TINDAKAN pantas sepasukan polis daripada Unit Peronda Lebuh Raya Kesas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Lokasi penyelamatan OKU yang dilaporkan merayau seorang diri itu dilakukan di Kilometer 41.1 (W), Lebuh Raya Kesas arah Kuala Lumpur ke Klang.
Menurut JSPT dalam satu hantaran di Facebook, OKU berkenaan kemudiannya di bawa ke tempat yang lebih selamat demi memastikan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan dan juga kesesakan jalan raya.
“Sikap keperihatinan kepada pengguna lebuh raya yang mengalami kesulitan telah membuat Koperal Shaiful, Koperal Azreen, Koperal Azzlan dan Lans Koperal Asmu’i daripada Unit Peronda Lebuh Raya Kesas, JSPT membantu.
“Petugas peronda EMPV Kesas telah memberi bantuan membawa lelaki tersebut ke tempat lebih selamat demi memastikan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan dan juga kesesakan jalan raya.
“Tindakan mengesan keluarga kepada lelaki telah dilakukan dan mendapati satu laporan orang hilang telah dibuat oleh ibunya,” katanya hari ini.
Ujar JSPT lagi, anggota EMPV Kesas telah menghubungi ibu OKU berkenaan dan menyerahkannya kepada ibu beliau.
“Nasihat kepada pengguna lebuh raya supaya berhati-hati ketika memandu dan mengambil langkah keselamatan diri, kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja.
“Keperihatinan dan keselamatan masyarakat khususnya pengguna jalan raya menjadi keutamaan JSPT PDRM,” katanya.
-EDISI9

