SELEPAS kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian ‘durian runtuh’ kepada penjawat awam sempena Aidilfitri, kerajaan negeri Kedah turut tidak ketinggalan menghadiahkan pemberian kepada penjawat awam di negeri itu.
Penjawat awam di negeri Kedah boleh ‘raya sakan’ apabila kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 dan ia akan disalurkan bermula 18 April ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kelulusan berkenaan dibuat pada mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Wisma Darul Aman pada Rabu.
“Saya mahu umumkan Bantuan Khas Aidilfitri tahun 2023 kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah, (di mana) kerajaan negeri bersetuju meluluskan bantuan sebanyak RM1,000 setiap orang.
“Ia melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.1 juta untuk penjawat awam (di Kedah) seramai 5,100 orang,” katanya memetik laporan Astro AWANI.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah membuat penjenamaan semula ketua kampung yang kini dikenali sebagai Majlis Ketua Kampung (MKK).
Keputusan itu adalah bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.
Tambahnya, pelantikan berkenaan juga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM13.8 juta bagi pembayaran elaun.

