31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Hanya penerbangan kargo dari India, bukan penumpang

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan semua jadual penerbangan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari India ke negara ini merupakan penerbangan kargo dan bukannya penumpang.

Menurut beliau, tindakan itu selari dengan arahan kerajaan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa berkuatkuasa 28 April lalu, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia.

“Semua penerbangan MH yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo.

“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” kata beliau kenyataan hari ini.

Ka Siong mengulas laporan media terdapat puluhan pesawat penerbangan dari negara itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu dan telah dipraktikkan MAB selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik COVID-19.

“CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia), MAS Kargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (MAVCOM) juga telah mengesahkan fakta ini.

Advertisements

“Semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April,” katanya.

Jelas Ka Siong, pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di negara ini pada masa ini.

Walau bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana krew penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan.

“Pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan, dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuatkuasa 28 April 2021.

“Warganegara Malaysia (pelajar dan pekerja), keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori 14 hari di pusat-pusat yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan menyekat penerbangan keluar masuk dari India ke negara ini bagi mencegah kemasukan varian baharu COVID-19 dari negara itu berkuat kuasa Rabu lalu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

JAIS larang premisnya diguna untuk tujuan politik kepartian

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengingatkan bahawa larangan sebarang kegiatan politik di masjid, surau dan sekolah-sekolah di...

Lagi Artikel Berkaitan