JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan 69 warganegara asing atas pelbagai kesalahan imigresen, malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, Ops Gegar yang bermula 11 malam itu melibatkan 89 pegawai pelbagai pangkat dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurut beliau, seramai 198 individu terdiri daripada 73 warganegara asing dan 125 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan, seramai 69 warganegara asing berusia antara 20 hingga 35 tahun telah ditahan melibatkan warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Bangladesh,” katanya malam tadi.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang imigresen negara.

Semasa operasi, katanya, terdapat cubaan melarikan diri dan menyembunyikan warga asing dan dokumen penting bagi melambatkan proses pemeriksaan.
“Kesemua yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya.
Lokman Effendi berkata, sehingga 7 April 2026, sebanyak 106 Ops Gegar telah dilaksanakan di seluruh negara dengan penahanan 670 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 23 majikan.
“JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa terpelihara,” katanya. — Edisi 9

