pengiktirafan terhadap kemampuan saintis tempatan dalam penciptaan inovasi baharu dan penguasaan bidang teknologi angkasa khususnya teknologi berteraskan remote sensing angkasa.

“Ini akan menjadi motivasi terbaik kepada MOSTI, Ketua Pengarah dan seluruh warga Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) untuk terus memperkukuhkan kemampuan dan penguasaan negara dalam bidang angkasa seiring dengan hala tuju Dasar Angkasa Negara 2030,” katanya hari ini.

Pertandingan itu melibatkan penyertaan daripada 17 negara Asia lain termasuk Jepun, Australia, India, Indonesia,China, dan Singapura.

Penilaian yang telah dijalankan oleh panel-panel profesional daripada Persatuan Remote Sensing Asia (AARS).

Ia memfokuskan kepada kemampuan peserta mencipta teknologi atau kaedah anasilis pemodelan termaju berteraskan teknologi remote sensing angkasa dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh sesuatu masalah. – Edisi 9

TM tawar 11 pakej menarik untuk tujuh taman tema

0

TOURISM Malaysia (TM) memperkenalkan 11 Pakej Cuti-Cuti Keluarga menarik di tujuh taman tema kepada pelancong domestik bermula hari ini sehingga 30 November.

Ketua Pengarah TM, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, pakej yang ditawarkan adalah serendah RM23 seorang untuk pembelian tiket masuk dengan tempahan minimum 10 orang.

“Turut ditawarkan pakej tiga hari dua malam (3H2M) bermula RM1,088 merangkumi dua dewasa dan dua kanak-kanak beserta bilik penginapan, sarapan pagi, tiga aktiviti dan tiket masuk ke taman tema.

“Tempoh sah pakej adalah sehingga 30 Jun 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pakej Cuti-Cuti Keluarga mendapat kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (Matfa) di Ekspo Kasih Madani yang berlangsung selama dua hari di Dataran Putrajaya bermula hari ini.

Antara pengendali taman tema yang mengambil bahagian termasuklah Sunway Lagoon (Camp Out!), SplashMania Water Park Gamuda Cove, The Top Penang Theme Park, Ripley’s Adventureland dan Jungle Gym Genting Highlands, Wet World Water Park Shah Alam dan Amverton Cove Golf & Island Resort.

Selain itu kata Ammar, orang ramai juga berpeluang mendapatkan tawaran diskaun pakej pelancongan yang ditawarkan oleh 86 pemilik produk pelancongan di laman web Go Tifi (http://www.gotifi.com).

Kata, pelancaran pakej itu diharap dapat membantu fokus kerajaan untuk memartabatkan institusi kekeluargaan sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan domestik.

“TM berharap setiap keluarga dapat mengambil peluang ini untuk bercuti di dalam negara dan mencipta memori bersama insan tersayang menerusi tawaran eksklusif Pakej Cuti-cuti Keluarga,” katanya. – Edisi 9

1,000 warga Uniten zahir solidariti bersama Palestin

0

SERAMAI 1,000 warga Universiti Tenaga Nasional (Uniten) daripada pelbagai latar belakang menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin menuntut hak dan kebebasan di negara bergolak itu.

Naib Canselor Uniten, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, perhimpunan tersebut bukan sahaja membabitkan pengurusan tertinggi dan pelajar malah turut disertai komuniti pelajar Palestin.

“Saya menyeru warga United untuk bersama-sama menunjukkan kebersamaan dan kemanusiaan kita, serta mengecam kezaliman yang menimpa rakyat Palestin.

“Tindakan kejam rejim Zionis mencabuli hak asasi manusia dan hukum antarabangsa, meninggalkan luka mendalam pada umat manusia,” katanya ketika berucap dalam majlis Solidariti Uniten bersama Palestin.

Program solidariti yang bermula sejak 30 Oktober lalu itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti, perkongsian pelajar Palestin, ceramah pensyarah tahfiz Uniten berkaitan konflik Palestin, solat hajat, bacaan qunut nazilah dan lain-lain lagi.

Wakil pelajar dari Palestin, Motasem W A Jad, turut berkongsi pengalaman berada di Palestin serta penderitaan yang dialami rakyat di negaranya.

“Perjuangan rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri telah menjadi
aspek yang penting dalam kisah perjuangan kami.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan seperti pengusiran dan sikap perikemanusiaan yang kejam selama puluhan tahun, namun tekad kami tetap kuat.

“Ketabahan ini mengingatkan bahawa walaupun dalam keadaan yang sukar, kami berdiri dengan kukuh dan tidak goyah,” katanya.

Sementara itu, wargaUniten, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. T. Sivadass berkata, isu di Palestin seharusnya dirasai dan difahami oleh semua.

Menurutnya, semua pihak tanpa mengira agama perlu menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka dan mengecam sekeras-kerasnya sikap tidak berperikemanusiaan rejim Zionis.

“Saya hadir di sini sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin dan
mengutuk kekejaman dan kezaliman yang berlaku.

“Program ini adalah satu manifestasi keprihatinan kita terhadap nilai kemanusiaan sejagat. Apa yang berlaku di Palestin adalah isu kemanusiaan dan keamanan dan ia adalah hak kita sesama insan,” katanya. – Edisi 9

Festival Laman Santai terbesar 2023 di Istana Budaya

0

ISTANA Budaya menjemput orang ramai hadir memeriahkan Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023.

Bertempat di Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur acara berlangsung hari ini sehingga esok bermula dari jam 10 pagi hingga 11 malam itu adalah julung kali diadakan.

Laman Santai ini adalah acara terbesar buat tahun ini yang mana pelbagai aktiviti dan program disediakan seperti pameran, jualan, demonstrasi, food trucks dan persembahan utama oleh artis-artis tempatan.

Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar berkata, Istana Budaya sentiasa bersifat terbuka dan komited dalam menyatupadukan masyarakat hingga ke akar umbi dan tidak mengira bangsa terutama sekali dalam memperkasakan seni warisan dan budaya agar dapat dipelihara khususnya dalam festival Laman Santai Malaysia Madani 2023 ini.

“Festival ini berkonsepkan santai dan terbuka kepada semua sambil dihidangkan dengan pelbagai acara seni warisan dan budaya antaranya seperti Makanan Warisan, Bengkel Muzik Borneo, Demonstrasi Silat, Solekan, Orang Asli, Jom Belajar Seni Budaya, Persembahan Barongan, Kuda Kepang, Peragaan Busana Tradisional, Baju Kebaya dan Karaoke Santai.

“Antara artis-artis jemputan yang bakal menggegarkan persembahan utama malam Laman Santai 2023 ini adalah Datuk Hattan, Suki Low, Khai Bahar, Roy Kapilla, Rahmad Mega, Rahimah Rahim, Haziq dan ramai lagi,” katanya.

Dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan rakyat Malaysia melalui seni budaya, Istana Budaya turut menjemput sekumpulan anak seni dari Borneo seperti Tuku’ Kame’, Alun Menoa (Wanita Sape) dan Perintis Orkestra TradisionalRemaja Sarawak (POTRES) dalam mengetengahkan alunan muzik dan persembahan dari Bumi Kenyalang, Sarawak.

Istana Budaya turut berbesar hati dalam bekerjasama dengan radio SINAR sebagai radio rasmi rasmi festival ini dengan menampilkan selebriti-selebriti dari SINAR.fm seperti Falyq dan Putra sebagai pengacara aktiviti siang dan Dina Nadzir sebagai pengacara persembahan utama pada malam festival.

Pengunjung juga bakal menikmati pelbagai promosi dan peluang yang disediakan dari pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan yang turut serta menjayakan festival ini dan antaranya adalah seperti Jabatan Warisan Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), Jabatan Belia dan Sukan Negara, Tourism Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). -Edisi 9