Wednesday, July 22, 2026

Perodua Aruz dibawa arus banjir kilat di Gua Musang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN nekad lima lelaki yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz untuk meredah banjir kilat di Gua Musang, Kelantan, berakhir dengan detik-detik cemas.

Kesemua mereka nyaris dihanyutkan arus deras, namun berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada saluran pembentung konkrit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu membabitkan mangsa berusia antara 45 hingga lingkungan 50-an.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk membantu sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat awal, katanya, terdapat lima lelaki terperangkap dan berada di atas saluran pembetung.

“Mereka dipercayai cuba mengharungi arus deras ketika banjir kilat di lokasi kejadian. Namun mereka berjaya keluar dari kenderaan sebelum kereta dinaiki dihanyutkan arus deras.

“Semua mangsa berjaya berpaut pada saluran pembetung serta naik ke atas struktur konkrit dan terperangkap.

“Kedalaman air di sekitar pembetung terbabit adalah lebih dua meter,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Nor Azizi berkata, sebaik tiba seorang daripada mangsa sudah dibawa keluar oleh pihak polis, manakala empat lagi masih terperangkap.

“Saya bersama dua lagi anggota dengan dilengkapi jaket keselamatan berenang bagi menyelamatkan semua mangsa terperangkap.

“Seorang daripada mangsa hampir mengalami hipotermia. Sebaik dipakaikan PFD (jaket keselamatan), mereka diiringi berenang ke tebing bukit sebelum meredah semak untuk keluar ke kawasan selamat,” katanya.

Terdahulu media melaporkan beberapa kawasan di sekitar bandar ini dinaiki air susulan hujan lebat berterusan selama sejam setengah bermula pukul 1.30 petang tadi.

Antara kawasan terbabit dengan kejadian banjir kilat itu adalah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Bandar Baru, persimpangan lampu isyarat berdekatan restoran makanan segera KFC dan Taman Tropika.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan