
HEBOH sehari dua tentang gesaan akar umbi agar UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan susulan penolakan mahkamah terhadap rayuan Titah Adendum Najib Razak.
Lebih memanaskan keadaan, ada pula pemimpin DAP yang dianggap kurang ajar apabila meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, semalam.
Antara yang menyuarakan pandangan agar UMNO keluar dari kerajaan dan bergerak sebagai parti pembangkang termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal Saleh.
Persoalannya, apakah UMNO berani untuk menarik “hand brake” dan bergerak sebagai pembangkang hanya semata-mata kesal dengan keputusan mahkamah terhadap Najib dan sikap DAP terhadap mereka?
Harus diingat keputusan UMNO untuk menarik sokongan daripada Kerajaan MADANI tidak boleh bersifat emosional atau reaktif.
Sebaliknya ia mesti disokong oleh pelan keluar (exit plan) yang tersusun, realistik dan boleh bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Kegagalan menyediakan syarat minimum sebelum keluar kerajaan bukan sahaja berisiko menjatuhkan kerajaan, malah boleh mempercepatkan ‘kematian’ UMNO sendiri jika mereka masuk ke gelanggang pilihan raya tanpa persiapan.

Berikut ialah enam syarat minimum yang perlu dipenuhi UMNO sekiranya mahu keluar kerajaan dengan selamat dan bermaruah, serta mengelakkan parti menjadi mangsa keadaan.
1. Mandat jelas dan bersepadu daripada akar umbi
Keputusan untuk UMNO keluar daripada kerajaan perpaduan tidak boleh bersifat elitis atau terhad kepada pimpinan tertinggi semata-mata.
Sebaliknya, UMNO perlu memastikan sokongan rasmi daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
UMNO perlu juga mendapatkan resolusi bertulis peringkat bahagian serta kefahaman akar umbi mengenai sebab dan hala tuju selepas keluar.
Tanpa mandat tersebut, langkah keluar berisiko mencetuskan perpecahan dalaman, sabotaj jentera dan penolakan senyap oleh ahli sendiri.
UMNO boleh mendapatkan pandangan atau sokongan tersebut pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pertengahan bulan depan.
2. Naratif rasmi nasional “Kenapa UMNO Keluar”
UMNO perlu tampil dengan naratif tunggal, konsisten dan difahami rakyat, khususnya pengundi Melayu jika mahu bertindak meninggalkan kerajaan sekarang.
Naratif itu mesti menegaskan bahawa UMNO keluar kerana prinsip dan maruah bukan kerana jawatan, kes mahkamah atau tekanan politik serta perlu disampaikan secara seragam oleh semua pemimpin.
Ketiadaan naratif jelas akan membolehkan pihak lawan membentuk persepsi bahawa UMNO meninggalkan kerajaan kerana terdesak, bukan berprinsip.
3. Jaminan tiada lompat parti atau disiplin Ahli Parlimen
Syarat kritikal yang sering dipandang ringan. Bagaimanapun UMNO sudah mempersiapkan akujanji bertulis semua Ahli Parlimen dan menetapkan tindakan tegas terhadap pengkhianatan sejak PRU-15 lalu.
Ini bagi mengelak episod lompat parti yang memalukan sepertimana berlaku pada PRU-14 lalu. Sekiranya ahli Parlimen UMNO tidak berdisiplin, parti akan dilihat lemah dan gagal menguruskan rumah sendiri.
4. Pelan kedudukan politik selepas keluar
UMNO tidak boleh keluar kerajaan tanpa mengetahui di mana posisi politiknya selepas itu sebaliknya parti perlu memutuskan dengan jelas.
UMNO perlu membuat ketetapan sama ada menjadi pembangkang berprinsip, menyokonh kerajaan minoriti secara isu demi isu atau membentuk blok alternatif yang stabil.
Keluar daripada kerajaan tanpa arah hanya akan menjadikan UMNO terapung tanpa rakan dan tanpa pengaruh.
5. Kesiapsiagaan PRU mengejut
UMNO perlu bersedia menghadapi kemungkinan paling buruk iaitu pembubaran Parlimen lebih awal daripada jangkaan.
Hal ini tidak mustahil kerana kuasa pembubaran Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri dan sekiranya beliau yakin kedudukan partinya dan negara stabil, PRU-16 boleh diadakan bila-bila masa.
Justeru, UMNO perlu membuat persiapan awal termasuk menyediakan senarai awal calon boleh menang, pengaktifan jentera pilihan raya serta menyediakan dana minimum kempen.
Tanpa kesiapsiagaan ini, UMNO akan memasuki PRU sebagai parti yang keluar dengan maruah tetapi kalah dengan teruk
6. Kepimpinan stabil dan pelan peralihan dalaman
Tindakan keluar daripada kerajaan lazimnya akan diikuti oleh tekanan dalaman terhadap kepimpinan.
Justeru, UMNO perlu menjamin kestabilan Presiden dan kepimpinan utama, menutup ruang perebutan kuasa serta memberi fokus kepada survival parti, bukan pertelagahan dalaman.
Tanpa kestabilan ini, langkah keluar daripada kerajaan akan membuka kotak Pandora krisis dalaman.
Kesimpulannya, jika UMNO melangkah keluar daripada kerajaan sekarang, ia bukan soal berani tetapi kesiapsiagaan.
Bagi penulis, keluar kerajaan tanpa ‘exit plan’ adalah lebih berbahaya berbanding kekal dalam kerajaan dengan tekanan politik.
UMNO masih mempunyai pilihan, namun begitu keluar kerajaan hanya wajar dilakukan apabila parti sudah bersedia untuk hidup tanpa kuasa, tanpa jawatan dan tanpa perlindungan tetapi masih mampu meyakinkan rakyat bahawa UMNO relevan dan berprinsip.
Dalam konteks menuju PRU-16, ‘exit plan’ yang gagal bukan sahaja menjatuhkan kerajaan, malah boleh menjerumuskan UMNO sendiri ke dalam kubur jika tidak diurus dengan penuh kebijaksanaan politik. — Edisi 9

