LEMBAGA Kemajuan Industri Getah (RISDA) perlu diperkasa dengan memberi tumpuan kepada inovasi, produk bernilai tinggi dan kelestarian jika mahu mengembalikan kegemilangan industri getah negara, kata Profesor Datuk Dr Ahmad Ibrahim.
Penyelaras Tan Sri Omar Centre for STI Policy di IISDS, UCSI University itu berkata, industri getah di negara ini hanya boleh dipulihkan sekiranya pendekatan lama yang terlalu bergantung kepada eksport lateks mentah digantikan dengan strategi baharu berasaskan nilai tambah dan teknologi.
“Kita harus faham mengapa industri getah negara tersandung. Ada pendapat yang menyatakan kemerosotan berpunca daripada isu sistemik. Ada yang menyabut kita mengalami perangkap komoditi.
“Kebergantungan berlebihan pada eksport lateks mentah, bukan produk bernilai tambah, mendedahkan Malaysia kepada turun naik harga. Saingan global juga telah meningkat,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.
Ahmad berkata, kejayaan Malaysia menguasai kira-kira 67 peratus pasaran sarung tangan dunia semasa pandemik COVID-19 membuktikan keupayaan negara membangunkan produk getah bernilai tinggi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan peluasan industri ke sektor peranti perubatan, aeroangkasa, bahan binaan serta pembangunan getah biodegradasi yang selari dengan keperluan ekonomi hijau global.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara agresif melalui kerjasama awam-swasta, termasuk penerokaan teknologi baharu seperti nanoteknologi berasaskan getah dan tayar hijau.
“Projek getah ke biofuel yang diumumkan RISDA baru-baru ini perlu dirancakkan segera. Ini dapat membuka pasaran baru serta mengalihkan kebergantungan kepada pembuatan tayar. Malah dapat membantu menyokong harga pasaran yang lebih baik,” tambah beliau.
Dari sudut kelestarian, Ahmad menyifatkan getah asli sebagai aset strategik kerana sifatnya yang boleh diperbaharui.
Tambah beliau, pensijilan kelestarian, pertanian regeneratif dan model ekonomi kitaran seperti kitar semula getah terpakai perlu diperkasakan untuk menarik pembeli global yang mementingkan aspek ESG.
Pada masa sama, katanya, isu pekebun kecil tidak boleh diketepikan memandangkan lebih 90 peratus pengusaha getah negara terdiri daripada pekebun kecil yang berdepan tekanan kos sara hidup dan produktiviti rendah.
“Penyelesaian termasuklah akses teknologi yang merangkumi penggunaan dron untuk pemantauan hasil, pengesanan penyakit berasaskan kecerdasan buatan (AI), dan penggunaan klon berproduktiviti tinggi hasil dari R&D.
“Model koperasi disarankan di mana perkongsian sumber untuk kuasa tawar dan pengagihan kos akan lebih baik,” kata Ahmad.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan meneliti mekanisme penstabilan harga yang lebih mampan, mengambil iktibar daripada kegagalan pendekatan lama seperti stok penampan antarabangsa.
Selain itu, Ahmad menggesa pembaharuan dasar melalui insentif cukai untuk R&D, pembangunan kawasan perindustrian khusus getah, serta penjenamaan global “Getah Buatan Malaysia” sebagai produk premium dan beretika.
Tegas beliau, Malaysia perlu memanfaatkan platform antarabangsa seperti Mesyuarat Perubahan Iklim (COP) untuk mempromosikan getah mampan, di samping meneroka pasaran baharu di Afrika dan Timur Tengah serta memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada.
“Dengan inovasi, kelestarian dan keadilan kepada pekebun kecil, Malaysia bukan sekadar boleh kembali sebagai pengeluar utama, tetapi sebagai perintis global industri getah abad ke-21,” tegasnya. – Edisi 9

