KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan meneliti langkah terbaik bagi mengelak Zoo Negara dilanda banjir kilat lagi seperti yang berlaku pada 18 Oktober lalu.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya belum mendapat laporan penuh mengenai kejadian itu namun akan melihat dengan lebih teliti bagi mengelak ia berulang.
“Kita akan dapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu untuk melihat puncanya dan fikirkan cara terbaik atasi masalah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 dan Pelancaran hari ini.
Media sebelum ini melaporkan 50 pengunjung terperangkap dalam banjir kilat yang melanda Zoo Negara baru-baru ini.
Bagaimanapun, kesemua mereka kemudian diselamatkan oleh petugas Zoo Negara dengan membawa mereka keluar menggunakan lori dan traktor.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmad Lana dilaporkan berkata, pihaknya kerugian lebih RM300,000 akibat bencana itu.
Katanya, air naik mendadak di kawasan tersebut berikutan limpahan daripada Sungai Kemensah walaupun sungai berkenaan sudah diperbesarkan.
Katanya, semua haiwan juga berada dalam keadaan selamat kecuali seekor capybara yang terlepas keluar namun berjaya diselamatkan. -Edisi 9