AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membatalkan Permit Kenderaan membabitkan 100 buah lori milik syarikat Lian Gang Logistics Sdn. Bhd. (LGLSB), iaitu satu pertiga daripada keseluruhan kenderaan yang dikendali oleh syarikat tersebut.
APAD berkata, pembatalan tersebut susulan tindakan syarikat itu yang terus beroperasi walaupun Lesen Pengendali syarikat (No. 202001042810: Kelas Lesen Pembawa A) telah digantung selama 30 hari sejak 27 Ogos sehingga 25 September lalu.
Agensi itu berkata, penggantungan lesen terhadap LGLSB ekoran kegagalan syarikat terbabit memenuhi keperluan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) pada 24 Jun tahun lalu.
“Tindakan tegas ini wajar dijadikan peringatan bahawa APAD memandang serius sebarang pelanggaran aspek keselamatan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik walaupun terhadap syarikat besar,” kata APAD dalam kenyataan hari ini.
Agensi itu berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta integriti industri pengangkutan negara sentiasa terpelihara. — Edisi 9

