32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Guna lambang parti pada bantuan rakyat satu rasuah – Rais

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AMALAN menggunakan lambang parti politik pada bantuan yang diberikan kepada rakyat perlu dilihat serius kerana ia merupakan satu bentuk rasuah sekali gus mencabul dan melanggar undang-undang antirasuah negara terutama dalam tempoh pilihan raya umum kini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim yang memandang berat isu itu berkata, sebarang bantuan untuk rakyat haruslah bebas daripada lambang parti politik kerana ia merupakan satu bentuk sogokan dan pengaruh undi kepada parti tertentu.

“Barang siapa yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan sedemikian, dimohon agar lekas membuat laporan polis atau terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Harga diri demi demokrasi jauh lebih berharga daripada sekampit beras dan sebotol minyak masak,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Parlimen Malaysia hari ini.

Beliau berkata, baru-baru ini terdapat beribu kampit beras dicap dengan lambang parti politik tertentu sebelum dihadiahkan kepada rakyat di kampung luar bandar dan kampung baharu, rumah pangsa serta tempat-tempat lain.

Advertisements

Selain itu, Rais turut menekankan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih cakna menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dalam memantau perkara tersebut.

Beliau juga meminta SPR dan SPRM bersiap siaga dan bertindak mencegah perbuatan antikeluhuran itu, selain menyuarakan kebimbangan suasana pada masa kini yang seolah-olah menunjukkan perbuatan sogok-menyogok semakin berleluasa sehingga mewujudkan seperti pesta budaya rasuah.

Pada 20 Oktober lepas, SPR menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Pelaksanaan pilihan raya itu akan melibatkan 222 kerusi Dewan Rakyat di seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak, melibatkan 59 kerusi DUN, Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak adalah PRK DUN Bugaya, Sabah. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertembungan empat penjuru

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut...

Lagi Artikel Berkaitan