28.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

UMNO berdepan risiko jika Najib kembali bertanding PRU-15

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Langkah yang diambil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dicalonkan semula dan mempertahankan kerusi Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal menyebabkan UMNO berdepan pelbagai risiko.

Risiko yang mungkin dihadapi antaranya akan mencacatkan usaha parti itu mendapatkan sebanyak mungkin kerusi, selain memberi implikasi negatif kepada negara.

Itu pandangan yang dilontarkan Pensyarah Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis yang melihat pencalonan  Najib dan usaha beliau mempertahankan kerusi Pekan itu harus dilihat dari sudut undang-undang.

“Ini kerana beliau sudahpun disabitkan bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

“Sekiranya Najib tidak dapat mengubah keputusan dan tidak mendapat pengampunan diraja, maka ada kebarangkalian plihan raya kecil perlu diadakan semula sekiranya Najib berjaya mempertahankan kerusi Pekan pada PRU15,” katanya lapor MalaysiaNow.

Beliau berkata, walaupun UMNO yakin boleh memenangi kerusi Pekan, dalam konteks hendak menjadi kerajaan, parti itu harus mendapat jumlah kerusi yang jitu untuk membentuk kerajaan.

“Pengundian semula (kerusi Pekan) tidak akan membantu UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian, mengulas mengenai hasrat Najib hasrat untuk dicalonkan semula pada PRU-15 dalam satu temu bualnya bersama Reuters baru-baru ini.

Pada Julai tahun lepas, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Ghazali.

Pada pilihan raya umum 2018, beberapa ahli politik dibatalkan pencalonan atau tidak mencalonkan diri berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapi.

Antaranya bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang ketika itu berhadapan perbicaraan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), dan bekas ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang hilang kelayakan bertanding apabila pegawai pengurus pilhan raya membatalkan kertas pencalonannya ekoran satu kes mahkamah.

Najib dan sekumpulan lagi pemimpin Umno termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi digelar kluster mahkamah kerana mempunyai pelbagai kes undang-undang berkait rasuah dan pengubahan wang haram.

Mujibu berkata, selain sudut memenangi kerusi, aspek reputasi negara juga perlu diambil kira oleh UMNO.

“Saya tidak fikir pencalonan Najib ini bagus dari sudut integriti.

“Sekiranya UMNO mengekalkan golongan yang digelar kleptokrat, ia menghantar isyarat yang tidak baik tentang hala tuju negara,” katanya.

Advertisements

Di samping itu, Mujibu melahirkan kegusaran mengenai keadaan daya saing ekonomi negara yang sudahpun terkesan disebabkan ketidakstabilan politik dan pandemik COVID-19.

Katanya, Malaysia sedang terkial-kial untuk bersaing dengan negara jiran dan pencalonan Najib dilihat menambahkan lagi cabaran kepada ekonomi negara apabila pelabur asing bakal mempertikaikan integriti kerajaan.

Pencalonan Najib juga bakal membawa persepsi bahawa UMNO merupakan parti yang tidak berubah atau sukar berubah.

Katanya, ia merupakan isyarat bahawa budaya politik warlord (hulubalang) dan feudalisme masih tebal dalam parti Melayu itu.

UMNO dan Barisan Nasional tewas pada PRU-14 buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia pada 2018.

Namun parti itu kembali semula ke tampuk pemerintahan selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020, susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, dua faktor utama yang akan menentukan pencalonan beliau ialah Presieden UMNO yang akan menandatangani watikah calon dengan melihat kebolehmenangan Najib, dan faktor perundangan.

“Jika merujuk kepada budi bicara pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon, keadaan ini masih berisiko dan terdedah kepada bantahan calon lain yang mungkin tidak berpuas hati dengan pencalonan beliau,” katanya.

Hisommudin dan Mujibu bersetuju kebarangkalian Najib untuk mengekalkan kerusi di Pekan adalah tinggi.

Bagi Hisommudin, pencalonan semula Najib dilihat sebagai strategi menarik semula segmen undi protes yang memberi undi kepada pembangkang pada PRU14 lepas.

Bagaimanapun katanya, imej Najib bakal memberi kesan kepada pengundi di kawasan campuran yang undi bukan Melayu menjadi penentu.

Selain itu, UMNO perlu memberikan justifikasi sekiranya Najib dan kumpulan kluster mahkamah benar-benar dicalonkan semula.

“Sebarang keputusan dan riskio perlu dinilai oleh strategis UMNO bagi memberikan formula kemenangan kepada parti Melayu itu,” katanya.

Bagi Mujibu, UMNO juga berisiko kehilangan pengundi muda pada PRU-15 sekiranya masih mengekalkan muka lama seperti Najib kerana cabaran terbesar ialah untuk mencari bagaimana mereka boleh mereformasikan parti dan meyakinkan rakyat tentang keterbukaan, ketelusan dan mesra orang muda.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

JAIS larang premisnya diguna untuk tujuan politik kepartian

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengingatkan bahawa larangan sebarang kegiatan politik di masjid, surau dan sekolah-sekolah di...

Lagi Artikel Berkaitan