KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan beliau tidak gentar berdepan mana-mana pihak termasuk pemimpin DAP, malah kini sedang melalui dua kes mahkamah melibatkan parti tersebut.
Menurut beliau, label “budak catur” yang dilemparkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak menjejaskan pendiriannya untuk terus berjuang mempertahankan prinsip dan hak rakyat.
“Budak catur” yang hari ini bukan setakat lawan DAP dalam ceramah sahaja tapi saya ada dua kes mahkamah lawan pemimpin DAP.
“Jadi kalau sampai mahkamah kita lawan tapi Sanusi cakap kita budak catur, terpulanglah,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Dr Akmal berkata demikian sebagai mengulas ceramah Sanusi di Melaka malam tadi, yang menurutnya lebih menjurus kepada serangan peribadi berbanding membawa idea pembangunan negeri.
Memetik laporan media, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas menyifatkan Dr Akmal Saleh sekadar lantang bersuara menyerang DAP namun hakikatnya hanyalah ‘budak catur’ presiden parti itu.
Beliau berkata, ini kerana akhirnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan parti itu tetap akan bekerjasama dengan DAP.
Mengulas lanjut, ADUN Merlimau itu turut membangkitkan isu kehadiran ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang didakwa ponteng sidang Dewan Undangan Negeri walaupun tempohnya singkat.
Katanya, alasan cuti sakit selama tiga bulan kerana kecederaan kaki menimbulkan persoalan apabila individu tersebut dilihat mampu hadir ke ceramah politik.
“Sidang DUN bukan lama, hanya beberapa hari dalam tempoh beberapa bulan. Itu pun tidak dapat dipenuhi, tetapi ceramah politik sanggup hadir walaupun dalam tempoh cuti sakit.
“Ini soal tanggungjawab kepada rakyat. Jangan sampai keutamaan tersasar,” katanya
Dalam pada itu, beliau menegaskan, keutamaan pemimpin seharusnya tertumpu kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, bukannya menimbulkan perpecahan.
“Orang Melayu hari ini perlu disatukan, bukan diperbodohkan atau dipecah-belahkan dengan politik kutuk-mengutuk,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada rakyat Melaka untuk menilai prestasi wakil rakyat masing-masing menjelang pilihan raya negeri akan datang. — Edisi 9

