Wednesday, July 22, 2026

Bijan perkenal set menu Makan Berhidang, angkat tradisi Melayu

Mesti Baca

BIJAN Bar & Restaurant (Bijan) memperkenalkan set menu khas Makan Berhidang, diinspirasikan daripada tradisi makan Melayu yang menekankan perkongsian, keseimbangan dan kebersamaan, bersempena musim perayaan tahun ini.

Konsep Makan Berhidang yang direka untuk empat orang itu menghidangkan satu set lengkap untuk dinikmati secara kolektif di sekeliling meja sekali gus mencerminkan budaya makan masyarakat Melayu yang menitikberatkan kebersamaan selepas seharian berpuasa, selain keseimbangan rasa dan tekstur.

Bijan dalam satu kenyataan berkata, pendekatan tersebut bukan sekadar cara penyajian, sebaliknya satu falsafah makan yang telah lama menjadi teras dapur restoran itu.

“Dengan Makan Berhidang, kami ingin kembali kepada cara makan yang terasa lengkap tanpa berlebihan, di mana meja bertujuan untuk dikongsi dan makanan secara semula jadi menemui keseimbangannya,” kata kenyataan itu hari ini.

Bijan berkata, falsafah Makan Berhidang dipandu oleh empat elemen utama iaitu Kering, Basah, Pedas dan Segar.

Gabungan keempat-empat elemen itu, katanya, bagi memastikan setiap hidangan saling melengkapi tanpa satu rasa mendominasi yang lain, sekali gus menghasilkan pengalaman makan yang harmoni dan memuaskan.

Sempena Ramadan yang bakal tiba, Bijan memperkenalkan tiga set menu Makan Berhidang untuk tempoh terhad dari 20 Februari hingga 20 Mac 2026, disajikan setiap hari bermula 6.30 petang hingga 10 malam.

Set menu tersebut ialah:

Santapan Kenduri Bijan (RM390++) — menampilkan hidangan klasik gaya kenduri termasuk pembuka selera Melayu, laksam, daging panggang, gulai berempah, hidangan bersambal, kerabu segar, pilihan nasi dan pencuci mulut tradisional.

Santapan Warisan Bijan (RM590++) — memberi penekanan kepada masakan warisan seperti sup kambing, ikan siakap panggang berperisa tradisional, daging masak perlahan, masak lemak, sayur segar, nasi serta pencuci mulut klasik.

Santapan Istana Bijan (RM790++) — set perayaan yang lebih eksklusif dengan sup ekor, panggangan Wagyu, makanan laut premium, masak lemak udang galah, hidangan bersambal, elemen segar, nasi dan pencuci mulut mewah.

“Bijan turut menawarkan harga promosi tempahan awal kepada pelanggan yang membuat tempahan antara 10 hingga 19 Februari 2026, dengan harga Santapan Kenduri Bijan bermula RM360++, Santapan Warisan Bijan RM560++ dan Santapan Istana Bijan RM760++,” katanya.

Bijan yang terletak di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, telah lebih dua dekad dikenali sebagai antara restoran yang konsisten mempersembahkan masakan tradisional Melayu dalam suasana santapan yang elegan dan halus.

Dengan pengenalan Makan Berhidang, Bijan bukan sahaja menghidupkan semula tradisi makan Melayu, malah mengangkatnya ke pentas santapan moden yang menekankan nilai perkongsian dan keseimbangan rasa. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan