UMNO khususnya generasi muda perlu menghayati dan menghidupkan semula semangat perpaduan Melayu yang dizahirkan menerusi Perhimpunan Melayu Johor pada tahun 1988 sebagai panduan menghadapi cabaran politik semasa yang semakin kompleks.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, peristiwa bersejarah itu membuktikan bahawa perpaduan orang Melayu bukan lahir ketika berada dalam zon selesa, sebaliknya muncul ketika bangsa berada dalam keadaan terancam dan berpecah.
Menurut beliau, Johor pada ketika itu telah menunjukkan kematangan politik apabila memilih jalan penyatuan demi kelangsungan bangsa, tanpa terperangkap dalam perbalahan dalaman dan kepentingan kelompok tertentu.
“Pada tahun 1988 ketika UMNO diharamkan, ketika orang Melayu berpecah, ketika keyakinan kepada kepimpinan Melayu sendiri mula goyah, orang Melayu Johor memilih untuk berhimpun.
“Bukan untuk menunjukkan kuasa tetapi untuk bercermin kepada nasib bangsa,” katanya hari ini.
Beliau mengulas keperluan memperkukuh agenda perpaduan Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini berdepan keletihan politik dan semakin skeptikal terhadap sistem kepartian.
Zakaria menegaskan, cabaran perpaduan Melayu hari ini jauh lebih rumit berbanding era 1980-an apabila perpecahan tidak lagi bersifat dua hala, sebaliknya melibatkan pelbagai parti, lapisan sosial dan jurang generasi.
“Perpaduan Melayu hari ini tidak boleh digerakkan dengan marah, tidak boleh dibina dengan menghina dan tidak boleh dipaksakan dengan nostalgia.
“Johor 1988 mengajar kita satu prinsip penting (iaitu) penyatuan bukan dengan menyalahkan tetapi dengan mengajak pulang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan peranan Pemuda UMNO amat penting sebagai pemangkin penyatuan dengan membawa naratif yang lebih inklusif, sederhana dan berteraskan keperluan sebenar anak muda Melayu, khususnya dalam soal ekonomi, pekerjaan dan maruah diri.
Katanya, UMNO perlu dilihat sebagai wadah penyatuan bangsa, bukannya sekadar alat politik sempit yang menuntut kesetiaan membuta tuli.
“Jika Pemuda UMNO berjaya memimpin agenda ini, UMNO tidak perlu memaksa orang Melayu bersatu, sebaliknya orang Melayu akan memilih untuk bersatu,” katanya.
Zakaria turut menegaskan bahawa keberanian untuk bersikap jujur terhadap sejarah dan kesilapan lalu adalah kunci untuk membina semula kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO dan politik arus perdana.
“Bangsa yang besar bukan bangsa yang tidak pernah berpecah, tetapi bangsa yang tahu bila harus bersatu semula,” katanya. — Edisi 9

