Monday, June 8, 2026

UMT terima WCFC canggih pertama di Malaysia

WCFC menjadi platform penting untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri maritim dan luar pesisir.

Mesti Baca

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) menerima kemudahan berteknologi tinggi, Wave Circulation Flume Channel (WCFC) sekali gus meletakkan universiti itu pada kedudukan strategik sebagai pusat rujukan dalam bidang kejuruteraan marin dan maritim.

Naib Canselor UMT,  Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pemilikan aset WCFC merupakan satu pelaburan strategik universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, penyelidikan dan inovasi marin negara.

“Kemudahan WCFC ini bukan sahaja mempertingkat keupayaan penyelidikan berimpak tinggi UMT, malah menjadi platform penting untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri maritim dan luar pesisir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim di kampus UMT, Kuala Nerus baru-baru ini.

Mohd Zamri berkata, kemudahan bersepadu itu turut membuka ruang lebih luas kepada kolaborasi penyelidikan bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa dalam bidang kejuruteraan marin, pesisir pantai dan teknologi lautan.

Beliau berkata, pentauliahan WCFC menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur akademik dan penyelidikan bertaraf dunia UMT, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi marin.

Kemudahan tersebut, kata beliau, diperoleh melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menumpukan pembangunan fasiliti penyelidikan termaju selaras dengan keperluan negara dan cabaran industri masa hadapan.

WCFC milik UMT itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan kecerdasan penjanaan ombak, peredaran arus, penjanaan angin, keupayaan penundaan serta aliran terkawal dalam satu sistem eksperimen tunggal.

“Konfigurasi bersepadu itu membolehkan pemodelan fizikal persekitarab marin yang lebih realistik, termasuk simulasi ombak sekata dan tidak sekata serta arus boleh kawal bagi meniru keadaan sebenar lautan dan pesisir pantai dalam persekitaran makmal,” katanya.

Dari sudut akademik, kemudahan tersebut menyokong secara langsung pengajaran dan pembelajaran bagi beberapa program utama UMT, termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan(Teknologi Maritim), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Senibina Kapal) serta program ‘Dual Degree’.

Selain itu, WCFC turut dibuka untuk penggunaan bersama fakulti dan pusat tanggungjawab lain di UMT bagi menggalakkan kolaborasi antara disiplin merangkumi kejuruteraan, sains marin dan alam sekitar. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan