25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Ketua PYMT, Sittah Annur isytihar taubat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seorang wanita yang mendakwa ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Masitah Ab. Jalar, 39, atau digelar Sittah Annur membuat pengisytiharan taubat hari ini.

Pengisytiharan dilakukan menerusi pembacaan teks Istitabah oleh Masitah di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor, sebentar tadi.

Perkara tersebut disaksikan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Pendakwaan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd. Ansor Rullah Mohd. Hassim dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Shahir Makhtar.

Mereka turut menandatangani dokumen pengisytiharan taubat tersebut yang disiarkan secara siaran langsung menerusi Facebook JAIS.

Sebelum ini, media melaporkan wanita itu mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad S.A.W.

Sittah Annur juga mengaku sebagai Ketua PYMT dan mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat Islam lain.

Advertisements

Dia juga mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh tuhan.

Edisi9 4 September lalu melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang disyaki ketua ajaran sesat ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ telah ditahan polis awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, suspek warga tempatan itu ditahan selepas polis menerima laporan yang dibuat pada 29 Ogos berhubung video dimuatnaik di YouTube milik suspek.

Terdapat enam laporan polis diterima berikutan isu yang sama dibuat di lima balai polis yang berasingan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan