Friday, June 5, 2026

Khutbah Jumaat: Menyambut tetamu agung dengan ketakwaan

Hari ini, Jumaat kedua yang juga merupakan Jumaat terakhir dalam bulan Syaaban, berbaki beberapa hari sahaja lagi kita bakal menerima tetamu agung yang kehadirannya sangat istimewa. 

Mesti Baca

Sidang Jumaat yang dimuliakan.

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhi semua larangan-Nya. 

Hanya dengan ketakwaan kepada Allah dapat menyelamatkan kita di Hari Perhitungan kelak. 

Suka juga khatib mengingatkan agar kita dapat menghayati khutbah ini dengan sepenuh jiwa. 

Tinggalkan segala perkara yang mengalihkan tumpuan kita daripada mendengar khutbah. 

Moga kita dapat mengutip ilmu dan ibrah dari khutbah yang bakal khatib sampaikan. 

Dan semoga, setiap bait ayat dapat memberi manfaat dalam usaha kita menyambut tetamu istimewa yang di dalamnya penuh keberkatan.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Menyambut Tetamu Agung Dengan Ketakwaan.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Biasanya apabila rumah kita akan dikunjungi tetamu, apakah yang akan kita persiapkan? 

Sudah tentu kita akan membersih lagi menghias rumah, menyediakan hidangan yang enak dan memperelokkan diri, sebagai tanda hormat bagi meraikan tetamu yang hadir.

Hari ini, Jumaat kedua yang juga merupakan Jumaat terakhir dalam bulan Syaaban, berbaki beberapa hari sahaja lagi kita bakal menerima tetamu agung yang kehadirannya sangat istimewa. 

Bulan yang bukan saja dinanti-nantikan oleh orang-orang beriman malah seluruh makhluk, iaitu bulan Ramadan al-Mubarak.

Persoalannya, apakah persiapan kita untuk menyambut tetamu agung ini?

Apakah sekadar memasuki Ramadan begitu sahaja, hanya dengan berpuasa dan berbuka seperti biasa, tanpa usaha untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik berbanding Ramadan yang lalu?

Sesungguhnya, persediaan yang dituntut bukan sekadar pada aspek zahir, bahkan merangkumi persiapan yang menyeluruh dari sudut ilmu, rohani dan jasmani. 

Kehadiran Ramadan hendaklah disambut dengan penuh ketakwaan kerana itulah matlamat ibadah puasa disyariatkan. 

Sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang dibacakan di awal khutbah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Muslimin Rahimakumullah, 

Bulan Ramadan 1447 Hijrah yang bakal menjelang ini menyaksikan, ada dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan kita yang tidak lagi berpeluang memasukinya. 

Maka sewajarnya kita menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih dipanjangkan umur sehingga dapat melangkah masuk ke bulan yang mulia ini. 

Mudah-mudahan Allah mengizinkan khatib dan hadirin sekelian mengecapi nikmat bulan barakah ini sehingga ke akhirnya di samping diberi kekuatan memanfaatkannya.

Persiapan ilmu amat penting agar setiap ibadah yang dilaksanakan berlandaskan kefahaman yang betul, tidak tersasar daripada tuntutan syarak dan tidak sekadar mengikut kebiasaan. 

Sebagai panduan, marilah kita meneladani Rasulullah SAW dan para sahabat yang sentiasa bersedia menyambut Ramadan. 

Baginda SAW, para sahabat baginda dan salafussoleh memperbanyakkan istighfar dan doa setiap hari lebih-lebih lagi di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. 

Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah berkata di dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif: “Para salaf terdahulu berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan, kemudian mereka berdoa selama enam bulan lagi agar amal Ramadan mereka diterima.” 

Bagaimana pula dengan kita? Apa yang sudah kita persiapkan?

Muslimin Rahimakumullah

Setiap tahun dalam bulan Ramadan, kita juga sering mendapati paparan berita mengenai pihak penguatkuasa agama yang terpaksa berhadapan dengan “geng plastik hitam” atau individu yang makan atau minum secara terbuka pada siang hari. 

Meskipun ia dilakukan oleh golongan minoriti, perbuatan ini bukan sahaja menunjukkan kurangnya penghormatan terhadap syiar agama, bahkan turut memberi contoh tingkah laku yang tidak baik kepada generasi muda.

Melalui Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] menetapkan bahawa, mana-mana umat Islam yang secara terbuka makan, minum atau merokok ketika berpuasa di tempat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Maka, marilah kita tanamkan kesedaran dalam diri untuk menjaga kehormatan ibadah serta menjadi teladan yang baik kepada keluarga dan masyarakat. 

Semoga Allah SWT memberi hidayah dan kekuatan kepada yang masih lalai agar kembali taat kepada perintah-Nya termasuklah menunaikan solat dengan sempurna dan mengerjakan ibadah puasa dengan penuh kesabaran.

Ingatlah akan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radiyallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.”

Sabda Nabi SAW ini menjadi panduan bagi kita untuk memperteguhkan niat dan memanfaatkan setiap saat dalam Ramadan. 

Siapa tahu, barangkali Ramadan kali ini menyapa diri buat kali yang terakhir. 

Maka pilihan di tangan kita, sama ada ingin mengimarahkan Ramadan atau terus hanyut dalam kelalaian?

Berdoalah agar Allah SWT memberikan kita hati yang sedia menyambut tetamu agung ini dengan sentiasa melazimi doa ini:

Maksudnya: “Ya Allah, hantarkanlah aku kepada Ramadan, dan hantarkanlah Ramadan kepadaku, dan terimalah amal-amalku di bulan Ramadhan.”


Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 13 Februari 2026

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan