Wednesday, July 22, 2026

Cubaan seludup ganja bernilai RM45,000 tumpas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CUBAAN sindiket menyeludup masuk sembilan kilogram ketulan ganja mampat bernilai RM45,000 dari negara jiran tumpas apabila dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis.

Rampasan itu dibuat oleh Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi pada kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli sekitar jam 10.25 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, terdahulu penguatkuasa telah mengesan pergerakan sebuah bot fiber dalammasuk ke perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap dan mencurigakan.

Beliau berkata, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis mengerakkan bot peronda yang sedang melakukan OP AMAN ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber itu.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut dan menukar haluan untuk berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand.

“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan guni yang dibuang itu mengandungi sembilan ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas dengan berat sembilan kilogram dianggarkan bernilai RM 45,000.

“Semua hasil rampasan kemudiannya telah dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952” katanya.

Ujar beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.

Sebarang aduan dan maklumat serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan