KERAJAAN Perpaduan komited untuk meningkatkan pembangunan sempadan Malaysia – Indonesia di Sabah dan Sarawak dan akan mengesyorkan beberapa projek baharu dengan anggaran nilai melebihi RM1 bilion dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari depan.
Ini susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia, baru-baru ini dan perbincangan dibuat dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata, antara projek baharu tersebut adalah menaik taraf kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) serta infrastruktur jalan raya yang akan menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan, Indonesia dalam kadar segera.
“Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan CIQS sempadan dari segi keselamatan dan meningkatkan keupayaan CIQS dan prasarana asas seperti jalan raya kerana kita tidak mahu dilihat seperti terlalu daif,” kata beliau.
Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi intipati penting yang turut di sentuh dalam mesyuarat terbabit.
Menuurt beliau, Kerajaan juga bersetuju untuk melantik Pegawai Kewangan Negeri Sarawak sebagai Anggota Lembaga Pengarah LHDNM. (Wakil Kerajaan Negeri Sabah telah dilantik pada 1 September 2022).
Dalam pada itu, katanya, majlis juga bersetuju untuk menambah baik tahap Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak serta meneroka formula yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan negeri dan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan komited untuk menyegerakan rundingan formula baharu Pemberian Khas ini.
“Sebagai langkah permulaan, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing akan dinaikkan lebih kurang RM300 juta setahun,”katanya. – Edisi 9