SERAMAI 1,000 warga Universiti Tenaga Nasional (Uniten) daripada pelbagai latar belakang menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin menuntut hak dan kebebasan di negara bergolak itu.
Naib Canselor Uniten, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, perhimpunan tersebut bukan sahaja membabitkan pengurusan tertinggi dan pelajar malah turut disertai komuniti pelajar Palestin.
“Saya menyeru warga United untuk bersama-sama menunjukkan kebersamaan dan kemanusiaan kita, serta mengecam kezaliman yang menimpa rakyat Palestin.
“Tindakan kejam rejim Zionis mencabuli hak asasi manusia dan hukum antarabangsa, meninggalkan luka mendalam pada umat manusia,” katanya ketika berucap dalam majlis Solidariti Uniten bersama Palestin.
Program solidariti yang bermula sejak 30 Oktober lalu itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti, perkongsian pelajar Palestin, ceramah pensyarah tahfiz Uniten berkaitan konflik Palestin, solat hajat, bacaan qunut nazilah dan lain-lain lagi.
Wakil pelajar dari Palestin, Motasem W A Jad, turut berkongsi pengalaman berada di Palestin serta penderitaan yang dialami rakyat di negaranya.
“Perjuangan rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri telah menjadi
aspek yang penting dalam kisah perjuangan kami.
“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan seperti pengusiran dan sikap perikemanusiaan yang kejam selama puluhan tahun, namun tekad kami tetap kuat.
“Ketabahan ini mengingatkan bahawa walaupun dalam keadaan yang sukar, kami berdiri dengan kukuh dan tidak goyah,” katanya.
Sementara itu, wargaUniten, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. T. Sivadass berkata, isu di Palestin seharusnya dirasai dan difahami oleh semua.
Menurutnya, semua pihak tanpa mengira agama perlu menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka dan mengecam sekeras-kerasnya sikap tidak berperikemanusiaan rejim Zionis.
“Saya hadir di sini sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin dan
mengutuk kekejaman dan kezaliman yang berlaku.
“Program ini adalah satu manifestasi keprihatinan kita terhadap nilai kemanusiaan sejagat. Apa yang berlaku di Palestin adalah isu kemanusiaan dan keamanan dan ia adalah hak kita sesama insan,” katanya. – Edisi 9