Sunday, July 19, 2026

Jangan duduk Malaysia kalau tidak terima Bahasa Melayu – YDPA

Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ianya mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama...

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar sebarang usul mengiktiraf apa jua sistem pendidikan selain daripada yang sedia ada, mesti menerima Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.

Bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 pada hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah, sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.

“Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ianya mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya adalah Bahasa Kebangsaan.

“Kalau ada yang tidak menerima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Sultan Ibrahim memperingati Parlimen tentang asas pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.

Seri Paduka Baginda bertitah, niat asal pembentukan Malaysia berpaksikan perpaduan, saling menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Yang Berhormat sekalian hendaklah lebih berhati-hati, supaya tidak menghasut sampai wujud ketegangan antara wilayah. Sebarang perbezaan pandangan, haruslah diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka.

“Hakikatnya, hak-hak Negeri perlu sentiasa dihormati. Namun begitu, kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan,” titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar Ahli-Ahli Dewan melaksanakan tugas dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.

“Tahun ini merupakan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Saya mahu rancangan ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

“Setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di dalam dewan ini, bukan hanya merupakan pendirian politik parti, tetapi bakal menentukan masa depan kita,” titah Seri Paduka Baginda. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan