
SETELAH kejayaan Datuk Onn Hafiz Ghazi membawa kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, kini kedengaran suara desakan agar BN Negeri Sembilan juga menampilkan anak muda sebagai “poster boy” mereka.
Dan nama yang disebut-sebut ialah mantan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang baru diterima semula ke dalam UMNO setelah sebelum ini dipecat daripada parti.
Penulis melihat desakan terutama kalangan orang UMNO sendiri amat wajar kerana Khairy atau mesra dipanggil KJ ini mempunyai pakej lengkap untuk memimpin Negeri Sembilan.
Selain faktor usia yang relatif masih muda, mantan Ketua Pemuda UMNO itu juga mempunyai trek rekod yang boleh dianggap cemerlang sepanjang menjadi menteri Kabinet di bawah tiga Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau juga mempunyai pengaruh besar dalam kalangan anak muda serta mempunyai aura tersendiri selain kepetahannya berucap dan keterbukaanya.
Bagaimanapun, penulis percaya usaha menaikkan KJ banyak likunya namun ia tidak mustahil sekiranya pucuk pimpinan UMNO negeri dan Pusat berlapang dada, berjiwa besar demi menjayakan misi merampas kembali Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH).
Benar KJ pernah dicampak keluar dari Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lalu. Benar KJ pernah dipecat daripada parti kerana kelantangannya.
Namun KJ juga telah menunjukkan kesetiaannya kepada UMNO dan menaruh harapan untuk diterima kembali oleh parti yang akhirnya menjadi kenyataan apabila dasar Rumah Bangsa dicetuskan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kesediaan UMNO menerima kembali beliau ke dalam parti dibalas dengan turun berkempen untuk calon BN dalam PRN Johor.
Penulis melihat usaha mengangkat KJ sebagai “poster boy” Negeri Sembilan bukan bertujuan menafikan keupayaan kepimpinan UMNO yang ada, namun dalam keadaan pola politik negara yang sedang berubah, BN memerlukan figura anak muda untuk diangkat sebagai pemimpin negeri.
Penulis percaya UMNO dan BN dapat membaca sentimen pengundi hari ini sepertimana ditunjukkan dalam PRN Johor.
Justeru, penulis yakin dan percaya desakan menamakan KJ sebagai “poster boy” bagi BN dalam mengharungi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pucuk pimpinan parti itu. — Edisi 9

