27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

30 PATI dicekup ketika guna lorong tikus di Port Dickson

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menangkap 30 individu dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dan Myanmar, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, mereka terdiri daripada 26 lelaki dan empat wanita ditahan ketika cuba keluar dari negara ini melalui pintu yang tidak diwartakan.

Beliau berkata, Sistem Pengawasan Laut (Swasla) telah mengesan satu pergerakan mencurigakan dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju ke Tanjung Rhu, Sepang sekitar pukul 10.00 malam.

“Ketika aset Maritim Malaysia cuba memintas, bot suspek bertindak memecut laju melarikan diri dan telah berlaku kejar-mengejar selain bertindak agresif.

Advertisements

“Tindakan tersebut telah membawa kepada berlaku pertembungan antara bot suspek dan aset Maritim Malaysia seterusnya menyebabkan bot suspek terbalik dan tenggelam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek terjatuh ke dalam air dengan tidak memakai jaket keselamatan sebelum diselamatkan bot ronda Maritim Malaysia.

Katanya, kesemua PATI ini ditahan di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Port Dickson pada pukul 12.40 pagi dan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan diberikan rawatan yang sewajarnya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 29 PATI adalah warganegara Indonesia dan seorang lagi warganegara Myanmar berumur antara 21 hingga 63 tahun dan kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan