Friday, June 12, 2026

UMT bantu waris Suraya, mangsa lemas Lata Ulu Kasar

UMT telah membantu membiayai kos pengurusan jenazah serta kos penghantaran jenazah pelajar terbabit ke Batu Pahat, Johor.

Mesti Baca

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) akan memastikan segala bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham Suraya Hassan yang meninggal dunia dalam kejadian lemas di Lata Ulu Kasar, Setiu, semalam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, UMT telah membantu membiayai kos pengurusan jenazah serta kos penghantaran jenazah pelajar terbabit ke Batu Pahat, Johor.

Beliau berkata, bantuan wang segera khairat kematian RM1,000 serta wang pampasan insuran RM10,000 akan diserahkan kepada waris pelajar sebagai tanda keprihatan universiti terhadap tragedi tersebut.

Tambah beliau, pihak universiti juga akan memberi kelonggaran kepada mangsa lain yang terlibat untuk memulihkan kesihatan serta mengatasi trauma mereka sebelum bersedia hadir ke kampus bagi menyambung pengajian.

“Kehilangan ini sangat dirasai oleh seluruh warga universiti. Semoga
keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang, mangsa, Suraya Hassan, 22, yang berasal dari Batu Pahat, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas.

​Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Tong digerakkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan-rakannya yang juga pelajar UMT Kampus Gong Badak telah ke pusat rekreasi berkenaan untuk berkelah dan mandi-manda.

​”Kejadian dipercayai bermula apabila salah seorang rakan mereka dikenali sebagai Adilah hampir lemas. Mangsa (Suraya) bersama seorang lagi rakan, Nur Najwa Farina Mohamed, 25, telah cuba menyelamatkan Adilah.

“Bagaimanapun, dalam usaha menyelamat itu, Suraya telah dihanyutkan arus dan lemas, manakala Nur Najwa Farina pula hampir lemas namun berjaya diselamatkan,” katanya seperti dilapor media.

Allahyarham merupakan pelajar tahun tiga Program Sarjana Muda Sains Gunaan Nano Fizik di UMT.

Dalam pada itu, pengurusan UMT telah hadir ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bersama-sama memberi sokongan kepada keluarga pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut.

Antara yang hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Suriyani Muhamad yang mewakili Naib
Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan