SEORANG wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di Dungun, Terengganu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian muka.
Menurutnya, pasangan tersebut baru mendirikan rumah tangga setahun lalu dan difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mereka yang menyebabkan suspek berusia lingkungan 30-an tiba-tiba bertindak di luar kawalan.
“Difahamkan, suspek kemudian memberitahu ahli keluarganya yang tinggal berhampiran kediamannya tentang perbuatannya itu sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis.
“Susulan itu, kita telah menahan suami mangsa yang disyaki melakukan perbuatan itu,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Difahamkan, hasil siasatan awal polis juga mendapati, suspek berusia 32 tahun tidak terlibat dengan dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis turut merampas tukul besi yang digunakan suspek.
-EDISI9