27 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024
Home Blog Page 121

PM perlu nilai semula Ahli Parlimen PN beri sokongan

0

PEMUDA UMNO memohon Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai semula trend Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau selaku Perdana Menteri.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini bagi memastikan agenda reformasi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai tujuan sebenar.

“Cukup-cukuplah dengan drama politik sebelum ini, rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik tersebut!

“Kini adalah masa untuk fokus membantu rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata Akta Anti Lompat Parti yang terpakai ketika ini bertujuan untuk menghalang ‘katak-katak politik’ untuk melompat sesuka hati sekali gus tiada lagi drama politik berpanjangan.

Katanya, ia juga membolehkan wakil rakyat yang dipilih terus fokus untuk berkhidmat bagi rakyat yang memilih mereka dan parti yang diwakili.

“Tetapi rupa-rupanya walaupun akta anti lompat parti telah diluluskan, katak-katak ini tetap melompat menggunakan nama lain iaitu menyokong kerajaan tanpa keluar parti.

“Jadi nama yang digunakan walaupun berbeza tetap sama tujuannya untuk katak-katak ini melompat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengulas sokongan terbaharu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Aziz Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri.

Mohd Aziz secara rasmi mengisytihar sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar berkuat kuasa semalam.

Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan dari PN turut mengambil keputusan sama.- Edisi 9

CENTHRA tumpu tingkat mekanisme banteras keganasan di Asia

0

PUSAT Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), sebuah organisasi masyarakat sivil dan hak asasi manusia di Malaysia, baru-baru ini mengambil bahagian dalam bengkel pembangunan kapasiti.

Bengkel anjuran CT PHARE di Jakarta, Indonesia itu menumpukan pada meningkatkan mekanisme pengawasan dan akauntabiliti terhadap operasi memerangi keganasan di Asia Tenggara.

Acara tiga hari yang diadakan di Jakarta itu, menyediakan platform kepada peserta untuk mengenal pasti jurang, kelemahan dan amalan terbaik dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia dalam konteks operasi memerangi keganasan.

Pengasas dan Pengerusi CENTHRA, Azril Mohd Amin berkata, objektif utama bengkel CT PHARE diadakan adalah untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan pemegang taruh utama, termasuk Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI), institusi ombudsman dan pihak berkuasa aduan polis.

“Melalui kerjasama antara pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pengamal pencegahan keganasan yang bekerja rapat dengan Persatuan Kehakiman dan Peguam, peserta bengkel berpeluang untuk menyumbang ke arah memajukan dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Azril berkata, pada bengkel yang diadakan itu, mekanisme pengawasan dan akauntabiliti menjadi tumpuan utama dan komponen penting dalam memastikan pematuhan kepada kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Sebahagian peserta bengkel pembangunan kapasiti hak asasi manusia di Jakarta, Indonesia.

“Fungsi mekanisme merangkumi tugas seperti memantau status hak asasi manusia di negara masing-masing, menyemak draf perundangan untuk memastikan permohonan hak asasi manusia, kuasa penyiasatan, melaporkan kes kepada badan kehakiman dan menyokong rayuan undang-undang,” katanya.

Katanya, cabaran penting yang timbul semasa perbincangan ialah jurang dalam menangani pencabulan hak asasi manusia secara berkesan dalam sistem kehakiman.

Dalam banyak keadaan, pencabulan hak asasi manusia dilaporkan, namun tindakan susulan dalam badan kehakiman selalunya tidak mencukupi.

“Selain itu, kebebasan institusi pengawasan ini berbeza-beza di setiap negara, dan mandat yang diberikan selalunya adalah terhad,” katanya lagi.

Azril berkata beliau membentangkan kajian kes Malaysia mengenai “Peranan Masyarakat Sivil dalam Mekanisme Pengawasan dan Akauntabiliti”.

Manakala Pengarah Eksekutif Kumpulan Kerja Wanita (WWG) Indonesia, Nukila Evanty, mengambil bahagian sebagai rakan panel.

Program ini sejajar dengan objektif teras CENTHRA yang menekankan keperluan untuk mencapai keseimbangan antara hak asasi manusia dan keselamatan negara.

“Komitmen CENTHRA dalam mempromosi dan memperluas inisiatif hak asasi manusianya di peringkat serantau dan antarabangsa, terbukti melalui penyertaan aktif dalam program CT PHARE ini,” katanya.

Inisiatif CT PHARE ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan Kesimpulan Tindakan Luar Kesatuan Eropah (EU) Mengenai Pencegahan dan Membanteras Keganasan dan Ekstremisme, dengan objektif untuk memastikan dasar, perundangan dan strategi kehakiman menentang keganasan negara mematuhi piawaian hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sama ada di peringkat dasar dan operasi.

“Usaha kerjasama ini adalah langkah penting ke arah mempromosikan hak asasi manusia, menegakkan kedaulatan undang-undang, dan memastikan akauntabiliti dalam operasi membanteras keganasan di Asia Tenggara.

“Ia juga menekankan komitmen organisasi seperti CENTHRA dalam menangani isu hak asasi manusia yang kritikal di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya lagi. -Edisi 9

NRECC tubuh jawatankuasa kaji isu jerebu rentas sempadan

0

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji isu berkaitan jerebu rentas sempadan termasuk penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA).

NRECC dalam kenyataan berkata, satu bengkel akan diadakan bagi mengkaji serta mendalami semua idea dan dijadual berlangsung selepas Persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (COP 28).

“Dalam usaha untuk mencari penyelesaian, satu jawatankuasa terdiri daripada jabatan-jabatan Kementerian, pakar, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli panel penasihat dan konsultasi akan ditubuhkan untuk mengkaji isu ini.

“NRECC sekali lagi menegaskan bahawa kementerian ini tidak menutup pintu terhadap cadangan penggubalan rang undang-undang sebagai mekanisme untuk menangani isu jerebu rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

NRECC juga sedang dalam fasa pengumpulan maklum balas dari agensi kerajaan, Jabatan Peguam Negara dan NGO bagi mendapat pandangan pelbagai sudut merangkumi langkah jangka masa pendek dan panjang dalam menangani masalah jerebu merentas sempadan.

“Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad secara konsisten telah menyatakan bahawa penggubalan undang-undang THA perlu diteliti secara menyeluruh mengambil kira segala cabaran dan sekatan khususnya kebolehlaksanaan akta ini berdasarkan pengalaman negara-negara yang sudah mempunyai akta sama seperti Singapura,” kata kenyataan itu lagi.

NRECC memaklumkan terdapat contoh instrumen perundangan paling berjaya setakat ini iaitu Perjanjian Kualiti Udara Kanada-Amerika Syarikat kerana kedua-dua negara terbabit mampu menerimanya dan terdapat sebuah badan untuk menguruskan perjanjian itu. -Edisi 9

Ditawar bayaran RM500, Azan Scan rasa terhina

0

VOKALIS kumpulan Scan, Azan mengakui terkilan apabila sering ditawarkan membuat persembahan dengan bayaran hanya RM500.

Azan atau nama sebenarnya Noor Hazan Rashid berkata, biarpun sudah lama berada dalam industri seni bukan jaminan akan terus mendapat layanan dan bayaran terbaik.

Sebaliknya, dia kerap ditawarkan bayaran yang kadang-kadang tidak masuk akal.

“Saya akui terkilan dan rasa terhina apabila kerap ditawarkan bayaran yang sangat rendah.

“Bukan sekali dua, tetapi sudah banyak kali saya ditawarkan persembahan dengan bayaran hanya RM500 untuk satu jam.

“Di manakah letak harga seni kami?. Janganlah hanya kerana alasan tiada bajet atau harga kawan-kawan kami diberikan bayaran sehingga tidak masuk akal ini,” luahnya kesal.

Azan berkata, ada juga penganjur yang tidak peduli akan kebajikan mereka dan hanya menyediakan bayaran persembahan tanpa mengambil tahu penginapan dan makanan mereka.

“Sampai bila hendak guna alasan tiada bajet. Kalau sudah berani tawarkan persembahan, pasti sudah ada bajet tertentu.

“Takkanlah RM500 kami nak bahagi empat dengan makan, penginapan dan minyak.

“Kami ada anak isteri hendak diberi makan. Sebab itu saya tolak sahaja jika ditawarkan dengan bayaran seperti itu.

“Tak mengapalah jika hendak cop saya sombong atau tolak rezeki. Hendak tawarkan persembahan biarlah sesuai dengan bayaran.

“Jika diikutkan, banyak juga tawaran yang saya tolak kerana bayaran yang tidak berpatutan. Kami sedar diri, bukan setaraf artis nama besar. Tetapi janganlah letak harga seni kami serendah itu,” katanya lagi.

Azan ditemui pada majlis pengenalan artis-artis naungan Guzzbuzz Productions dari Singapura, yang diadakan, baru-baru ini.

Bekas peserta Gegar Vaganza 8 itu mengakui ada rakan artis yang terpaksa menerima bayaran serendah itu hanya kerana terdesak.

“Apabila kami tolak, penganjur akan tawarkan persembahan itu kepada orang lain. Ada yang tutup mata dan terima sahaja jumlah yang ditawarkan.

“Mereka mungkin dalam kesempitan. Tetapi selepas itu, pasti penganjur akan memberikan harga rendah yang sama kerana bagi mereka itulah ‘harga’ kami anak-anak seni. Saya tak boleh halang, itu pilhan masing-masing,” katanya. -Edisi 9

Polis NS lupus pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM500,000

POLIS Negeri Sembilan melupuskan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM499,611.23 yang dirampas dari 2012 hingga 2022 di seluruh negeri itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pelupusan berkenaan membabitkan 36,445.41 gram dadah.

“Ia termasuk heroin, methamphetamine, ganja dan ketamin selain 47.3 liter kodien, 586 kilogram daun ketum serta 2,326 liter air ketum.

“Barang kes yang dilupuskan ini merupakan barang kes yang selesai dibicarakan dan masih disimpan di stor eksibit di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di seluruh daerah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt lepas, sejumlah 5,732 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan dadah termasuk di bawah Seksyen 39B, 39A (2), 39A (1) dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya komited membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu dan memfokuskan tangkapan pengedar yang bergiat aktif di negeri ini, selain melumpuhkan ekonomi mereka dengan menyita aset yang dimiliki melalui aktiviti menyalahi undang-undang.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat dalam usaha menghapuskan aktiviti itu dan menasihatkan masyarakat lebih prihatin dengan keadaan sekeliling bagi mencegah sebarang kesalahan berkaitan dadah.

Pelupusan pelbagai jenis dadah berkenaan yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen dengan kerjasama Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk. – Edisi 9

PM harap penjawat awam nakhodai agenda perubahan negara

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan hasrat untuk melihat penjawat awam menakhodai pelaksanaan agenda perubahan dalam negara.

Hasrat itu dinyatakan beliau dalam ucaptama Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) malam tadi.

Sehubungan dengan itu, katanya, beliau mahu kalangan penjawat awam sama ada tenaga muda mahupun berpengalaman, diberdayakan menerusi latihan dan pendedahan dalam bidang khusus bersama pihak swasta atau universiti terkemuka selama enam bulan atau setahun.

“Ketimbang pendekatan lampau yang selesa membelanjakan puluhan juta ringgit untuk melantik perunding asing,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sekitar RM40 juta untuk inisiatif tersebut.

“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam perlu segera mengenal pasti penjawat awam yang berpotensi dilengkapkan dengan penerokaan alam dan disiplin baharu terkait transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan seumpamanya.

“Usai menjalani latihan, penjawat awam yang terpilih perlu pulang membawa kemahiran itu dan digunakan dengan mengemukakan cadangan berkaitan untuk dilaksanakan.

“Langkah ini selaras matlamat Kerajaan Madani untuk mengembalikan kekuatan induk penjawat awam, selain cerminan keyakinan pimpinan hari ini kepada keupayaan penjawat awam mencetus perubahan bermakna kepada negara, “katanya. – Edisi 9

Perlombongan emas di Bukit Mantri tiada kelulusan

0

KERAJAAN Sabah digesa memberi penjelasan berhubung aktiviti perlombongan emas yang dilakukan di Bukit Mantri Balung, Tawau.

Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Sarifuddin Hata berkata, aktiviti perlombongan emas di kawasan itu masih berterusan walaupun tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Katanya, aktiviti perlombongan itu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat daripada aspek kestabilan tanah dan keselamatan kawasan serta pencemaran alam sekitar.

“Adakah syarikat melombong itu mendapat kebenaran daripada Pejabat Hasil Bumi atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk terus menjalankan aktiviti melombong di Bukit Mantri walaupun tiada kelulusan daripada JMG?.

“Sehingga kini kerja perlombongan masih berlaku, kerajaan negeri mesti beri penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau membuat kenyataan itu susulan daripada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) yang dikeluarkan JMG kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bahawa syarikat yang melaksanakan aktiviti itu telah tamat pada 29 Ogos lalu.

Bagaimanapun, pihak JMG tidak menerima sebarang permohonan baharu daripada syarikat terbabit untuk aktiviti perlombongan.

Dakwanya lagi, satu surat yang dikeluarkan JMG kepada sebuah anak syarikat memaklumkan bahawa permohonan SKSPM syarikat itu tidak dipertimbangkan kelulusan sehingga mereka mengemukakan semula cadangan Skim Pengendalian Melombong untuk pertimbangan jawatankuasa terbabit.

Selain permohonan baharu SKSPM, mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan surat kelulusan Penilaian lmpak Alam Sekitar (EIA) dan dokumen-dokumen kebenaran menduduki kawasan selain dari lot hak milik syarikat di kawasan itu.

Sarifuddin berkata, jika kawasan itu mempunyai emas yang banyak dan kerajaan negeri ingin memajukannya, perkara itu perlu dilihat dari pelbagai sudut dan kajian harus dibuat terlebih dahulu demi kepentingan penduduk di kawasan Balung.

“Kita harus letak kepentingan rakyat terlebih dahulu dan jaga alam sekitar. Pastikan kaedah perlombongan yang selamat. Jangan pula guna kaedah sianida,” katanya.

Berikutan itu, beliau mahu tindakan yang tegas dan segera diambil untuk mengelak aktiviti perlombongan terus merebak dan boleh mengakibatkan bencana besar serta menjejaskan keselamatan rakyat. -Edisi 9

Korean Air urus dengan ketat pendedahan radiasi anak kapal

0

KOREAN Air akan menguruskan pendedahan radiasi kosmik dengan ketat untuk kru penerbangannya, selepas seorang pramugaranya mati akibat kanser yang dikaitkan sama dengan kemalangan industri.

Keputusan oleh Perkhidmatan Pampasan dan Kebajikan Pekerja Korea yang dikendalikan kerajaan, yang dikeluarkan bulan lalu mendapati kematian seorang pramugara akibat kanser berpunca daripada pendedahan sinaran kosmik selama dia bertugas.

Kru penerbangan terdedah kepada tahap radiasi kosmik yang lebih tinggi secara semula jadi apabila kesan perisai atmosfera Bumi berkurangan pada ketinggian yang lebih tinggi.

Pramugara yang dikenal pasti dengan nama keluarga Song, menghabiskan hampir 1,022 jam di dalam pesawat setiap tahun dengan hampir separuh daripada penerbangannya meliputi laluan jarak jauh ke Amerika dan Eropah.

Laluan sedemikian mendedahkan kru penerbangan kepada lebih banyak sinaran kosmik kerana ia membabitkan penerbangan di atas Kutub Utara, di mana sinaran sedemikian lebih tinggi disebabkan oleh medan magnet Bumi.

Song disahkan menghidap kanser perut tahap empat pada April 2021 dan meninggal dunia sebulan kemudian.

Bagaimanapun, Korean Air enggan mengulas mengenai keputusan panel itu, tetapi menafikan sebarang salah laku.

“Korean Air menguruskan data individu dengan ketat dan anak kapal boleh menyemak jumlah terkumpul pendedahan sinaran kosmik mereka, yang dikemas kini setiap bulan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada AFP.

Syarikat itu mengehadkan pendedahan sinaran kepada kurang daripada 6mSv setahun dan jauh lebih ketat daripada standard pendedahan radiasi maksimum undang-undang sehingga 50mSv setahun.

Keputusan itu adalah kali pertama badan buruh rasmi di Korea Selatan mengiktiraf kaitan antara sinaran kosmik dan kanser untuk pramugari sebagai kematian industri.

Peguam pekerja, Kim Seong-hyun yang mewakili keluarga Song, berkata sebilangan besar kru disahkan menghidap kanser darah dan payudara dengan ramai yang bercuti sakit.

“Korean Air perlu bersikap terbuka mengenai isu ini dan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.

Korea Selatan pada Jun meminda undang-undang yang meletakkan siling pada bilangan penerbangan antarabangsa yang dibenarkan untuk anak kapal kabin bagi meminimumkan pendedahan mereka kepada sinaran kosmik.

Kajian terhadap lebih 5,000 pramugari yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan dalam Kesihatan Persekitaran pada 2018 mendapati bahawa kru penerbangan mempunyai kadar yang lebih tinggi daripada purata kanser tertentu. -Agensi

Dewan Rakyat: Peratusan keluar mengundi menurun antara dibincang

0

PENURUNAN peratusan keluar mengundi serta peningkatan kos mengerjakan haji antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) bertanyakan Perdana Menteri sebab penurunan dalam peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13, 14 dan 15 dan usaha dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangani permasalahan itu, dalam sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) menyatakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos mengerjakan haji serta syarat dan kelayakan baharu yang ditetapkan.

Selain itu, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) inginkan penjelasan Menteri Pertahanan sama ada kerajaan berhasrat menilai semula pencen 21 tahun perkhidmatan untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia memandangkan mereka masih muda dan mempunyai komitmen terhadap keluarga.

Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang di peringkat itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 Nov ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt lepas.- BERNAMA

Kerajaan komited tingkat pembangunan sukan di IPT

0

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk terus memberi sokongan dan bantuan dalam meningkatkan pembangunan sukan di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa berkata, menerusi sokongan dan bantuan tersebut diharap dapat melahirkan jaguh-jaguh sukan negara menerusi institusi tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPT sentiasa menyokong penuh dalam penganjuran sukan di peringkat IPT seperti Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) dan juga kejohanan-kejohanan yang dianjurkan oleh majlis-majlis sukan IPT.

“KPT amat komited untuk membantu pihak kerajaan meningkatkan mutu sukan negara termasuk penganjuran sukan berskala tinggi iaitu bertaraf kebangsaan dan antarabangsa serta memberi sokongan penuh kepada penganjuran sukan yang membantu kepada pembangunan sukan di IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Sukan Pendidikan Tinggi (HESF) 2023 di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Sebahagian pelajar IPT yang mengambil bahagian dalam Pesta Sukan Pendidikan Tinggi 2023 di Unisza baru-baru ini.

Fazidah berkata, penganjuran HESF yang memasuki edisi ketiga bertujuan mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam kalangan pelajar IPT untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, HESF bukan sahaja untuk melahirkan atlet IPT yang berprestasi tinggi malah ianya juga untuk memperlihatkan kepada masyarakat bahawa kerajaan menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada atlet-atlet sukan dalam memastikan pendidikan dan sukan berjalan seiring serta melahirkan mahasiswa yang holistik seluruh negara.

Lebih 800 atlet daripada 30 kontinjen IPT seluruh negara mengambil bahagian dalam HESF 2023 itu bagi merebut 27 pingat emas yang ditawarkan melalui enam acara sukan.

Acara sukan tersebut ialah bola tampar pantai, petanque, ping pong, tarik tali, memanah dan ragbi. – Norfaiz Rozanif (Pelajar USIM)/Edisi 9

Video tular: Polis nafi kejadian culik berlaku di Sepang

POLIS menafikan satu klip video tular didakwa ada kaitan dengan kes penculikan di hadapan sebuah kedai dobi di Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang hari ini.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Sepang,  Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, daripada semakan polis berdasarkan nombor pendaftaran kereta berkenaan mendapati ia berkaitan kes melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian pada 31 Oktober lalu.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kemunculan sebuah kereta dalam keadaan yang mencurigakan di hadapan kedai dobi tersebut.

“Bertindak atas maklumat, polis dari Balai Polis Sungai Pelek telah hadir ke lokasi dan membuat pemeriksaan.

“Namun semasa anggota hendak memeriksa, pemandu kereta mencurigakan itu tidak bekerjasama dan terus melanggar motosikal polis yang diparkir di tepi jalan seterusnya memecut laju meninggalkan kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam, semalam.

Tambah Wan Kamarul Azran, kedua-dua suspek kemudiannya berjaya diberkas pada hari yang sama lebih kurang 1 tengah hari di hadapan sebuah hotel di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut berjaya membawa kepada rampasan sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu dan sebuah kereta jenis Honda CRV berwarna merah.

“Hasil semakan juga mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain ujian saringan dijalankan mengesahkan mereka positif dadah jenis metaphatamine,”katanya.

Berikutan itu, katanya, kedua-dua suspek kini sedang direman selama 14 hari sehingga 18 November ini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes masih dalam siasatan.

Ujar Wan Kamarul, siasatan susulan polis juga mengesahkan kejadian video culik yang ditularkan serta dikaitkan dengan kenderaan yang dirampas bersama tangkapan dua warga asing berkenaan tiada kaitan. – Edisi 9

Hamas: Malaysia tak iktiraf sekatan unilateral AS – Anwar

0

MALAYSIA tidak mengiktiraf sebarang keputusan oleh mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan sekatan secara unilateral.

Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, Malaysia hanya mengiktiraf keputusan dibuat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) yang disebut sebagai multilateral.

“Pada pandangan kerajaan, ia memperlihatkan unsur ugutan kepada pihak yang ingin membantu rakyat Palestin yang telah lama ditindas rejim Israel.

“Saya singgung, Malaysia akan meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan RUU ini sekiranya diluluskan,” katanya, memetik kenyataan menerusi Facebook beliau.

Beliau mengulas tindakan terkini Dewan Perwakilan AS yang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.

Anwar berkata, Malaysia juga akan terus menggesa AS untuk menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk keamanan antarabangsa, serta tegas dalam menghormati undang-undang dan konvensyen yang berkenaan, terutamanya untuk keadilan kemanusiaan.

Beliau mengulangi pendirian bahawa kerajaan memperakui perjuangan rakyat Palestin yang sekian lama tertindas dengan kekejaman Israel, seperti mana Malaysia mengakui perjuangan Nelson Mandela dan African National Congress.

Justeru, katanya, Malaysia akan terus memberi sokongan kepada mana-mana negara dalam membawa kes Palestin dan penjajahan dan kezaliman dan penindasan ke atas rakyat negara itu.

Dewan Perwakilan AS pada 2 November lalu meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.

RUU bertajuk Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan oleh majoriti 363 berbanding 46 yang menentang.

Daripada 46 penentang itu, ia terdiri daripada 45 Demokrat dan seorang Republikan.

Seterusnya, RUU itu akan dibawa ke Senat.

Inisiatif dwipartisan (dua parti atau kumpulan politik yang berlainan) diketuai oleh Brian Mast (Republikan-Florida) dan Josh Gottheimer (Demokrat-New Jersey).

Perundangan itu memerlukan Presiden menyerahkan kepada Kongres laporan tahunan untuk tiga tahun akan datang yang mengenal pasti individu, agensi atau peralatan negara asing yang secara sedar dan material membantu Hamas, Jihad Islam, atau ahli gabungan atau pengganti salah satu organisasi terbabit. – Edisi 9