31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

4 beradik maut dalam kebakaran dikebumi satu liang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JENAZAH empat beradik yang maut dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar malam semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang malam ini.

Kesemua mereka iaitu Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3, telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, Muar kira-kira pukul 8.15 malam.

Terdahulu, keempat-empat jenazah disembahyangkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dengan turut disertai ahli keluarga terdekat sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Ibu bapa mangsa, Nabila Sedu, 31 dan Thein Ko Htut, 30, kelihatan sugul dan tidak bermaya tatkala mengiringi jenazah keempat-empat anak mereka.

Sementara itu, pendakwah terkenal, Ebit Lew yang berkesempatan menziarahi jenazah empat beradik itu berkata, tidak dapat dibayangkan wajah-wajah comel mereka.

“Adik kecil Puteri Aisyah lapan tahun, Mohd Hakim enam tahun, Mustakim empat tahun, Fatihah Aisyah tiga tahun. Kecil-kecil semuanya. Melihat wajah bersih cantik semuanya.

“Saya lihat wajah anak-anak semua comel bersih. Tidak terbakar. Ada calar-calar sikit-sikit. Empat beradik dijumpai di bilik air. Mungkin lemas asap dan haba panas,” katanya menerusi Facebook beliau.

Advertisements

Katanya, rasa sebak juga jelas dirasai apabila melihat tangisan ibu bapa empat beradik tersebut sepanjang urusan di Muar.

“Ibunya asal Kuala Kubu Bharu. Sampai je nampak saya tadi menangis katanya hari-hari anaknya Aisyah nak jumpa ustaz. Keluarganya susah.

“Di rumah tiada perabot, TV (televisyen) pun tiada. Tiada barang elektrik. Ibunya keluar lima minit beli barang bergesa balik lihat dah jadi begitu. Ya Allah tuhanku sedihnya dengar,” katanya.

Dalam kejadian di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor kira-kira pukul 7.49 petang itu, empat beradik itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka yang terbakar.

Ketika kejadian, ibu mangsa berusia keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran manakala bapanya yang berusia 30 tahun bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar Muar.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan