Monday, June 15, 2026

Krisis dunia buka peluang perkukuh Agenda Ekonomi Biru Negara

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, membina ekonomi yang lebih mandiri bukan lagi pilihan sebaliknya ia adalah keperluan strategik. 

Mesti Baca

Oleh PROF MADYA DR MOHD UZAIR RUSLI

SEJARAH dunia sering menunjukkan bahawa krisis besar menjadi titik perubahan kepada arah pembangunan manusia. 

Setiap zaman mempunyai detik kesedaran (teachable moment) yang memaksa manusia menilai semula cara mereka membina ekonomi, teknologi dan masa depan.

Selepas Perang Dunia Kedua, dunia berada dalam keadaan kemusnahan ekonomi yang luar biasa. 

Namun daripada kehancuran itu lahir kesedaran baharu bahawa dunia memerlukan sistem ekonomi dan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh. 

Maka tertubuhlah institusi seperti World Bank dan International Monetary Fund, manakala Marshall Plan membina semula ekonomi Eropah. 

Krisis akhirnya melahirkan sistem ekonomi global yang lebih tersusun dan ampuh. 

Beberapa dekad kemudian, dunia sekali lagi diuji apabila pandemik COVID-19 melanda dan ekonomi dunia hampir terhenti. 

Namun, daripada krisis ini lahir satu perubahan besar iaitu dunia mempercepatkan peralihan ke arah ekosistem digital. 

Mesyuarat, pendidikan dan perdagangan berpindah ke ruang dalam talian. 

Transformasi yang biasanya mengambil masa sedekad akhirnya berlaku hanya dalam beberapa bulan. 

Krisis Covid membuktikan bahawa manusia mampu berubah dengan pantas apabila keadaan memaksa mereka melakukannya.

Hari ini dunia berdepan satu lagi ketidaktentuan apabila konflik di Timur Tengah menggoncang kestabilan tenaga global. 

Kawasan ini memainkan peranan penting dalam bekalan minyak dunia. 

Setiap konflik di rantau tersebut hampir pasti memberi kesan kepada harga minyak dan ekonomi global.

Krisis ini sekali lagi mengingatkan kita tentang satu realiti penting, iaitu ekonomi moden masih terlalu bergantung kepada sumber luar. 

Apabila rantaian bekalan terganggu, seluruh dunia akan merasai kesannya. 

Bagi negara maritim seperti Malaysia, inilah satu lagi teachable moment. Inilah masa yang tepat untuk memperkukuhkan agenda Ekonomi Biru negara.

Konsep Ekonomi Biru dipopularkan oleh Gunter Pauli melalui bukunya The Blue Economy. 

Dalam pemikirannya, Ekonomi Biru bukan sekadar merujuk kepada aktiviti ekonomi di laut. 

Ringkasnya, ia adalah model ekonomi yang meniru cara alam semula jadi berfungsi. 

Dalam ekosistem semula jadi, tiada pembaziran. Setiap sisa menjadi sumber kepada proses lain. 

Sistem ini menghasilkan keseimbangan yang stabil dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang.

Prinsip utama adalah menggunakan sumber tempatan dengan bijaksana, hasilkan pelbagai nilai daripada satu sumber, dan bina ekonomi yang tidak terlalu bergantung kepada import. 

Pendekatan ini sangat relevan bagi Malaysia kerana kita mempunyai ribuan kilometer garis pantai, kawasan laut yang luas serta biodiversiti marin yang luar biasa. 

Laut bukan sekadar sumber makanan. Ia adalah sumber inovasi, tenaga, bioteknologi dan pelbagai industri baharu yang masih belum diterokai sepenuhnya.

Apabila kita melihat laut melalui lensa Ekonomi Biru, kita tidak hanya melihat ikan atau hasil laut sahaja.

Kita melihat sebuah ekosistem ekonomi yang luas, yang mampu melahirkan peluang pekerjaan, inovasi dan kekayaan negara.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, membina ekonomi yang lebih mandiri bukan lagi pilihan. Ia sebenarnya adalah keperluan strategik. 

Negara yang terlalu bergantung kepada sumber luar akan sentiasa terdedah kepada tekanan global. 

Sebaliknya, negara yang memanfaatkan sumber tempatan secara kreatif akan memiliki daya tahan yang lebih kukuh.

Oleh itu, Ekonomi Biru tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai slogan pembangunan. Ia wajar dimulakan dengan perubahan cara berfikir. 

Kita perlu melihat lautan bukan sekadar sempadan geografi, tetapi sebagai ruang ekonomi masa depan kita bersama. 

Transformasi ini juga tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata. 

Nelayan, usahawan muda, penyelidik, pelajar dan komuniti pesisir semuanya mempunyai peranan dalam membentuk keseluruhan ekosistem Ekonomi Biru yang dinamik.

Sejarah telah menunjukkan bahawa krisis sering melahirkan perubahan besar. 

Perang dunia membina sistem ekonomi global. Pandemik Covid mempercepatkan transformasi digital. 

Kini,ketidaktentuan geopolitik dunia memberi kita satu lagi peluang untuk menilai semula arah pembangunan negara.

Laut di sekeliling kita menyimpan potensi yang sangat luas. Jika dimanfaatkan dengan bijaksana, ia boleh menjadi asas kepada ekonomi yang lebih mandiri, lebih inovatif dan kalis terhadap krisis global.


Penulis ialah Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu.

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan