USAHA berterusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuh kesarjanaan dan penyelidikan biodiversiti air tawar berbaloi apabila satu lagi hasil kajian penyelidiknya mendapat pengiktirafan.
Kelmarin, buku Fishes of Kenyir hasil penyelidikan ilmiah Dr. Mohamad Aqmal Mohd Naser dan Profesor Dr. Amirrudin Ahmad dari Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) menerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik Sains dan Teknologi (S&T) anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi (MAPIM-KPT).
Fishes of Kenyir merupakan karya penting yang menghimpunkan dokumentasi menyeluruh mengenai spesies ikan di Tasik Kenyir iaitu salah satu ekosistem air tawar yang mempunyai kepelbagaian spesis haiwan dan tumbuhan terbanyak di Malaysia sekali gus menjadikannya rujukan utama penyelidik, pelajar, pengurus sumber asli serta agensi kerajaan.
Menurut UMT, anugerah itu memperkukuhkan lagi keunggulan universiti itu dalam penyelidikan biodiversiti, konservasi ekosistem semula jadi dan pengembangan ilmu berasaskan sains marin dan sumber akuatik.
“Penyelidikan yang dijalankan di Tasik Kenyir merupakan usaha penting dalam mengekalkan kelestarian ekosistem alam selain menyerlahkan kepakaran UMT dalam memimpin penyelidikan ikan air tawar serta usaha melindungi spesies terancam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UMT berkata, panel penilai MAPIM-KPT menobatkan buku itu berdasarkan ketelitian penyelidikan, ketepatan data, impak terhadap pembangunan ilmu zoologi serta peranannya dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 15).
Antara kekuatan utama buku Fishes of Kenyir ialah penyediaan maklumat saintifik terkini mengenai spesies ikan Endangered dan Critically Endangered sekali gus menekanlan keperluan mendesak pelaksanaan langkah konservasi di lapangan.
“Penerbitan itu turut menyerlahkan dedikasi UMT dalam memelihara ekosistem meliputi tasik, sungai dan kawasan tadahan air selaras dengan usaha nasional memperkukuh pemulihan biodiversiti,” katanya.
Sementara itu Mohamad Akmal menyifatkan anugerah itu hadiah kepada penyelidik yang terlibat dalam usaha pemuliharaan sumber akuatik selain memberi motivasi untuk terus merancakkan penyelidikan saintifik lain.
“Sebagai penulis pertama, saya berasa sangat bersyukur dan berbangga kerana usaha penyelidikan dan penerbitan inidihargai pada peringkat tertinggi.
“Ia memberi motivasi untuk terus berkarya, meneroka ilmu baharu dan menyumbang lebih banyak kepada pemuliharaan sumber asli negara.
“Saya juga berterima kasih kepada semua rakan penyelidik, institusi dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan buku ini,” katanya.
Mohamad Aqmal turut mengetuai beberapa geran penyelidikan penting termasuk Geran Penyelidikan Lubuk Yu (2024–2025) yang telah menunjukkan komitmen tinggi melalui kajian lapangan, analisis saintifik dan usaha pemuliharaan yang berimpak tinggi.
Manakala Amirrudin pula merupakan pakar dalam bidang ekologi dan biologi ikan air tawar oleh Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) merangkap Pengerusi Bersama Serantau IUCN-SSC/Wetlands International Freshwater Fish Specialist Group, mengukuhkan lagi kesarjanaan penyelidikan yang terkandung dalam penerbitan itu. — Edisi 9

