DUA beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran yang mengorbankan lima ahli keluarga mereka di Ulu Dong, Raub, Pahang baru-baru ini, menerima sinar harapan baharu apabila ditawarkan sokongan pendidikan sepenuhnya menerusi inisiatif anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika melawat kediaman mangsa yang musnah sepenuhnya itu mendapati Ruby Adalia Balqis Mohd Awi dan Ahmad Balia Murqam berada dalam keadaan lebih stabil serta menunjukkan semangat yang kian pulih selepas tragedi menyayat hati itu.
Beliau berkata, kedua-dua beradik telah bersetuju untuk dijadikan anak angkat MARA, sekali gus membuka laluan sokongan menyeluruh dari aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah.
“Mereka telah bersetuju untuk dijadikan anak angkat MARA, dan insya-Allah kita akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya hari ini.
Dalam tragedi dua hari lalu, lima daripada tujuh sekeluarga maut dalam kebakaran pada awal pagi di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong.
Mereka yang terkorban ialah Mohd Awi Muhammad, 56; isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 serta tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14 dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Ruby Adalia Balqis, 19, dan adiknya, Ahmad Balia Murqam, 15, tidak terlibat kerana tinggal di asrama masing-masing.
Ruby Adira Batrisya pula adalah pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Asyraf Wajdi berkata, dalam kesedihan yang masih bersisa, rupanya masih ada sinar harapan yang menyala dalam hati anak-anak tersebut.
Ruby Adalia Balqis yang kini mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang, menyuarakan hasrat untuk menjadi pendidik dan bercita-cita melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, laluan pendidikan terbaik akan disusun bagi memastikan impian tersebut dapat direalisasikan.
Sementara itu, Ahmad Balia Murqam yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong yang meminati bidang keusahawanan, menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di MRSM Bentong dalam bidang teknikal.
“Sebagai anak angkat MARA, kebajikan dan perkembangan akademik kedua-dua pelajar akan dipantau secara rapi agar masa depan mereka tidak terjejas akibat tragedi yang menimpa,” katanya. – Edisi 9

