LIMA kenderaan rosak akibat kejadian tanah mendap yang dilaporkan berlaku di Lestari Perdana, Seri Kembangan, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 6.38 petang tadi sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.
“Berdasarkan laporan awal, berlaku tanah mendap di kawasan berhampiran longkang mengakibatkan lima kenderaan rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak bomba sedang menjalankan pemantauan di lokasi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Terdahulu, tular sejak lewat petang tadi video berdurasi 14 saat memaparkan kejadian sekelip mata rekahan di jalan tar susulan tanah mendap sehingga menyebabkan beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan tersebut turut sama terjatuh.
Terdapat jeritan orang awam yang menyuruh dua individu berhampiran tanah mendap tersebut untuk segera lari menjauhi kawasan berbahaya tersebut.
-EDISI9

