Monday, July 20, 2026

Semua Jawatankuasa Eksekutif FAM letak jawatan serta-merta

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara, mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi. 

Mesti Baca

KESEMUA Ahli Jawatankuasa (AJK) Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta.

FAM dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara, mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi. 

“Ia merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini yang telah menarik perhatian umum,” kata kenyataan itu hari ini.

Tindakan mereka dipercayai ada kaitan dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan sehingga FAM kini berdepan dengan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kenyataan itu berkata, jawatankuasa itu juga mengambil tanggungjawab bersama dan keperluan untuk bertindak dengan cara melindungi integriti FAM.

Kenyataan itu berkata, peletakan jawatan tersebut bertujuan menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Selain itu, ia bagi menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan di mana keyakinan awam perlu dipelihara.

Turut diharapkan agar menyediakan ruang sewajarnya kepada FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu, menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.

“Memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi,” katanya.

Peletakan jawatan itu, kata FAM, menunjukkan bahawa khidmat kepada bola sepak negara lebih utama berbanding tempoh jawatan.

Mereka juga berharap menerusi tindakan itu dapat memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi, dan komuniti bola sepak secara keseluruhan. 

“Mengekalkan kredibiliti institusi adalah penting bagi kestabilan, kelestarian, dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia,” katanya.

Tegas FAM, walaupun telah melepaskan jawatan, jawatankuasa terbabit akan tetap memberi kerjasama penuh kepada FIFA, AFC dan semua pihak berkepentingan yang relevan.

Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub meletakkan jawatan, hanya beberapa bulan selepas dipilih menerajui badan bola sepak negara pada Kongres Tahunan FAM, Februari tahun lalu. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan